Tuesday, March 31, 2009

SUKAN ANTARA FAKULTI PERGIGIAN


28 March 2009.
UiTM Shah Alam.

Asalnya saya sekadar ingin melihat UiTM Shah Alam lantas mendaftarkan diri menjadi pemain ping pong di samping Assha, Rehe dan Faezin walhal sudah hampir 4 tahun saya tidak memegang bat ping pong. Kali terakhir ialah semasa Tingkatan 4 di MMP dan saya berjaya menjadi Johan untuk pertandingan antara rumah sukan. Saya sudah lupa sama ada saya masuk perseorangan atau beregu. Semasa Tingkatan 3 di Al-Sabirin dulu saya masuk beregu, berjaya juga jadi johan walaupun main macam entah apa-apa.

Kemudian pertandingan sukan antara fakulti pergigian 6 universiti :
UIA
USIM
USM
UKM
UM
UiTM

Saya bergandingan dengan jurulatih saya..hehe Assha. Bayangkan saya yang masih terkial-kial bergandingan dengan seorang yang berpengalaman menyertai banyak pertandingan dan ini kali pertama saya masuk pertandingan yang agak besar.

Kami bertolak dari Kuantan jam 320am dan sampai di UiTM jam 830am. Perasmian ialah pada jam 10am. Pagi itu ada tiga perlawanan:
1-bola tampar
2-futsal
3-bola jaring

Manakala sebelah petang pula melibatkan perlawanan kalah mati dua sukan:
1-ping pong
2-badminton

Namun, kerana perlawanan pagi itu dimulakan agak lambat, maka dilanjutkan pula hingga petang. Ping pong, saya datang bukan dengan harapan yang tinggi, sekadar menumpang aura Assha yang kelihatan bersemangat. Setiap universiti menghantar dua pasukan beregu. eg : UIA A dan UIA B.

Dan perlawanan pertama ialah dengan UM, kemudian dengan UKM. Saya meminjam bat seorang kawan di UiTM yang digunakan semasa sesi memanaskan badan jam 1pm. (saya memang tiada bat). Perlawanan separuh akhir menemukan UIA A dan UIA B. Saya dan Assha UIA A. dan kami menang dengan sangat tipis berkat smash Assha yang mampu membuatkan lawan terpegun. Saya hanya membuat hantaran rendah yang membuatkan lawan menghantar bola agak tinggi, sesuai untuk di smash oleh Assha.

Perlawanan akhir dengan UKM. Tangan saya agak menggeletar saat menghantar bola membuatkan Assha lebih berdebar kerana sering kali bola yang dihantar terkeluar.Tambah lagi pemain itu asyik target saya untuk mendapat mata kerana kelemahan saya berbanding Assha. Kemudian set 1 berakhir dengan hanya perbezaan dua mata. Set kedua lebih mendebarkan saat kami ketinggalan 17-20. Saya memang bermain tanpa perasaan tanpa menghiraukan jumlah mata. Tapi bisikan Assha mengatakan bahawa ini ialah mata akhir lawan membuatkan saya lebih berhati-hati dan seterusnya menguburkan hasrat lawan untuk mengheret kami ke set ketiga yang mampu membuatkan saya lebih tertekan. Sebetulnya saya tidaklah tertekan sangat, tapi eksperesi muka saya benar-benar sangat cemas dan gelabah.

Akhirnya kami pulang dengan gelaran juara untuk perbezaan mata yang sangat tipis, penutup tirai sukan antara fakulti pergigian seluruh Malaysia.

Terima kasih buat Assha yang menjadi partner terbaik saya...juga Sulhi, Rehe dan Faezin yang menjadi teman berlatih yang sentiasa membakar semangat.

TAKDIR IALAH JALAN YANG DITADBIR


Banyak yang terbuku di benak saat segalanya jadi tertangguh. Saat pertama kematian, masih terasa seakan mimpi yang mendatang. Abah telah tiada, berangkat ke negeri abadi dan sehingga kini saya masih tidak mampu meletakkan perkataan arwah di depan kata nama abah. Biarlah kekal begini. Dan perasaan itu ialah suatu keanehan. Di sebalik desakan teman-teman sekelas untuk saya pulang menziarahi abah yang tidak sedarkan diri hampir seminggu di ICU Kubang Kerian dan tiket yang tiada untuk saya pulang malam itu walaupun bukan malam minggu-kata seorang teman: bas memboikot saya. Panggilan getir daripada abang yang sejak beberapa hari menunggu abah di hospital benar-benar menamatkan rasa aneh saya sedari pagi. Tepat 1250 tengah malam 12 Mac, abah dipanggil menghadap-Nya. Dan ini suratan hidup yang saya imani. Bahawa hidup dan mati ialah aturan Allah yang wajib diterima.


Rakan sekelas tolong menghantar saya pulang ke Jeli saat jam hamper 2am. Terima kasih teman-teman, budimu kujunjung sampai hujung nyawa. Banyak SMS yang saya terima malam itu dan air mata tiba-tiba jadi murah. Saat tiada segala kenangan hanya tinggal kenangan untuk diabadikan.

Saya punyai keluarga yang amat bahagia dan saya tidak mampu tabah tanpa ahli-ahli ini. Punyai 3 abang dan seorang adik lelaki. Abang saya yang ke2 hanya tiba di rumah saat jasad abah sudah selamat dikebumikan kerana ada sedikit halangan . Katanya : aku pecut habis yang terdaya. (nasib baik tiada apa-apa). Lantas saat jasad dimandikan semua anak-anak lelaki abah setia di situ. Malah abang saya yang sulung mengimamkan sembahyang jenazah bikin saya tambah berazam: inilah keluarga yang bakal saya bentuk. Anak-anak yang menghafal 30 juz Al-Quran di dada serta mampu menjadi imam dalam semua keadaan. Abang saya yang ke3 pula turun ke dalam kubur menyambut jenazah abah. Katanya : apa guna ada anak kalau hal itupun diserahkan kepada orang lain.


Anehnya perasaan. Sekarang ini saat sendiri, figura abah tepu dalam fikiran. Memikirkan banyak benar jasanya membentuk jati diri saya dengan ketegasan yang tak mungkin berkompromi. Antaranya solat sunat sebelum subuh yang tak pernah saya tinggalkan sampai sekarang. Juga bacaan al-Quran yang sering dilagukan dalam solat menyebabkan saya menghafal ayat-ayat lazim semasa kami solat berjemaah sekeluarga, bait-bait ceramahnya yang masih terngiang-ngiang di telinga dan paksaannya untuk saya belajar bahasa arab menggunakan kitab lama matan ajrumiah dan matan alfiah.

Dan saya hanya mampu mendoakan agar abah tenang di sisi Tuhan.

Sunday, March 8, 2009

MAULIDURRASUL

12 Rabiul Awal-keputeraan Junjungan Besar saw



Ingin benar aku menjadi seorang Fatimah saat aku ialah seorang anak
Terakhir berjumpa saat ingin berpergian di mana-mana
Terawal bertemu saat baginda pulang dari mana-mana tempat
Namun
Tak pernah terlepas daripada hukuman
Andai Fatimah bt Muhammad mencuri, takkan terlepas tangannya daripada hukum hudud Allah




Ingin benar aku menjadi Khadijah jika ialah seorang isteri
Menenangkan Nabi saw saat wahyu pertama hadir dengan perantaraan malaikat Jibril
Menemui Waraqah bin Naifal saat menenangkan baginda Rasul saw
Daripadanya Rasul saw dikurniakan cahaya mata
Andai tulangku bisa membantumu setelah kematianku, ambillah
Begitu sekali dihambakan diri untuk perjuangan Islam



Ingin sekali aku menjadi Para Sahabat
Berkerlipan umpama bintang di langit
Menjual diri demi kelangsungan Islam
Hingga berjaya menakluki dua pertiga dunia


Aku ialah satu antara berbilion umatmu
Kalimat diakhir nafas
Umatku! Umatku! Umatku!
Ya Allah, jika inilah kesakitakan untuk hembusan nafas terakhir, pindahlah kesakitan umatku kepadaku
Begitu Rasul sayangkan umatnya
Bagaimana kita?
Sedang Nabi Ibrahim as sanggup menjadi umat Nabi Muhammad saw, apakah sumbangan kita selaku umatnya?

Friday, March 6, 2009

YANG KURENUNG

Perjamuan Jiwa ~ Khalil Gibran

BANGUNLAH, Cintaku. Bangun! Kerana jiwaku mengalu-alumu dari dasar laut, dan menawarkan padamu sayap-sayap di atas gelombang yang mengamuk

Bangunlah, kerana sunyi telah menghentikan derap kaki kuda dan langkah para pejalan kaki.

Rasa kantuk telah memeluk roh setiap laki-laki, sementara aku terbangun sendiri, rasa rindu membukakan kertas surat tidurku.

Cinta membawaku dekat denganmu, namun kebimbangan melemparkan diriku menjauh darimu.

Aku telah membuang bukuku, kerana keluhku mengunci kata-kata dan desah nafasku meninggalkan tempat tidurku, Cintaku, kerana takut pada hantu lupa yang berada di balik selimut.


Aku telah membuang bukuku, kerana keluhku mengunci kata-kata dan desah nafasku meninggalkan halaman buku yang kosong di depan mataku!

Bangun, bangunlah, Cintaku dan dengar diriku!

Aku mendengarkanmu, Cintaku! Aku mendengar panggilanmu dari lautan lepas dan merasakan lembutnya sentuhan sayapmu. Aku telah jauh dari ranjangku, beranjak ke tanah lapang, hingga embun membasahi kaki dan bajuku. Di sinilah aku berdiri, dibawah bunga-bunga pohon badam, memenuhi panggilan jiwamu.


Bicaralah padaku, Cintaku, dan biarkan nafasmu menghirup angin gunung yang datang padaku dari lembah-lembah Lebanon. Bicaralah. Tak ada yang akan mendengar selain diriku. Malam telah melarutkan semua manusia ditempat tidurnya.

Syurga telah menyulam cahaya rembulan dan menghamparkannya ke seluruh daratan Lebanon, Cintaku.

Syurga telah meriasnya dengan bayangan malam, jubah tebal membentang dihembus asap dari cerobong kain, dihembus nafas kemari, dan mengelarnya di telapak kota, Cintaku.

Para penduduk telah pulas menganyam mimpi di ubun-ubunnya di tengah pohon-pohon kenari. Jiwa mereka mempercepatkan langkah mengejar negeri mimpi, Cintaku.


Lelaki-lelaki longlai menggendong emas, dan tebing curam yang akan dilalui melemaskan lutut mereka. Mata mereka mengantuk kerana dililit kesulitan dan ketakutan. Mereka melemparkan tubuh ke tempat tidur sebagai tempat berlindung dari hantu-hantu yang menakutkan dan mengerikan, Cintaku.

Hantu-hantu dari masa lalu berkeliaran di lembah-lembah. Jiwa para raja melintasi bukit-bukit. Fikiranku yang berhias kenangan menyingkap kekuatan bangsa Chaldea, kemegahan Arab.

Di lorong-lorong gelap, jiwa-jiwa pencuri yang tegap berjalan, muncung-muncung nafsu ular berbisa muncul dari celah-celah benteng, dan rasa sakit berdengung kematian, muntah-muntah sepanjang jalan. Kenangan menyingkap tabir kelupaan dari mataku dan nampaklah Sodom yang menjijikkan, serta dosa-dosa Gomorah.


Ranting-ranting berayun-ayun, Cintaku, dan desirnya bertemu dengan alunan anak sungai di lembah. Syair-syair Sulaiman, nada kecapi Daud dan lagu Ishak Al-Mausaili terngiang-ngiang di telinga kami.

Jiwa anak-anak yang lapar di penginapan menggelupur, ibunya mengeluh di atas kamar kesedihan, dan kekecewaan telah jatuh dari langit. Mimpi-mimpi kebimbangan melanda hati yang lemah. Aku mendengar rintihan pahitnya.

Semerbak bunga melambai seiring nafas pohon-pohon cedar. Terbawa angin sepoi-sepoi menuju perbukitan, harum itu mengisi jiwa dengan kasih sayang dan meniupkan kerinduan untuk terbang.

Tetapi racun dari rawa-rawa jug berkelana mengepul bersama penyakit. Seperti panah rahsia yang tajam, racun itu telah menembusi perasaan dan meracuni udara.


Tanpa kusedari matahari telah mengilaukan cahaya pagi, Cintaku, dan jari-jari timur yang lentik menimang mata-mata orang yang terlelap. Cahaya itu memaksa mereka untuk membuka daun jendela dan menyelak hati dan kemenangan. Desa-desa, yang sedang tertidur dalam damai dan tenang di pundak-pundak lembah, bangun, loceng-loceng berdenting memenuhi angkasa sebagai panggilan untuk mula berdoa.

Dan dari gua-gua, gema-gema juga berdengung, seolah-olah seluruh alam sedang berdoa bersama-sama dengan khusyuknya. Anak-anak biri-biri telah keluar dari kandangnya, biri-biri dan kambing meninggalkan bangsalnya untuk menuai rumput yang berembun dan berkilatan cahaya. Penggembalanya mengikuti dari belakang sambil mengamatinya di balik lelalang. Di belakangnya lagi gadis-gadis bernyanyi seperti burung menyambut pagi.

Kini tangan siang hari yang perkasa terbaring di atas kota. Tirai telah diselak dari jendela dan pintu pun terbuka. Mata yang penat dan wajah lesu para penjahit telah siap di tempat kerjanya. Mereka merasakan kematian telah melanggar batas kehidupan mereka, dan riak muka yang layu mempamerkan ketakutan dan kekecewaan.


Di jalanan padat dengan jiwa-jiwa yang tamak dan tergesa-gesa, dan di mana-mana terdengar desingan besi, pusingan roda dan siulan angin. Kota telah menjadi arena pertempuran di mana yang kuat menindas yang lemah dan si kaya mengeksploitasi dan menguasai si miskin.

Betapa indah hidup ini, Cintaku, seperti hati penyair yang penuh dengan cahaya dan kelembutan hati.

Dan betapa kerasnya hidup ini, Cintaku, seperti dada penjahat, yang berdebar-debar kerana selalu merasa bimbang dan takut.

~ Khalil Gibran