Monday, October 12, 2009

DIA BUKAN MELAYUKAH?




Alasan mereka inggeris ‘ya bahasa mereka yang pernah menjajah negara dan mengangkut segala rempah ratus kehidupan dan sekarang mewariskan perundangan sivil mereka hingga kita jadi lupa syariah itu undang-undang yang tak pernah salah’ ialah bahasa ilmu, bahasa penting yang wajib dipelajari dan bahasa segala perhubungan.

Alasan lagi-kita bijak benar mereka pelbagai alasan hingga lupa untuk mencari walau satu jalan-kita tak mampu menterjemah buku-buku rujukan (ini alasan mahasiswa yang melupakan asal-usul sendiri) bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu. Ah, pemalas kamu!

Tapi, mengapa sains dan matematik dijadikan mangsa kerana masalah bahasa kamu yang lemah? Penyelesaian yang betul ialah bukan memperjudi nasib anak bangsa terutama mereka yang di pedalaman tetapi memperkasa bahasa itu sendiri. Ah, saya malas benar mengulas benda yang semua orang sudah maklum.

Dan hari ini Allah izinkan saya melihat lagi satu krisis. Betapa krisis identity bukan saja berlaku di kalangan remaja belasan tahun, ia boleh juga menjangkau hingga orang dewasa.

Saat berada dalam zon selesa, kita sering lengah. Membiarkan saja bangsa lain (saya bukan rasis) mengunyah segala khazanah sedang kita dengan hak-hak istimewa orang melayu atau kaum bumiputera hanya goyang kaki menganyam mimpi yang entah bila akan menjadi pasti. Bermimpi tidak salah kerana dari mimpi segalanya membentuk impi, tapi mimpi yang tak pernah jaga tidak akan pernah diterima tentunya.

Tapi, menyalahkan bangsa sendiri menyebabkan tiada kemajuan bukan satu tindakan yang bijak saya kira. Seorang itu meletakkan tanda salah pada satu keadaan. Dia tercampak ke dalam golongan yang berdaya saing dan sentiasa ingin maju kerana menyedari dirinya hanyalah menumpang di tanah terhalang.

Umpamanya seorang buruh Indonesia hadir ke Malaysia, tentunya dia akan bekerja bersungguh-sungguh kerana menyedari persaingan yang menggugat kedudukannya jika tidak berusaha. Namun, saat dia menyedari hidupnya sudah dalam ‘zon selesa’ dia akan menurunkan tahap kesungguhannya kerana percaya kehidupannya sudah terjamin.

Jadi, perubahannya kerana desakan hidup atau tekanan situasi. Tekanan itu positif tentunya hingga mampu memotivasi diri. Namun saat tekanan hilang, motivasi terus hilang kerana motivasi itu hadir selepas tekanan.

Jangan jadi semacam itu teman. Kita khalifah yang punya ‘akal untuk pertimbangan. Bertandinglah dengan diri sendiri untuk memajukan diri. Lupakah kamu dengan pesan baginda Rasul saw..tafsirannya..jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Bekerja untuk dunia seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan bekerja untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok.

Andai tiada yang nerubah, biarlah kita mengubahnya. Perubahan itu bermula dengan kita, bukannya kita berubah mengikut persekitaran. Jadilah seperti ikan masin yang tetap masin biarpun di dalam kuali di dapur kamu.


No comments: