Wednesday, February 16, 2011

INDAHNYA ATURAN PERJALANAN HIDUP

p/s: komen dialu-alukan.

Hidup ini antara dua kemungkinan. Antara perkara yang kita boleh ramalkan atau tidak.
 Yang kita boleh agak ialah kemunculan sang suria dari sebelah timur dan tenggelamnya di sebelah Barat. 

Setelah itu ia menyerahkan takhta kepada purnama yang masih meminjam sinarnya untuk dipantulkan ke jagat raya, dan malam jadi indah setelah rembulan di dada malam dipagari bintang dan pungguk tetap setia menanti meski rembulan sekalipun tidak mempedulikan hadirnya. Dan ia muncul kembali esoknya di ufuk timur tak jemu mengeringkan embun di hujung rumput, setia pada titah Tuhannya.

Yang tidak boleh kita agak ialah apa yang terjadi antara mentari muncul dan terbenam atau antara mentari terbenam dan muncul kembali keesokannya. Ia dunia yang penuh misteri. Ya, kematian tidak misteri namun kehidupan ialah yang dipenuhi teka teki yang tidak terjawab.
Kematian tidak misteri kerana ia menjanjikan hanya dua jalan, antara kebahagiaan atau dunia penuh kesengsaraan yang tak pernah tergambar oleh mata atau tak pernah terdengar oleh telinga.

Aku mendengar saja kau berperi. Kau bercakap tanpa henti seolah aku ini hadir sekadar bertelinga tanpa mulut dan kau hadir dengan mulut penuh info.

Suami kau tinggalkan di mana? Aku bertanya setelah kau berhenti menarik nafas. Barangkali karbon dioksida dalam peparumu berebut mahu keluar sedang oksigen berlumba-lumba mahu memenuhi rongga salur nafasmu.

Aku tinggalkan dia dengan dengan Elyana. Katamu tak acuh. Biarlah dia belajar melayan kerenah anak yang dia tak tau betapa letihnya aku berperang saat dia keluar bekerja. Bukan mengeluh yea. Kau tahu sajalah perempuan, tak bercakap tak sah, walau sekadar bicara atas angin tanpa maksud apa-apa.

Aku sengih lucu. Kau tak pernah berubah. Berbicara seolah keretapi yang sedang mengejar destinasi yang bakal mampir 5 saat lagi. Penuh dengan lelucon yang membuat gusiku tak pernah kering menghambur tawa.

Tiba-tiba wajah seorang dia tergambar di ruang mata. Paras bujur sirih dengan janggut sejemput mengapung di kanvas maya. Senyum senget tak bersimetri menambah seri. Wajah bersih dengan senyum tak pernah surut itu tiba-tiba hadir. Ah, biarlah, bukan jodohku.
Di, tengok! Kau berseru riang, umpama anak kecil yang diumpan ais krim. Ternyata bergelar suri takkan mampu merubah perangai keanakan yang sinonim denganmu.

Anugerah Tuhan cantik merentang langit. Usai renyai hujan di pinggir senja menghadiahkan jambatan bianglala yang cukup mengujakan di ruang mata. Teringat mimpi kita saban petang dulu. Berlunjur di tanah lapang menyaksikan peristiwa petang yang mengundang aman.
Imaginasi meluncur aman. Kita mendaki pelangi itu dari timur merentas terus ke barat.

 Tiba di hujung ada satu pintu yang luasnya dari bumi rapat ke langit. Terus tanpa tiang dan tanpa batasan. Pintu itu takkan tertutup. Setelah ia terbuka, entah aku tak ingat berapa lama, ia takkan tertutup hanya akan tertutup saat azan takkan bergema lagi di alam.

Hanya akan tertutup saat kita bangkit dan melihat arah mentari jadi berlawanan dari kebiasaan. Hanya tertutup saat tiada lagi ruang untuk kembali ke jalan yang benar.

Hanya 5 minit dan pelangi tujuh warna itu menghilang ditelan kirmizi. Senja makin rapat ke penghujung. Sayup azan mengajak ke arah kejayaan. Kita sama-sama diam sambil melangkah mencari rumah-Nya. Enggan dituduh tidak mempedulikan, apatah lagi memekakkan panggilan Ilahi.

Usai maghrib berjemaah, kita sambung lagi cerita lama.
Untung bukan ?
Apa? Aku memandangmu dengan dahi penuh tanda soal.

Dapat masuk U. Aku ni, UPSR pun aku tak kenal. Orang ambil PMR aku kerja kilang-operator pengeluaran, nama modennnya. Kemudian, berkahwin saat aku mengimpikan menyambung pelajaran, buat bekal di hari mendatang. Ya, takdir itu datang dan aku mendakapnya dengan pasrah. Nasib la Nazri tu bukan kaki pukul. Kalau tak habis aku jadi ‘punching bag’. Kau gelak bertali. Aku senyum saja menyambut lawak kering itu. Adoi, kalau la Nazri dengar, mahu saja diluku isteri dia yang nakal tu.

Aku ingat lagi saat pemergian kau ke Selatan tanah air. Kau mesej aku, tanya solat jamak. Bolehkan solat Maghrib sebelum keretapi bertolak  dan macam mana nak solat subuh dalam keretapi. Adik aku yang rajin menaip tolong membalas. Aku membalas mesej akhir kau dengan satu pesan, sesibuk manapun, solat jangan kau lupa. Doa aku sentiasa menemani walau di bumi manapun kaki kau berpijak.

Kemudian, kita terputus komunikasi. Aku sibuk (atau pura-pura sibuk) dengan telaah buku yang tebalnya jika menghempap kaki mampu membuatkan darahku terkumpul kaku di situ dan melayan fb juga (malu dituduh ketinggalan zaman kalau tak update status di dindingnya saban waktu) sambil memujuk diri bahawa semua ini akan berakhir dalam masa terdekat dan nanti kalau aku bergelar graduan U, gaji aku mampu membuatkan aku melupakan betapa seksa menongkat mata dengan kafein atau menahan air mata yang sudah berlinang di kelopak dari merembas keluar saat musim tengkujuh peperiksaan akhir melanda.

Aku senyum penuh plastik. Untuk menambah nilai estetika, aku membalut plastik itu dengan resin, jika cahaya melalui senyum aku, ia akan membiaskan translucent yang amat cantik dan menarik.

Ya, sangat best belajar di U.

Dapat jumpa cendikiawan (yang kadang membuatkan kita terasa kita di tadika dan dia di puncak U-aku menambah dalam hati) jua bijak pandai. Menambah nilai di mata masyarakat (terutama kalau ada kumbang yang cuba-cuba mengintai antara duri yang melingkari) dan juga kalau pulang ada alasan ampuh untuk berehat ala puteri raja yang beradu saban waktu hatta untuk menyantap pun punya inang apatah lagi boleh beradu walau mentari sudah tegak di kaki langit dengan satu alasan-qada tidur yang terkorban di U.

Dia bersuara dan dapat kucium cemburu pada nada itu.

Aku menambah perisa pada senyum plastik aku.

Kau lagi best. Relax je di rumah,Nazri jua berpeluh mencari rezki.

Dah tanggungjawab dia. Jawabnya datar. Kau ingat jadi suri rumah tak letih? 24 jam tanpa rehat tau.

Dan pahala pun 24 mengalir tanpa henti. Aku menambah cepat. Tak ikhlas rugilah. Aku gelak.
Kau mencebik. Aku cepat menambah, mengulang cakap kau. Perempuan, ikhlasnya selari dengan mulut, tak mengomel, tak cukup la kuota perkataan dalam sehari.

Gelak kita bergabung. Damai dan mengamankan.

Esok kita sambung lagi yea..aku nak ambil batang mancis, nak tongkat kelopak mata aku yang makin merunduk, macam lah ia padi masak yang rendah hati..haha



Monday, February 14, 2011

Monday, February 7, 2011

THOSE WHO FAIL TO PLAN ARE PLANNING TO FAIL

Perancangan: setiap orang merancang, namun perancangan Allah sentiasa mengatasi. Yang penting itu usaha, walau hakikatnya di mata insan yang penting itu ialah hasil. Di mata Tuhan, usaha itu tak pernah rugi, tak pernah tak dikira meski hasilnya di mata insan kurang memberangsangkan.

Minggu ini minggu pertama untuk Block 4 di Tahun 4. Kalau ambil course lain ialah tahun terakhir. Lantaran Tuhan memilih dan aku insan terpilih maka aku menambah setahun lagi demi tuntuntan course yang diambil ini. Pernah aku berkisah kepada seorang teman rapat-keputusan yang diambil dalam masa sedetik merubah hidup kita untuk sepanjang tahun menuju kedewasaan, menuju hari-hari akhir kehidupan. Mengubah segala perancangan dan Plan B terpaksa dilaksanakan dengan penuh keyakinan.

Untuk adik-adik yang masih pening memilih kursus, pilihlah dengan penuh yakin dan cintailah pilihan anda. Yakinlah duri –duri di sepanjang jalan meniti hari graduasi dan terus ke tititan kerjaya itu untuk menambah iman, bukannya menjauhkan kita dari Pencipta Alam.
Jalanan tak pernah lurus. Iman itu tidak terbukti andai tidak diuji. Kapal besar bukan dicipta untuk gah di pelabuhan, bahkan untuk merentas gelombang dan mengharung badai yang tak kenal belas ihsan.

Pesan buat diri, tabahkan hati, gandakan usaha. Cekalkan jiwa, kuatkan kaki yang melangkah, biar terus berdiri meski seakan goyah. Biar terus berlari meski pedih di tapak kaki singgah sampai ke hati. Janji Tuhan itu benar. Yakinlah!
Mata hanya tahu memandang, namun bahu jua membeban berat tanggungjawab, menggalas tugas yang bukan sedikit. Segalanya seakan berebut waktu. 24 jam tiba-tiba jadi amat sedikit.

Oh Tuhan, langkah pertama ini seharusnya teguh, cukup kuat menongkah arus, menyebarkan syiarmu dalam mata-mata yang kurang mahu mengerti.
Dan.....Trapped between Zircon n LA is headache. (aku masih insan yang punya perasaan meski seakan ingin menjadi robot yang tiada rasa)

Masuk je ke kelas yang diingatkan ialah:

End block4 exam nanti, semua subjek ya masuk, start dari 2nd year-both teori dan praktikal. Ni sebagai persediaan untuk Pro Year 5 nanti. Time tu, dah tak terkejar semua benda, requirement lagi, nak belek buku lagi. Owh..harapnya diberi kekuatan yang ampuh untuk menghadapinya. So, baik study sekarang, kalau tak nak headache masa exam.
Exam nanti ada teori, praktikal dan viva untuk semua subjek. Wow! Magnificient !

Subjek-subjek dentistry bukan sedikit yea:

1.       Conservative/restorative

2.       Prosthetic

3.       Periodontic

4.       Paedodontics

5.       Endodontics

6.       Oral public health (biostatistics & epidemiology)

7.       Oral surgery

8.       Oral medicine

9.       Orthodontics

10.   Fixed prosthodontics

Yakinlah, Tuhan takkan menguji apa yang tak terdaya jiwa menghadapi. Masih punya ruang untuk bergerak meski oksigen seakan terhimpit. Masih punya obor iman saat terkapai lemas di lautan duga. Masih punya jalan pulang kerana Allah itu sentiasa lebih dekat dari urat leher sendiri. Selangkah ke arahnya mengundang langkahan lagi hampir Dia kepada kita. 

ANAK FEBRUARI MENURUR DATO' DR FADZILAH KAMSAH