Tuesday, September 28, 2010

FATWA PUJANGGA FAISAL TEHRANI




Setiap tutur katanya tersusun cantik seperti mana bait perkataan yang tercatat dalam lembaran naskhah garapannya. Tidak perlu memperkenalkan Faisal Tehrani, empunya nama ini sudah cukup gah meniti di bibir peminat dunia sastera dan novel negara. Di sebalik keindahan bahasa serta serelung anugerah, saksikan kebangkitan aura karyawan muda ini...

BAHASA puitis yang diungkap penulis muda ini pantas mencuri perhatian. Malah, bahasa itulah yang menambah pesona pemilik nama penuh Mohd Faizal Musa ini tatkala pertemuan diatur di studio Balai Berita, Berita Harian Sdn Bhd di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Lebih tersohor diangkat dalam nama pena Faisal Tehrani, jejaka berusia 36 tahun ini dalam diam sudah hampir 20 tahun mengabdikan diri dalam bidang penulisan. Berdikit menuai kreativiti menerusi penulisan cerpen, novel, sastera serta berjinak-jinak pula ke karya drama pentas, kemampuan penulis ini semakin terserlah. 

Bukan saja karyanya mencuri perhatian dan menjadi buah mulut pengkritik dan pemuja dunia sastera, pengiktirafan dan anugerah tidak dapat dibilang dengan jari.

“Saya ibaratkan seorang penulis itu umpama seorang tukang masak. Manalah sama sentuhan air tangan masakan kali pertama jika hendak dibandingkan dengan pengalaman yang diraih selepas itu. Bukan saja berjaya menemui sentuhan pengalaman yang ada, begitu jugalah seorang penulis.

“Bukan menidakkan hasil karya saya ketika awal dulu, tetapi saya tidak pula melihat semula ke belakang, sebaliknya mensasarkan pencapaian ke depan. Genre penulisan bagi saya seiring dengan kematangan usia dan pengalaman sepanjang terbabit dalam bidang ini.” kata Faisal Tehrani penuh bermakna.

Menyentuh mengenai karektor dirinya, Faisal yang juga Pensyarah Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), mengakui dirinya mempunyai sisi berbeza bergantung kepada situasi yang dihadapinya. Baginya, sisi itu adalah normal dalam menggetarkan karektor serius, lucu, pendiam dan sedih.

Pada masa yang sama, Faisal Tehrani turut bercerita mengenai lokasi yang dijadikan tempatnya mencetuskan karya kreatif. Bagi dirinya, tiada tempat khusus untuk berkarya sebaliknya beliau mempunyai sudut menulis di rumah walaupun mengakui idea menulis datang di mana-mana termasuk di atas katil, LRT, dalam gerabak kereta api, kapal terbang hinggalah di depan meja makan.

“Apa yang penting, laptop sentiasa menjadi teman setia saya. Tidak semestinya perlu menulis tatkala mempunyai idea, sebaliknya memasukkan isi penting dan apa yang terlintas di kepala sudah cukup baik sebagai input yang penting untuk diguna pakai dalam penghasilan karya,” katanya.

Lebih 100 koleksi cerpen, 20 novel kreatif, koleksi himpunan puisi dan garapan kreatif drama pentas, tiada yang boleh menidakkan kebangkitan aura karyawan muda ini...

Ceritakan perkembangan terkini anda?

Setakat ini saya sedang menyiapkan beberapa penyelidikan berkaitan masyarakat Islam di Jepun dan Kejawen, Indonesia. Pada masa yang sama, saya dalam proses menyiapkan sebuah novel terbaru bertajuk Perempuan Nan Bercinta.

Sebagai seorang pensyarah di Aswara, tuntutan tugas membuatkan saya agak sibuk termasuk dalam memenuhi undangan seminar di dalam dan luar negara.

Anda dan dunia sastera memang tidak dapat dipisahkan. Apakah genre kegemaran dalam berkarya?

Bagi saya, setiap genre mempunyai keunikan tersendiri. Selepas hampir 20 tahun dalam bidang ini, saya nyata menggemari esei membabitkan kajian akademik yang memerlukan kita banyak berfikir serta menggali idea.

Sesuai juga dengan profesion saya dalam bidang akademik selain kematangan usia, kepuasan itu hadir kemudian.

Sejak bila anda mula menulis?

Pada usia 16 tahun saya mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan dengan mengikuti program mengkader bagi Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tujuan program ini adalah untuk melahirkan sasterawan muda.

Ketika itu, saya tidaklah ghairah menulis kerana tujuan utama menulis adalah untuk semata-mata mahu menambah wang saku. Yalah, setiap karya yang tersiar di majalah dan akhbar, saya mendapat bayaran yang digunakan untuk keperluan di sekolah dan universiti.

Bagaimana anda mencipta watak menjadikannya sebagai sumber inspirasi dalam berkarya?

Ilham yang saya kumpulkan mewakili masyarakat sekeliling. Selain itu, melalui pembacaan, cerita yang disampaikan serta personaliti dalam kelompok insan sekeliling membuatkan ia dapat dibentuk dengan mudah.

Daripada situlah, watak dapat dibina dengan berkesan.

Bukan senang untuk mencipta plot demi plot dalam bidang penulisan. Bagi anda pula bagaimana idea itu muncul sebelum diterjemah kepada tulisan?

Saya tidak mencari cerita, sebaliknya cerita yang mencari saya. Idea untuk menghasilkan sesebuah karya diceduk daripada cerita rakan-rakan, masyarakat sekeliling yang berkongsi kisah gembira, sedih, muram dan riang. Inilah yang dapat memberikan saya ilham.

Gaya hidup dan kelakuan masyarakat tetap sama walaupun dalam filem mahupun penulisan.

Adakah anda menetapkan tempoh penerbitan buku dalam setahun?

Jika dulu mungkin saya mampu menghasilkan antara tiga hingga empat buku setahun. Tetapi sekarang ini, sebuah buku sudah dikira memadai memandangkan kesibukan sebagai pensyarah, penulis tamu dan undangan ke seminar yang diterima.

Namun, kalau kita perhatikan di negara maju, meskipun seseorang penulis terkenal hanya menerbitkan sebuah buku dalam tempoh tiga atau empat tahun sekali, karyanya tetap dijual dalam tempoh lama. Budaya itu tidak berlaku di Malaysia kerana kelompok pembaca hanya tertarik untuk mendapatkan buku terbaru di pasaran.

Pandangan anda mengenai dunia penulisan di negara ini?

Dunia sastera tempatan banyak dipengaruhi unsur luar yang absural. Boleh dikatakan kita terikut-ikut dengan budaya semasa di mana satu ketika dulu penulis kita gemar mengikuti gaya penulisan era 1980-an, sekejap pula terpengaruh dengan sastera Islam dan pernah menjadikan penulisan pop Indonesia sebagai satu fenomena.

Ia tidak ada identiti tersendiri di mana saya rasa kita perlukan wacara dalam debat, falsafah dan unsur pemikir dalam menggerakkan cerita tetapi masih lagi mengekalkan jalan cerita yang kuat.

Bagaimana anda membahagikan masa antara menulis, pensyarah serta jemputan ke seminar?

Undangan ke seminar tidaklah selalu kerana ia bermusim. Tugasan sebagai pensyarah saya tetap dan andai mempunyai waktu senggang barulah saya menulis. Dalam sehari, adalah sehelai dua tulisan dapat dihasilkan.

Kalau menulis pula, idea itu tidak datang di depan mata, sebaliknya saya perlu mengumpul bahan dan jalan cerita lebih lama. Seperti kita memasak, bolehkah kita hasilkan hidangan kalau tiada bahan mentahnya.

Kepuasan bagi anda setiap kali selesai menghasilkan sesebuah karya?

Sebagai seorang penulis, kepuasan bukan sebab berjaya menyiapkan karya, sebaliknya apabila karya kita berjaya diterbitkan. Bagi saya sendiri, ia akan lebih bererti setiap kali pembaca datang kepada saya dan menceritakan betapa jalan cerita itu memberi kesan bermakna dalam hidup mereka.

Di sebalik 'Perempuan Politikus Melayu'...

BUKAN sekadar mahu menyahut cabaran peribadi, Faisal Tehrani membuktikan kemampuannya menghasilkan novel sulung berjudul Perempuan Politikus Melayu pada usianya baru 19 tahun, kira-kira 17 tahun lalu.

Malah, ada cerita di sebalik pembikinan novel yang tercalon di peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia membuatkan anak muda ini berada di tahap sekarang.

Kata Faisal Tehrani, idea penghasilan novel itu sedikit sebanyak bertunjangkan cabaran oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (Pak Samad) yang berjaya menyiapkan naskhah Salina pada usia 20 tahun.

“Seakan ingin mencabar diri sendiri, maka saya cuba buktikan kebolehan yang ada untuk menghasilkan sebuah karya sulung Perempuan Politikus Melayu.

“Mengikut perancangan awal, saya memang berazam untuk memiliki novel sendiri yang dicetak sebelum usia 20 tahun. Mujur, apa yang saya cita-citakan itu berjaya direalisasikan sebelum tempoh sasaran itu,” katanya yang banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada penulis tersohor tanah air.

Selain daripada Pak Samad sendiri, penulis berkaliber ini juga menuntut ilmu penulisan bersama Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Ungku Maimunah Mohd Tahir melalui medium pembelajaran dan rujukan buku yang membincangkan pendirian dalam pelbagai hal.

Seakan tidak menoleh ke belakang lagi, lantas anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini terus menggapai puitis melalui penulis kreatif dengan bahasa yang tersusun indah. Buku 1515, Maaf Dari Sorga, Tunggu Teduh Dulu, 1511H Kombat, Detektif Indigo, Tuhan Manusia, Ketupat Cinta hinggalah kepada penghasilan Bahlut, semua hasil karya bergerak seiring dengan kematangan dirinya sebagai penulis.

Bukan saja mencurah keringat dalam penulis kreatif, hadir pula pengiktirafan dan kejayaan yang menyusul membuktikan kehadiran Faisal Tehrani dalam dunia penulisan tidak dipandang sepi.

“Pada awal pembabitan saya sebagai penulis, minat menulis tidaklah begitu meluap-luap kerana pada masa itu apa yang saya fikirkan hanyalah untuk mencari duit poket sebagai pembiayaan di sekolah dan kemudiannya di universiti.

“Bayangkan, pada masa itu saya sudah mampu memakai telefon bimbit ‘air botol’ menerusi talian 010. Masa itu, kira canggihlah walaupun tidak ramai yang menggunakannya,” katanya tergelak.

Mencari idea seterusnya, Faisal Tehrani nekad meneruskan legasi selagi hayat dikandung badan.

Faisal Tehrani dan 5 karya kesayangannya

1. Tuhan Manusia
Novel ini dihasilkan bagi menyahut soalan pelajar perempuan Melayu berusia 16 tahun yang bertanya adakah Mother Theresa akan memasuki syurga atau neraka.

Novel ini agak falsafah dan membuatkan saya banyak menyelidik kitab, mengembara dan mengumpul pandangan. Maka lahirlah Tuhan Manusia.

2. Ingin Jadi Nasrallah
Ini adalah buah tangan puisi saya yang pertama dan jarang-jarang diterbitkan. Ia adalah himpunan 15 tahun saya sebagai pengkarya. Ada sebanyak 35 puisi terbaik dalam koleksi simpanan saya sepanjang pembabitan saya termasuk mengembara di serata dunia.

3. Perempuan Politikus Melayu
Pada usia 19 tahun, saya menerbitkan novel sulung ini berikutan cabaran oleh Pak Samad (A Samad Said) yang menghasilkan Salina pada usia 20 tahun. Sebagai anak didiknya, saya cukup berbangga kerana dapat menghasilkan buah tangan sulung sebelum usia 20 tahun.

4. Ketupat Cinta
Novel ini adalah satira politik yang mendapat banyak maklum balas pembaca selepas diterbitkan secara bersiri di akhbar Harian Metro. Malah, naskhah saya ini juga pernah mencetuskan ‘kontroversi’ apabila turut disentuh seorang bekas mufti.

5. Angin Madinah
Jarang-jarang saya hasilkan drama pentas dan kisah Angin Madinah antara hasil kerja yang saya banggakan. Bukan mudah menghasilkan naskhah sebegini kerana ia bermain dengan watak realiti dan berskala besar. Kepuasannya apabila, pementasan ini diterima baik.

Profil: Faisal Tehrani
Umur : 36 tahun
Tarikh lahir : 7 Ogos 1974
Tempat lahir : Kuala Lumpur
Tinggi : 178 sentimeter
Berat : 78 kilogram
Profesion : Pensyarah dan penulis
Status : Berkahwin



No comments: