Monday, October 12, 2009

SAAT CITA MELAMAR CINTA






PERCA 1

AKU fikir cinta mampu membunuh prasangka. Tapi cita rupa-rupanya ialah prasangka cinta baginya.

“Is sihat?” Aku cuba memulakan bicara saat melihat dia merenung jauh ke dalam tasik yang sewarna dengan teh susu yang biasa kucicip dengan roti canai sebagai sarapan setiap hujung minggu. Angin petang sepoi-sepoi bahasa cuba bermesra dengan hujung tudung krimku. Dia diam dan terus membisu. Aku mencuri pandang ke arah mata itu. Apakah aku salah melihat? Tiada cahaya pada mata itu seumpama mentari yang hilang sinar. Layu dan muram.

“Is sudah letih berpura Isya.” Akhirnya kalimah itu muncul jua. Hadir dari jiwa yang letih. Tuhan, inikah kesudahan?

Tanda tanya penuh bersepah di lantai fikirku. Bicaranya menampan angin dan mengundang mega mendung menari di dada langit. Aku menatap tepat ke papan wajahnya. Tuhan, ini bukan kerinduan!

Inikah pengakhiran sebuah hubungan yang kesemai dan kujaga dengan hati tanpa pengkhianatan?

“Isya lebih mementingkan kerjaya daripada hati Is.” Ulahnya berjauh hati saat mula-mula retak talian ini dapat kuhidu. Dan aku enggan ambil penting saat itu. Masakan dia cemburu dengan cita-citaku? Tujuh tahun apakah belum mampu memahamkan dia tentang pendirianku?

“Jangan paksa Isya memilih antara dua, Is. “ Aku separuh merintih. Aku sayangkan dia seperti aku kasihkan kerjayaku. Tujuh tahun berjuang bersungguh, bukan mudah aku untuk mengambil mudah cita-citaku. “Is menyekat cita-cita Isya?” Duganya saat aku menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara atas permintaannya. Aku pekakkan cemuhan teman-teman. Bukan mudah untuk mendapat biasiswa untuk ke luar negara, provok Prof Tin saat aku menyuarakan hasratku untuk melanjutkan pelajaran dalam negara saja. Tapi, aku telah memilih dan aku tidak mampu untuk menarik diri daripada pilihan itu. Izinkan Isya hanya untuk dua tahun lagi. Aku mengharap dia mengerti. Rupa-rupanya aku salah perhitungan. Dia sanggup menunggu aku hanya untuk empat tahun setengah dan dia tewas untuk hanya setengah tahun lagi. Ah! Begitu mudah kau berubah hati Iskandar.

PERCA 2

“Kau ok?” Teman ini amat mudah menebak ketidakstabilan emosiku dan bukan mudah untuk aku memakai topeng tenang saat hati bergalau.

“Kau rasa?”

“Ada sesuatu yang kau sembunyikan daripadaku, betul kan?”

Aku diam. Saat ini aku tiada keinginan untuk mengulas apa-apa.

Aku hantarkan pandangan ke luar tingkap. Kertas-kertas yang bertaburan dirempuh angin yang menerpa masuk aku biarkan saja. Telefon yang menjerit minta diberi perhatian aku pandang tanpa perasaan.

“Hello!” Alwani mencapai telefon yang terperosok antara helaian kertas.

“Risya kurang sihat.Ok.” aku mendengar saja butir bicara itu. Aku enggan ambil tahu. Biarlah untuk hari ini aku melayan rasa. Telah lama rupanya ku tidak mempedulikan perasaan sendiri, apatah lagi perasaan orang lain.

“Isya kan cuma doktor gigi. Kenapa begitu banyak kerja?”

“Walaupun Isya cuma doktor gigi,-aku tekankan perkataan cuma itu-tugas Isya bukan hanya mencabut atau menampal gigi. Isya punya kerja yang lebih dari itu. Isya ialah doktor bahagian leher dan kepala walaupun semua orang tau Isya ialah doktor gigi. Gigi hanyalah satu bahagian kecil daripada tugas Isya, Is. Isya ialah orang pertama yang akan memberitahu pesakit tentang sakit seperti penyakit jantung, barah dan kencing manis. Doktor gigi jadi orang pertama yang mengenalpasti, Is. Dan jika berlaku kemalangan, doktor gigi ialah orang pertama yang dipanggil jika kecederaan itu melibatkan bahagian leher ke atas. Sebab itulah Isya ada on-call seperti doktor perubatan, Is.”

Panjang ujaranku membunuh katanya. Sepi mengurung ruang. Maafkan aku, Is. Aku tidak pernah ingin memeriksa hatimu tapi kau seharusnya mesti memahami hatiku jua.


PERCA 3

Bilah-bilah hari membentuk minggu yang akhirnya menyulam bulan. Aku kian lupa hati yang dikecewakan kerana aku masih punya tugas yang belum diselesaikan. Abangku, Zafir tak henti-henti menelefon untuk memastikan aku ok. Dia memang seorang abang yang baik dan aku semestinya tidak mahu menghampakan hatinya. Dialah orang yang pertama memanggil aku doktor saat aku masih di tahun dua pengajian. Tak henti-henti dia memberikan sokongan kepadaku.

Aku baru saja menjalin kerjasama dengan Doktor Azmiera untuk satu kajian yang membuka ruang baru dimensi kerjasama antara Jabatan Oftalmologi dan Jabatan Oral dan Pembedahan Maksilofasial-salah satu cabang dalam bidang pergigian.

“Gigi kanin atau gigi taring?”

Subhanallah! Aku terpempen seketika.

“Kalau Doktor Risya nak tahu, Singapura telah berjaya melakukannya dua bulan yang lepas.

“Peratusan untuk berjaya?”

“20 hingga 25%. Semua pembedahan ada risikonya Doktor Risya,” tekannya. “Tapi, tak berani mengambil risiko bererti tiada gunanya penyelidikan bertahun-tahun. Bukan mudah ilham itu untuk hadir dan apakah setelah jalan itu ada kita terpaksa mensia-siakannya, Risya?”

Aku memaksa neuron-neuron dalam otakku bergerak pantas. Bantulah aku untuk menimbang membuat keputusan. Tak lupa aku tadahkan doa kepada Yang Maha Memberi Petunjuk. Ya Allah, aku hamba-Mu yang lemah. Bantulah aku dengan keyakinan untuk membuat keputusan yang besar dalah hidup. Ini pembedahan pertama yang aku terlibat secara langsung di dalamnya.

“Cuba Doktor Risya fikir, betapa bersalahnya kita tidak memberi cermin kepada insan yang memerlukannnya untuk melihat kehidupan. Dan membantu memulihkan penglihatan seorang yang pernah melihat dunia namun tidak dapat melihatnya kerana korneo mata sudah tidak berfungsi lagi besar sumbangannya. Saya tau Doktor Risya tentu tahu betapa besarnya pahala membantu orang lain dengan kepakaran dan ilmu yang dimiliki.”

Dan hari itu, genap tiga tahun pertemuan terakhir aku dengan Iskandar aku membuat keputusan.

“Doktor Azmiera, saya bersedia untuk membantu doktor.”

Dan kami bertukar senyuman penuh erti.

PERCA 4

“Pesakit masih muda, dalam 28 aku kira. Disimbah asid oleh remaja nakal sewaktu bertugas. Hmm..remaja sekarang, buat sesuatu tak guna akal.” Begitu Alwani, teman serumahku menggumam.

Aku senyap, cuba fokus terhadap penerangannya. “Korneo matanya rosak teruk, membunuh terus penglihatannya. Sayang sekali pemuda kacak begitu jadi hilang daya lihat.” Ulah Alwani sedikit nakal. Ah, teman seorang ini memang tak pernah kering dari ketidak seriusan saat bekerja. Aku pun hairan saat gadis main-main macam dia boleh menamatkan pelajaran dengan jawatan doktor di pangkal nama.

Alwani memandangku dengan penuh erti. Senyum sejuring.

Jadi, dialah orangnya?

Ya, dan kau ditugaskan untuk bertanggungjawab terhadapnya.

“Baik!”


PERCA 5

“Assalamualaikum, Encik.”

“Waalaikumussalam.” Sebelum sempat salam habis dijawab lelaki itu berpaling. Mega resah berarak pada kerutan dahinya. Barangkali dia sedang memadankan suaraku pada pemilik nama yang pernah dikenali.

“Isya?” kalimah itu terlontar spontan. Ternyata tiga tahun belum cukup untuk melupuskan suaraku dari daftar ingatannya.

Jeda sejenak sebelum kata bersambut.

“Is?”

Dua mata bersabung pandang. Tiada kata yang sesuai menterjemahkan suasana. Lelaki itu dihadapanku telah hilang kredibiliti pada pandangan mataku. Tiada lagi senyum menyenget dengan mata mengecil yang kupuja.

“Saya, Doktor Risya. Aku cuba bersikap formal.”

“Isya, tak perlu bersikap begini.” Ada serba salah pada nada suara itu. Dan oh Tuhan, matanya.

Lelaki ini hadir, apakah mampu membuka lembaran kenangan yang telah mampu aku kunci walaupun tidak sepenuhnya?

“Saya akan memberi penerangan tentang rawatan yang bakal dijalani oleh Encik Iskandar.”

“Isya,jangan buat Is rasa terseksa begini. Iskandar seolah merayu.”

“Jadi, keputusan Is dulu tidak menyeksa diri Isya. “ Aku mengeraskan nada. Aku telah lupa bagaimana interaksi dengan pesakit seharusnya terjadi. Adakah mungkin kerana kasih padanya masih membekas di hati?

“Oh, maaf.”

Aku menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati. Tidak seharusnya aku beremosi begitu.

Dia menanggalkan kaca mata hitamnya dan aku melihat ada yang hilang di situ. “Bantulah Is mencari cermin yang hilang, Isya.”

Dan kanvas putih menunggu masa untuk diukir.

PERCA 6

Isya bagaikan cermin bagi Is. Itu tulisannya lewat SMS petang tadi. Is tak mampu melihat indahnya dunia andai kita tidak ditakdirkan bertemu.

Itulah tulisannya yang membuatkan aku mampu menyambut huluran kasihnya.

“Berjanji menyokong Isya dalam setiap keputusan.”

Dan Iskandar hanya tersenyum manis.

Dan janji barangkali kadang-kadang hanya sekadar lafaz yang sukar untuk ditepati. Dia mula mendesak untuk aku memberi lebih perhatian padanya.

“Beribu ayah Isya habiskan harta untuk menyekolahkan Isya, takkan nak belajar sambil lewa je.” Aku cuba menguji dirinya.

“Bukan itu maksud Is.” Suaranya datar. Aku mengalih pandangan ke arah trek jogging. Semakin ramai yang memenuhi tempat ini. Anak saudaraku yang kuajak untuk menemankan setiap kali berjumpa Iskandar sedang asyik membaca.

“Sekurang-kurangnya kita bertunang. Barulah hati Is tenang sikit.”

“Is tak percayakan Isya?” Aku menjegil padanya.

“Bukan.” Suaranya makin terasa tidak tentu arah.

Atau, mak Is dah carikan jodoh untuk anak lelaki tunggalnya?

“Isya dah tau?”

“Jadi betullah tekaan Isya.” Aku sedikit kecewa.

Dan galau di hatiku tambah menjadi.

“Isya balik dulu, ada ujian minggu depan.”

Dan aku bangun membawa hati yang sedikit terluka. Tekanan musim ujian tidak seteruk tekanan saat kepercayaan dilukai begini.

“Farha, jom.”

PERCA 7

Bilik mensyuarat itu hening, sehening rasa insan yang sedang menggerakkan neuron masing-masing. Aku melihat Prof Bazirgan sedang khusyuk berbincang dengan Prof Falah. Mereka ialah masing-masing ketua dari Jabatan Pergigian dan Oftalmologi. Merekalah insan penting yang bertanggungjawab memantau kes ini dan seterusnya melakukan pembedahan. Aku dan Doktor Azmiera sekadar pembantu. Aku melihat laporan pesakit yang dibentangkan oleh Doktor Azmiera.

“Keadaan gigi kanin kanan sebelah atas harus dipantau secukupnya kerana itu bahagian yang paling penting untuk diperhatikan. “

“Kita akan membentuk gigi itu untuk menggantikan korneo matanya dan sambungan saraf optik akan memastikan matanya mampu melihat kembali. “

“Walaupun penglihatan berjaya dipulihkan pesakit masih perlu memakai cermin mata kerana tahap penglihatan yang berjaya dipulihkan hanyalah 6/10.”

Tidak banyak, fikirku. Tapi, itu ialah satu usaha yang membantu memberi mata kepada insan yang pernah kehilangannnya. Kemudian, kami dibaluti aura semangat membantu dan masing-masing mula sibuk membincangkan prosedur pembedahan.

PERCA 8

“Is ok?”

Dia senyum tawar. “Isya sihat?”

“Alhamdulillah.”

“Isya macam tak cukup rehat.”

“Dari dulu lagi memang ini rutin Isya, Is.”

“Dah siap kerja?”

“Isya hadir atas nama kawan, bukan nama doktor, Is.”

Kami sama-sama diam, membiarkan sepi mengisi ruang.

“Isya, terima kasih.” Suaranya dalam.

“Untuk apa?”

“Kerana tak pernah berdendam.”

Masakan aku secetek itu pemikiran.

“Isya dah dewasa Is, sudah tahu membezakan emosi dan rasional. Is ialah pesakit, Isya akan melakukan apa saja untuk membantu dengan ilmu yang dipelajari.”

“Is akan pulih kan?” Ujaran itu ada sedikit keraguan yang ditemani sedikit ketakutan.

“Kami akan berusaha sedaya-upaya. Is jangan bimbang kerana apa yang paling penting sekarang ialah semangat Is untuk menjalani kehidupan baru. Sememangnya pengurusan emosi sangat penting kerana ia akan mempengaruhi otak yang akan memberi arahan kepada anggota badan yang lain.”

“Farha macam mana sekarang, semakin tembam?”

Aku senyum saja mendengar usikannya.

Dan kami berbual-bual seketika dan aku seakan terasa telah menjumpai kembali Iskandar yang kukenal dulu.

“Is, aku pergi dulu. Aku harus membuat sedikit laporan.”

Dan aku melihat angguk yang seakan dipaksakan.


PERCA 9

“Pembedahan ini dijadualkan jam 9 pagi 12 Ogos nanti.”

Aku hanya mendengar butir kata tanpa respons.

Gigi manusia dewasa ialah 32 batang yang mempunyai fungsi yang berlainan. Gigi kacip untuk menggigit makanan dan gigi kanin atau gigi taring ialah untuk mengigit makanan dengan daya yang lebih kuat daripada gigi kacip. Gigi ini mempunyai akar yang paling panjang sehingga hampir memcecah mata. Lantaran itu nama lain bagi gigi taring ialah ‘eye-teeth’.

Gigi taring penting untuk membentuk bentuk muka kerana ia ialah gigi yang terletak antara gigi depan yang lurus dan gigi belakang yang sedikit membelok. Biasanya gigi ini ialah gigi yang paling akhir untuk dicabut kerana ketahanannya menghadapi serangan bacteria yang hidup di dalam kaviti mulut.

Dan, aku membayangkan Iskandar tanpa gigi kanin sebelah kanan. Tapi, jangan kau risau Is, aku sendiri yang akan membuat implant pada gigimu kerana aku tak sanggup melihat senyummu yang tidak menawan tanpa gigi itu.

Ah, Iskandar!

PERCA 10

Aku hanya memberi kata-kata semangat sebelum sekujur tubuh itu dibawa ke bilik pembedahan. Mata itu kuyu mengharap dan aku melihat ibu bapanya hadir. “Mana bakal isterimu Is?” soalan itu keluar spontan tanpa sempat kutahan.

Dia menyambut pertanyaan dengan senyum sinis.

“Masakan masih sudi dia melihat aku berkeadaan begini.”

Aku memandangnya tepat-tepat.

Aku masih sudi, Is. Namun, bicara itu hanya bergema di dalam hati.


PERCA 11

“Isya tak jauh berubah.” Itu bicara pertama dia padaku saat aku menyuakan cermin mata untuk dipakainya.

Dia hanya memakai wajah selamba saat doktor-doktor lain memandang kami berdua dengan pandangan yang semacam pelik.

Dan aku dapat merasakan bunga-bunga rasa yang kembali berkembang.

PERCA 12

“Isya wanita yang percaya pada jodoh, juga yakin pada takdir. Kerana itu Isya di sini, Is. Isya boleh memilih untuk tidak terlibat, tapi kenapa Isya sudi?”

Dia diam. Ujaran ini tak perlu ditokot tambah kerana dia sedar bagaimana hatiku saat ini. Aku membuang pandang ke luar, melompat menerusi tingkap lutsinar dan senyum kami berpadu di dada langit lazuardi yang membenihkan awan menari riang.

“Kita mulakan sekali lagi, Isya.”

“Sanggup bermadu dengan kerjaya Isya?” Aku cuba menduganya.

“Is akan belajar bagaimana untuk berterima kasih.”

Dan kami tahu ke mana hala tuju perbualan ini.

DIA BUKAN MELAYUKAH?




Alasan mereka inggeris ‘ya bahasa mereka yang pernah menjajah negara dan mengangkut segala rempah ratus kehidupan dan sekarang mewariskan perundangan sivil mereka hingga kita jadi lupa syariah itu undang-undang yang tak pernah salah’ ialah bahasa ilmu, bahasa penting yang wajib dipelajari dan bahasa segala perhubungan.

Alasan lagi-kita bijak benar mereka pelbagai alasan hingga lupa untuk mencari walau satu jalan-kita tak mampu menterjemah buku-buku rujukan (ini alasan mahasiswa yang melupakan asal-usul sendiri) bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu. Ah, pemalas kamu!

Tapi, mengapa sains dan matematik dijadikan mangsa kerana masalah bahasa kamu yang lemah? Penyelesaian yang betul ialah bukan memperjudi nasib anak bangsa terutama mereka yang di pedalaman tetapi memperkasa bahasa itu sendiri. Ah, saya malas benar mengulas benda yang semua orang sudah maklum.

Dan hari ini Allah izinkan saya melihat lagi satu krisis. Betapa krisis identity bukan saja berlaku di kalangan remaja belasan tahun, ia boleh juga menjangkau hingga orang dewasa.

Saat berada dalam zon selesa, kita sering lengah. Membiarkan saja bangsa lain (saya bukan rasis) mengunyah segala khazanah sedang kita dengan hak-hak istimewa orang melayu atau kaum bumiputera hanya goyang kaki menganyam mimpi yang entah bila akan menjadi pasti. Bermimpi tidak salah kerana dari mimpi segalanya membentuk impi, tapi mimpi yang tak pernah jaga tidak akan pernah diterima tentunya.

Tapi, menyalahkan bangsa sendiri menyebabkan tiada kemajuan bukan satu tindakan yang bijak saya kira. Seorang itu meletakkan tanda salah pada satu keadaan. Dia tercampak ke dalam golongan yang berdaya saing dan sentiasa ingin maju kerana menyedari dirinya hanyalah menumpang di tanah terhalang.

Umpamanya seorang buruh Indonesia hadir ke Malaysia, tentunya dia akan bekerja bersungguh-sungguh kerana menyedari persaingan yang menggugat kedudukannya jika tidak berusaha. Namun, saat dia menyedari hidupnya sudah dalam ‘zon selesa’ dia akan menurunkan tahap kesungguhannya kerana percaya kehidupannya sudah terjamin.

Jadi, perubahannya kerana desakan hidup atau tekanan situasi. Tekanan itu positif tentunya hingga mampu memotivasi diri. Namun saat tekanan hilang, motivasi terus hilang kerana motivasi itu hadir selepas tekanan.

Jangan jadi semacam itu teman. Kita khalifah yang punya ‘akal untuk pertimbangan. Bertandinglah dengan diri sendiri untuk memajukan diri. Lupakah kamu dengan pesan baginda Rasul saw..tafsirannya..jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Bekerja untuk dunia seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan bekerja untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok.

Andai tiada yang nerubah, biarlah kita mengubahnya. Perubahan itu bermula dengan kita, bukannya kita berubah mengikut persekitaran. Jadilah seperti ikan masin yang tetap masin biarpun di dalam kuali di dapur kamu.


STRUGGLE FOR SURVIVAL

Itu kata Darwin dalam dogma aliran Darwinism demi mempertikaikan kewujudan Pencipta Alam. Alam terjadi sendiri. Benda tidak hidup membentuk benda hidup, dakwanya. Dan air ialah Tuhan yang mampu membentuk alam semesta. Sebagai seorang biologist, Darwin memanipulasi ‘kononnya’ penemuan saintifik untuk mengheret dunia abad ke-19 ke arah kekacauan yang amat.

Untuk yang mahu berfikir, betapa songsangnya dakwaan Darwin yang menguasi seluruh aspek daripada politik, ekonomi dan social seolah-olah mengakui terhasinya seekor burung daripada kereta yang ditinggalkan di padang pasir bertahun lamanya. Janggal dan aneh bukan? Sesuatu yang mustahil terjadi. Lebih aneh, mengapa dakwaan ini diterima dunia? Alasannya ialah demi melesenkan kekejaman dan melaksanakan hukum rimba serta memenuhi kehendak nafsu lawwamah yang menghalalkan sebarang penindasan demi kehendak sendiri.

Tapi, sebenarnya bukan Darwin pencipta teori evolusi yang hingga sekarang masih punya pengikut yang masih tidak bertemu Tuhan pemilik semesta sehingga sekarang. Hakikatnya pada zaman Mesopotamia (masih ingat buku sejarah SPM anda?), teori evolusi merupakan salah satu kepercayaan masyarakat yang percayakan kepercayaan karut-marut.

Menurut epic Enuma-Elish, yang berbalik pada orang Sumeria, semasa banjir besar terjadi, dua Tuhan yang bernama Lahmu dan Lahuma tiba-tiba muncul. Kepercayaan mereka, dua Tuhan ini pada mulanya mencipta diri mereka sendiri, dan kemudiannya mencipta alam semesta. Kesimpulannya, orang Sumeria percaya bahawa kehidupan ini muncul daripada kekacauan banjir, mengalami evolusi dan berkembang.

bersambung..entah bila

Saturday, October 10, 2009

ISTIQAMAH TEMAN!

Seringnya kita terfikir, ktalah yang paling malang

Selalunya aku berfikir, kenapa aku yang gagal dalam setiap ujian

Seringnya aku mengeluh, kenapa aku yang mesti diuji sebegitu

Dan seiring aliran kehidupan baru aku mengerti

Andai aku yang sering gagal, ada jua insan yang tak pernah lulus

Andai aku yang sering menangis, ada anak yang tak pernah jumpa perkataan ketawa dalam hidupnya

Andai aku sering resah, ada insan yang boleh tersenyum saat bersabung nyawa

Andai aku sering menyesali diri, ada insan yang cemburu dengan pencapaian diri

Andai aku aku terasa lemah, ingatlah Allah tak pernah jauh

Andai insan marahkan dirimu, ingatlah Allah di sisimu andai kebenaran yang kau perjuangkan

Dan

Kau takkan pernah lemah dan kalah selagi ‘izzah Islam yang kau bawa kau pegang teguh

Monday, October 5, 2009

entah bila bakal bersambung...

Daerah kanak-kanak memang tidak punya dimensi yang luas. Aku hanyalah budak sembilan tahun yang masih tidak mengerti atau sengaja pura-pura tidak mengerti bahawa tingkah sedemikian umpama mencurah minyak ke bara api yang semput untuk mengintai oksigen. Malam pekat, langit kelam tanpa bulan. Bintang lenyap entah ke mana. Langkah kuheret dalam ketakutan yang beraja. Kaki ayam lantaran tidak sempat menyambar selipar di ruang depan terasa sakit angkara bergeser dengan kerikil di jalan. Tangan meraba-raba dengan mata yang semacam dibutakan.

Aku mengesap air mata yang berjejeran sambil menyapu hingus yang masih meleleh umpama air. Sebelah lagi tanganku menutup mulut, bimbangkan jika suara tiba-tiba didengar. Ketakutan meredah malam telah dibunuh oleh semangat untuk melepaskan diri,bimbangkan badanku jadi berbirat dengan belang-belang merah.

Di mana kau, budak degil! Suara itu kedengaran melantun dalam sepi yang menguasai. Aku cuba membatukan diri. Namun, lantaran bimbang dijumpai aku mengheret lagi langkah menjauh. Aku umpama protagonis dalam drama paling kejam yang dikelilingi semuanya antagonis.

Pap! Kakiku tersandung pada bata untuk digunakan menyambung bahagian dapur rumah Pak Cik Hafiz yang khabarnya bakal ke Mekah hujung bulan ini. Dahiku hampir-hampir mencecah bucu tiang. Aku mengutuk kelalaian sendiri. Tenang, aku mesti berfikir secara rasional, begitu hati kecilku memberi cadangan saat nafasku mula jadi tak teratur.


Aku sudah letih menjadi umpama pencuri yang dihambat polis tanpa lelah. Aku memikirkan destinasi untuk menamatkan perjalanan tanpa arah ini. Aduh, bagaimana aku boleh lupa. Hujung perumahan ini punya pondok kecil yang aku gunakan untuk menyembunyikan diri saat aku terasa ingin menangis. Anak jantan masakan mahu menitiskan air mata di khalayak? Bukan aku kemaruk nak menangis, tapi air itu degil, memang berniat untuk memalukan tuannya.

Belum sempat kakiku bertindak mengikut arahan, ada tangan kasar yang merenggut baju T shirt leher bulat yang kupakai. Aku hampir menjerit saat tangan itu menutup kemas mulutku sambil berbisik keras. Akulah, Yose. Dia umpama hero yang tak diundang. Jom,” undangnya tanpa lengah. Aku yang keletihan yang amat sangat mendengus umpama banduan yang dipaksa menjalani tahanan dalam jeriji yang pengap. Ke mana? Ke rumah akulah setan kecil, bisiknya sambil ketawa kecil. Kepala bukan main besar, benda kecil pun tak boleh nak fikir. Terasa ringan saja tanganku untuk mengoyak mulutnya yang sinis itu. Tapi, mengenangkan sekarang bukan waktu yang sesuai, aku pendam saja. Ada ubi ada batas, ada masa boleh hempas!

Kami melangkah umpama mata-mata. Aku menarik nafasku yang terasa hampir putus sambil mencuba kembali kepada degupan jantung yang normal, bukan semacam orang yang dikejar anjing gila. Kami sampai di rumah kakakku yang mamai-mamai membuka pintu. Tentunya dia tertidur setelah penat mengerah kudrat di ladang getah. Yose, merangkap anak saudaraku yang amat tidak menghormati aku selaku bapa saudaranya menonong ke dapur.

Kau dari mana, tiba-tiba muncul? Aku menyoal setelah meneguk segelas besar air suam dengan satu teguk. Aku ke rumah tadi. Nini yang beritahu pasal kau.

SEORANG AKU


Seorang aku ,wajahnya beku

Matanya layu,hatinya lesu

Seorang aku,wajarkah begitu

Masih sedingin salju,tatkala

Yang lain sudah sehangat mentari

Seorang aku

Disaluti oleh debu-debu resah

Tumpuannya hilang jadi tidak menentu

Terpinga-pinga hingga jadi tak keruan

Seorang aku,fikirannya menerawang entah ke mana

Hanya jemari lincah menari

Kanvas putih jadi tercemar

Seorang aku,pada saat yang tak tertentu

Duduk sendiri menghasilkan abstrak diri

Life is not that too simple



Kekeliruan memenuhi segenap ruang fikir.

Aku terpenjara dalam seluruh liku


Sakitnya berpura saat mengelegak rasa

Gelodak jiwa yang tak siapa mengerti

Ruang ini, kadang-kadang aku ingin dia beralun tenang

Penuh keindahan dan ketenteraman

Masih aku cuba memaniskan rasa

Demi mengisi mahmudah yang terkebelakang

Namun, tindaknya aku sudah menduga


Inikah akhirnya?

Atau inikah larutan dari yang dulu

Aku cuba bersikap

Namun, sikap itu benar-benar menyakitkan

Aku cuba menerima

Namun, kebiasaan itu kadang memuakkan

Tambah menjelikkan

Atau akukah yang terlalu membesarkan perkara

Tuhan, lontarkan hidayah-Mu

Agar aku mampu mengerti

Ditemukan dengan insan yang salah di pagi hari

Petangnya, saat aku bertemu insan yang betul

Aku mampu jadi lebih mensyukuri

Friday, October 2, 2009

ANTARA AKU DAN JARAK





Banyak kali saya cuba menulis entri tentang raya dan acapkali entri itu disimpan saja tanpa di postkan. Raya kali ini benar-benar berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Saya ada beberapa alasan untuk menyifatkan raya tahun ini begitu:

1. Kakak saya yang di Mesir pulang bersama anaknya . Anak saudara saya ni namanya dicadangkan oleh mak saya, Nampak dalam gambar besar je, tapi hakikatnya alahai..jadi jangan percaya sangat kat gambar yea. Kakak saya teruja sangat nak balik sebab abang saya nak kahwin pada 4 Syawal 1430H.

Yang paling saya geram sangat dengan anak saudara saya ni sebab baik sangat. Alahai..nak kacau pun tak best sebab dia susah nak menangis. Jangan tak tahu hobi saya cubit pipi anak-anak dan sungguh seronok melihat mereka menangis. Memang dah kena marah dengan kakak saya, tapi tak pernah nak serik-serik lagi..haha.

2. Abang kedua saya kahwin. Macam biasa orang Kelantan memang susah nak lepas anak dia kahwin dengan orang luar. Perkahwinan ni mak saya yang pilih menantunya. Rumah pun jarak dalam 30 minit je. Akad nikah pakai tema hijau dan majlis sambut menantu di rumah saya pakai tema kuning cair. Dah lama arwah abah nak tengok abang kahwin. Harapnya arwah abah akan tenang di alam abadi.

3. Kamera saya rosak. Tanpa sebarang alamat tiba-tiba saya lensa kamera saya tidak berfungsi. Hajat saya untuk mengabadikan perkahwinan abang saya dan suasana raya terus gagal. Penyelesaiannya ialah saya membeli telefon bimbit baru yang berkamera. Kamera tu hajatnya nak baiki masa datang Kuantan. Ditambah dengan telefon saya yang bermasalah sering saja mati tanpa disuruh, keputusan ini memang tepat pada masanya walaupun terpaksa ‘menggeletek’ ATM dan akaun memang kering sementara tunggu biasiswa bulan 12 nanti.

4. Raya tahun ni setelah bertahun lamanya tidak punya baju raya, akhirnya ada juga baju baru tahun ni. Alkisahnya saya bercadang untuk memakai tiga pasang baju baru. Tapi, alangkah sedihnya saat pulang ke rumah, satu pun baju tak siap lagi. Macam nak menangis pun ada..huhu.

Malam raya, mak saya bagi amaran awal-awal, siapa yang ponteng solat sunat tasbih 4 rakaat di masjid Jeli yang diimamkan oleh Imam tahfiz Zubir dan Anuar diharamkan beraya. Saya mana boleh ponteng, dahlah imam Zubir bacaan dia best dan sungguh menyentuh lagi . Lantas saya jawab, saya nak pergi solat, tapi tak mahu beraya sebab tiada baju baru. Melampau sungguh anak dara seorang ni..haha.Esoknya saya bangun tengok baju dah hampir siap, tunggu kena jahit bahagian bawah . Siap satu pun jadi la. lagi dua pasang simpan la raya 2@3 tahun akan datang.

Dah la tahun ni je saya semangat nak raya, tak ada baju baru sedih la juga. Ya la tahun depan belum tentu ada semangat nak raya kan. Kalau tak ada semangat nak raya, saya memang tak akan pakai baju raya.

5. Abang saya yang sulung balik petang 1 syawal-dah berapa tahun dia 1 syawal kat Kelantan, jadi tahun ni 1 syawal kat Terengganu la pula. Pagi-pagi setelah siap solat raya dan makan sekadar alas perut kami ke kbubur arwah abah-rutin baru raya aidilfitri tahun ini. Dan mengetuai kami ialah abang yang bakal kahwin-Us C.Le. Kakak saya yang di Mesir tak sempat di rumah pada saat-saat terakhir arwah abah.

6. Semua adik beradik saya berkumpul tahun ni. Memang best dapat kumpul ramai-ramai. Adik saya terlebih rajin membuat kuih . Saya menggunakan alas an untuk exam untuk saya mengelat-saya memang kurang suka bab masak memasak ni, tapi kalau bab mengemas dapur tak ada hal nak suruh. Saya memang ada bakat mengemas ni..dengan kata lain ada sedikit kerajinan la. kat rumah saya tolong cat sikit, tolong kemas mana yang perlu..hehe. dah kena kutuk dengan abang saya bab tak reti memasak tapi saya buat tak tahu je. Haha..

Kesimpulannya, saya sangat puas hati dengan cuti raya seminggu tahun ni.

LUHUR SEBENING KASIHMU INSAN

SALAM SEJAHTERA

Oleh : SAMUDERA

Tiada secantik bahasamu

Kugubah lalu menjadi lagu

Tidak setanding paras wajahmu

Itu menjadi rindu

Andainya bulan retak seribu

Bayangmu ada di mana-mana

Jika kaca berderai

Luka tertusuk seluruh jiwa

Kita pun diibaratkan kasih suci yang bahagia

Aku turut merasakan mahligai

Yang jadi nyata bersamamu

Pertama dan kaulah selamanya

Riwayat yang menghikayat cinta

Kasih jangan biarkan

Kata yang nista membakar kita

Kata janji bukan ukuran

Hanya sejati dalam diri

Kuburkan aku di hatimu

Demi cinta sebelum mati

Sejauh manapun berpisah

Kau dihatiku dan ku sama

Dalam tidur dalam terjaga

Kuucapkan salam sejahtera

Andainya bulan retak seribu

Bayangmu ada di mana-mana

Jika kaca berderai

Luka tertusuk seluruh jiwa

Kita pun diibaratkan kasih suci yang bahagia

Aku turut merasakan mahligai

Yang jadi nyata bersamamu

Kata janji bukan ukuran

Hanya sejati dalam diri

Kuburkan aku di hatimu

Demi cinta sebelum mati

Sejauh manapun berpisah

Kau dihatiku dan ku sama

Dalam tidur dalam terjaga

Kuucapkan salam sejahtera

SEPASANG KURUNG BIRU

Oleh : KHAIRIL JOHARI

Tiada salam atau ucapan

Tiada pesan tanda ingatan

Suasana penuh keriangan

Kuteringat pada seseorang

Oh..

Di hari yang berbahagia ini

Hatiku kosong dan sepi sekali

Betapa manis kenangan lalu

Menyambut raya bersama denganmu

Oh..

Tiada bisikan lembut yang kudengar

Hanya suara azan sayup bergema

Masih kurasakan hangat tanganmu

Di pagi raya bersalam denganku

Tetamu datang tetamu pergi

Namun tak tiba orang ku nanti

Hanya sepasang kurung nan biru

Menjadi teman mengubat rinduku

Tiada bisikan lembut yang kudengar

Hanya suara azan sayu bergema

Masih kurasakan hangat tanganmu

Di pagi raya bersalam denganku

LUHUR

Oleh : KAMIKAZE

Ku singkap kembali

Detik akhir bersama

Linangan air mataku menitis

Dalam pelukan dakapan yang terakhir

Mengalir darah membasahi bumi

Pergi yang tak kembali

Untuk selamanya

Segar indah

Namamu di hatiku

Perjuanganmu bagai lilin membakar

Bersinar menerangi kegelapan

Rela berkorban

Meredah onak berduri

Jasa baktimu sejernih air di kali

Bersemadilah engkau

Aman di pusara

Sinar cahaya murni keramatmu

Berjihad biar menitis

Oh..darah terakhir

Menjadi lambing cinta yang terluhur

Sayu dan pilu

Bermain di jiwaku

Hilangmu kini tiada pengganti

Hanya namamu tersemat di kalbuku

Menjadi satu kenangan abadi

Sayu dan pilu

Bermain di jiwaku

Hilangmu kini tiada pengganti

Hanya namamu tersemat di kalbuku

Menjadi satu kenangan abadi

Menjadi satu kenangan

Yang abadi