
Banyak yang terbuku di benak saat segalanya jadi tertangguh. Saat pertama kematian, masih terasa seakan mimpi yang mendatang. Abah telah tiada, berangkat ke negeri abadi dan sehingga kini saya masih tidak mampu meletakkan perkataan arwah di depan kata nama abah. Biarlah kekal begini. Dan perasaan itu ialah suatu keanehan. Di sebalik desakan teman-teman sekelas untuk saya pulang menziarahi abah yang tidak sedarkan diri hampir seminggu di ICU Kubang Kerian dan tiket yang tiada untuk saya pulang malam itu walaupun bukan malam minggu-kata seorang teman: bas memboikot saya. Panggilan getir daripada abang yang sejak beberapa hari menunggu abah di hospital benar-benar menamatkan rasa aneh saya sedari pagi. Tepat 1250 tengah malam 12 Mac, abah dipanggil menghadap-Nya. Dan ini suratan hidup yang saya imani. Bahawa hidup dan mati ialah aturan Allah yang wajib diterima.

Rakan sekelas tolong menghantar saya pulang ke Jeli saat jam hamper 2am. Terima kasih teman-teman, budimu kujunjung sampai hujung nyawa. Banyak SMS yang saya terima malam itu dan air mata tiba-tiba jadi murah. Saat tiada segala kenangan hanya tinggal kenangan untuk diabadikan.
Saya punyai keluarga yang amat bahagia dan saya tidak mampu tabah tanpa ahli-ahli ini. Punyai 3 abang dan seorang adik lelaki. Abang saya yang ke2 hanya tiba di rumah saat jasad abah sudah selamat dikebumikan kerana ada sedikit halangan . Katanya : aku pecut habis yang terdaya. (nasib baik tiada apa-apa). Lantas saat jasad dimandikan semua anak-anak lelaki abah setia di situ. Malah abang saya yang sulung mengimamkan sembahyang jenazah bikin saya tambah berazam: inilah keluarga yang bakal saya bentuk. Anak-anak yang menghafal 30 juz Al-Quran di dada serta mampu menjadi imam dalam semua keadaan. Abang saya yang ke3 pula turun ke dalam kubur menyambut jenazah abah. Katanya : apa guna ada anak kalau hal itupun diserahkan kepada orang lain.

Anehnya perasaan. Sekarang ini saat sendiri, figura abah tepu dalam fikiran. Memikirkan banyak benar jasanya membentuk jati diri saya dengan ketegasan yang tak mungkin berkompromi. Antaranya solat sunat sebelum subuh yang tak pernah saya tinggalkan sampai sekarang. Juga bacaan al-Quran yang sering dilagukan dalam solat menyebabkan saya menghafal ayat-ayat lazim semasa kami solat berjemaah sekeluarga, bait-bait ceramahnya yang masih terngiang-ngiang di telinga dan paksaannya untuk saya belajar bahasa arab menggunakan kitab lama matan ajrumiah dan matan alfiah.
Dan saya hanya mampu mendoakan agar abah tenang di sisi Tuhan.
No comments:
Post a Comment