Sunday, September 19, 2010

JAGA GIGI KETIKA BAYI


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

PERNAH terfikir mengapa ramai antara kita ‘gerun’ apabila hendak berjumpa doktor gigi? Walaupun kita disaran menjalani pemeriksaan gigi dua kali setahun, tetapi rasa gerun ini menyebabkan ada orang hanya berjumpa doktor gigi kerana terpaksa iaitu apabila ada masalah berkaitan gigi; itu pun bilangannya boleh dikira. Selagi boleh, ramai cuba bertahan dan mencuba kaedah lain untuk mengurangkan masalah mereka.

Malah ada ibu bapa menganggap selagi gigi susu tidak bermasalah, mereka tidak perlu membawa anak berjumpa doktor gigi.

Lebih teruk apabila ada ibu bapa masih tidak ambil berat walaupun gigi anak berubah bentuk menjadi seperti mata gergaji kerana teguh memegang kepercayaan ia hanya gigi sementara yang akan diganti dengan gigi baru (kekal).

Namun tahukah anda, penjagaan gigi susu yang kurang baik boleh mempengaruhi pertumbuhan gigi kekal? Gigi susu yang terlalu awal tanggal menyebabkan gigi kekal tumbuh sebelum waktunya. Yang membimbangkan, jika tabiat penjagaan kesihatan mulut belum sempat diterapkan pada kanak-kanak, gigi kekal berkenaan berisiko tinggi mengalami kerosakan.

Ini sebabnya ibu bapa perlu memulakan penjagaan gigi pada peringkat bayi supaya ia boleh menjadi amalan sepanjang hayat. Lebih awal ia dimulakan, lebih baik walaupun ketika itu anak anda belum mempunyai gigi, kata Penasihat Kesihatan Gigi, Dr Chan Yuet Ngoh.

Yang menyedihkan, masih ramai ibu bapa mempunyai salah anggapan terhadap kepentingan gigi susu dan penjagaannya. Antara salah anggapan yang biasa ialah:
·  Anggap gigi susu bukan set gigi yang penting kerana ia akan diganti dengan gigi kekal
·  Anggap penjagaan kebersihan dan kesihatan gigi susu tidak penting
·  Masalah pergigian akan selesai selepas gigi yang reput dirawat atau dicabut
·  Prosedur pergigian adalah menyakitkan (dan fahaman ini ‘diturunkan’ kepada anak dengan menakutkan mereka)
·  Enggan membawa anak berjumpa doktor gigi kerana beranggapan tidak mengapa jika ia rosak selagi tidak menyebabkan kesakitan gigi
·  Ibu bapa hanya pentingkan penampilan atau susunan gigi kacip (gigi di barisan depan) terutama pada gigi bawah kerana ramai kanak-kanak alami masalah gigi senget. Mereka tidak kisah keadaan kesihatan gigi di belakang (geraham)
·  Memberi pelbagai alasan tidak munasabah apabila ditanya mengapa tidak memastikan anak memberus gigi. Antaranya ialah tidak ada masa, menyerahkan tanggungjawab menjaga anak kepada pembantu rumah sedangkan hakikatnya ramai pembantu rumah kurang pengetahuan dalam soal penjagaan kesihatan secara keseluruhan, termasuk gigi
·  Gigi susu tidak perlukan pemeriksaan doktor gigi
·  Jika gusi berdarah, lebih baik elakkan memberus gigi
·  Tidak menganggap memberus gigi sebelum tidur untuk kanak-kanak sebagai perkara penting. Ada yang beranggapan susu formula tidak merosakkan gigi kerana mereka tidak menambah gula ke dalam bancuhan susu anak

“Gigi susu adalah gigi yang penting. Dalam hidup kita, kita hanya mempunyai dua set gigi. Gigi susu mula tumbuh apabila bayi berumur enam bulan dan pertumbuhan gigi ini lengkap ketika umur 30 bulan (dua setengah tahun). Gigi susu ada 20 batang semuanya dan sebaik tumbuh ia boleh mengalami kerosakan atau pereputan. Malah pada umur enam bulan ini, kerosakan dan pereputan gigi boleh bermula.

“Gigi kekal terletak betul-betul di bawah gigi susu. Tekanan (tolakan) daripada gigi kekal ini membuatkan akar gigi susu menjadi longgar dan akhirnya tercabut bagi memberi ruang untuk gigi kekal tumbuh. Bagaimanapun, jika gigi susu tanggal terlalu awal, gigi kekal juga akan tumbuh awal dan ia mungkin tumbuh dalam keadaan senget kerana ruang yang ada terlalu sempit (saiz gigi kekal lebih besar).

“Kerosakan dan pereputan gigi susu boleh berlaku sebaik ia tumbuh, pada kadar sama seperti gigi kekal. Antara faktor utama pereputan gigi susu ialah pemberian susu botol ketika hendak tidur malam dan biasanya bayi tertidur ketika menghisap susu. Keadaan ini menyebabkan kerosakan pada banyak gigi dan ia dipanggil karies botol susu,” katanya.

Kepercayaan gigi susu tidak perlukan penjagaan adalah tidak tepat kerana ia boleh mengalami kerosakan seperti gigi kekal. Malah ia mungkin lebih cepat rosak berbanding gigi kekal kerana kebanyakan kanak-kanak suka gula-gula dan makanan manis; pada peringkat ini mereka masih tidak pandai memberus gigi dengan baik.

Menurut Dr Chan, ibu bapa perlu berusaha memanjangkan hayat gigi susu selama boleh. Ini kerana gigi kekal mempunyai jadual untuk tumbuh (ia tumbuh secara berperingkat). Kehilangan gigi susu walaupun diganti dengan gigi kekal akan memberi kesan kepada anak, terutama ketika mereka makan. Kehilangan gigi susu yang terlalu cepat menyebabkan gigi bersebelahan turut menjadi ‘longgar’ atau senget dan menyempitkan ruang untuk gigi kekal tumbuh. Keadaan ini menyebabkan gigi kekal tumbuh tidak teratur atau berlapis.

Susunan gigi yang tidak teratur, khususnya yang renggang di tengah (gigi kacip) akan mempengaruhi pertuturan anak. Anak mungkin tidak dapat menyebut perkataan, terutama yang mengandungi huruf F dan S dengan jelas.

Gusi berdarah bermakna ia tidak sihat atau mengalami keradangan. Ia biasanya disebabkan kehadiran plak atau cebisan makanan yang terkumpul (terselit) di celah gigi. Jika keadaan ini tidak diatasi, gusi akan terus berdarah setiap kali anak anda memberus gigi. Gunakan berus gigi yang lembut untuk membersihkan sisa makanan. Bagaimanapun, kanak-kanak tidak perlu menggunakan flos hinggalah dia mempunyai gigi kekal kerana gigi susu mempunyai ruang di antaranya yang memudahkan ia dibersihkan.

Ajar anak untuk memberus gigi seawal mungkin. Pada peringkat pertama, ajar anak untuk masukkan berus gigi sehingga geraham paling belakang. Ada tiga langkah mudah untuk memberus gigi iaitu:
·  Atas geraham — Gerakan ke belakang dan ke depan
·  Tepi luar dan tepi dalam — Berus menghala ke atas
Depan — Tidak kisah cara digunakan anak, asalkan ia dibersihkan
· 
Apabila anak berumur enam atau tujuh tahun, baru ajar dia cara betul seperti anda memberus gigi kekal. Ketika ini dia sudah mempunyai gigi kekal, dan anda boleh memperkenalkan penggunaan flos padanya.

Untuk anak kecil, beri ubat gigi tanpa flourida kerana mereka biasanya menelan ubat gigi yang dirasakan sedap. Pastikan anda baca label sebelum membeli jenama ubat gigi untuk anak.

Flourida yang masuk ke dalam badan boleh menukar warna gigi kekal (kelihatan seperti ada tompok coklat pudar dan ia memerlukan rawatan mahal untuk menghilangkannya). Hanya apabila anak berumur enam atau tujuh tahun baru berikan dia ubat gigi berflourida.

Kalau anda perhatikan, kanak-kanak makan banyak kali dalam sehari dan kebanyakan makanan yang diambil mengandungi karbohidrat dan gula. Ini termasuk kandi, gula-gula, kek, keropok, biskut, minuman ringan dan berkarbonat, susu dan jus buah.

Bakteria dalam mulut berinteraksi dengan makanan, terutama mengandungi gula, dan menghasilkan persekitaran berasid yang boleh mereputkan lapisan enamel gigi.

Susu formula yang anda beri kepada anak juga mengandungi gula. Ini sebabnya doktor gigi melarang ibu bapa membiarkan anak menyusu botol sehingga tertidur. Memang air liur boleh bertindak membersihkan mulut tetapi sebaik anak anda tidur, penghasilan air liur berkurang. Jadi ia tidak dapat memberi perlindungan kepada gigi anak anda.

Bagi mengurangkan risiko kerosakan gigi, anda boleh memberi anak minum air masak sebelum tidur atau mencampurkan air ke dalam bancuhan susu anak anda (kurangkan kepekatan susu secara berperingkat kepada 75 peratus ke 50 peratus kepada 25 peratus).

Selepas satu tempoh (satu atau dua minggu), apabila anak sudah biasa dengan rasa air masak, anda boleh memberinya air masak saja di dalam botol ketika anak mahu tidur. Selain itu, jadikan buah-buahan segar sebagai snek (menggantikan gula-gula, kek, keropok dan ais krim). Bagaimanapun kaedah ini hanya sesuai untuk kanak-kanak berusia setahun ke atas.

Nasihat untuk ibu bapa
·  Ibu disaran berjumpa doktor gigi selepas pantang. Bukan untuk pemeriksaan giginya, tetapi bertujuan memberi pendidikan kepada si ibu bagaimana bila dan bagaimana menjaga kebersihan mulut bayi
·  Elak memberi anak menghisap susu dari botol untuk tidur malam. Sebaliknya minta anak menghabiskan susu sebelum tidur. Jika tidak dapat, pastikan anda minta anak minum air masak sebelum tidur atau anda ‘cucikan’ mulut anak dengan mengelap giginya menggunakan tuala lembap yang bersih. Jika anak belum ada gigi, gosokkan tuala lembap pada gusinya untuk membiasakan dia dengan penjagaan kebersihan mulut
·  Bawa anak berjumpa doktor gigi apabila dia boleh mengingat (antara tiga hingga empat tahun). Ketika ini giginya masih elok dan ini memberi pengalaman baik kepada si kecil ketika berjumpa doktor gigi
·  Beri sedikit air masak kepada bayi anda ketika dia berusia tiga atau empat bulan. Ia bertujuan membersihkan mulutnya dari sisa susu, terutama susu formula. Ini kerana susu formula mengandungi sedikit gula
·  Apabila anak berusia 10 atau 11 bulan dan boleh memegang cawan sendiri, beri dia minum banyak air masak dari cawan. Untuk minuman manis, gunakan botol atau penyedut minuman
·  Apabila anda dapati anak mula mengalami masalah kerosakan gigi, bawa dia berjumpa doktor. Mungkin ada kerosakan lain yang anda tidak sedar. Jangan tunggu hingga anak mengadu sakit gigi
·  Sediakan air masak setiap kali makan. Ia penting kerana air masak mencuci mulut daripada serpihan makanan dan gula yang boleh membuatkan persekitaran dalam mulut menjadi berasid dan mereputkan gigi
·  Minum air manis dengan menggunakan penyedut minuman; sebaliknya minum air masak terus dari cawan atau gelas. Ini bertujuan mengurangkan air manis daripada memenuhi mulut
·  Jangan sediakan air manis ketika makan tengah hari atau malam. Jadikan air masak sebagai minuman ‘rasmi’ keluarga anda dan bawa sebotol air masak ke mana saja anda pergi untuk mengurangkan kemungkinan anda membeli air minuman yang manis
·  Bermula umur 12 tahun, anak anda perlu menjalani pemeriksaan gigi sama seperti anda iaitu dua kali setahun.


Petua jaga gigi anak

> Ibu disaran berjumpa doktor gigi selepas pantang bertujuan memberi pendidikan bila dan bagaimana menjaga kebersihan mulut bayi

> Elak memberi anak menghisap susu dari botol untuk tidur malam. Sebaliknya minta anak menghabiskan susu sebelum tidur

> Bawa anak berjumpa doktor gigi apabila dia boleh mengingat (antara tiga hingga empat tahun)

> Beri sedikit air masak kepada bayi anda ketika dia berusia tiga atau empat bulan bertujuan membersihkan mulutnya dari sisa susu

> Apabila anak berusia 10 atau 11 bulan beri dia minum banyak air masak dari cawan

> Apabila anda dapati anak mula mengalami masalah kerosakan gigi, bawa dia berjumpa doktor

> Sediakan air masak setiap kali makan

> Minum air manis dengan menggunakan penyedut minuman; sebaliknya minum air masak terus dari cawan atau gelas

> Jangan sediakan air manis ketika makan tengah hari atau malam. Jadikan air masak sebagai minuman ‘rasmi’ keluarga

> Bermula umur 12 tahun, anak anda perlu menjalani pemeriksaan gigi sama seperti anda iaitu dua kali setahun.

No comments: