
“Is sihat?” Aku cuba memulakan bicara saat melihat dia merenung jauh ke dalam tasik yang sewarna dengan teh susu yang biasa kucicip dengan roti canai sebagai sarapan setiap hujung minggu. Angin petang sepoi-sepoi bahasa cuba bermesra dengan hujung tudung krimku. Dia diam dan terus membisu. Aku mencuri pandang ke arah mata itu. Apakah aku salah melihat? Tiada cahaya pada mata itu seumpama mentari yang hilang sinar. Layu dan muram.
“Is sudah letih berpura Isya.” Akhirnya kalimah itu muncul jua. Hadir dari jiwa yang letih. Tuhan, inikah kesudahan?
Tanda tanya penuh bersepah di lantai fikirku. Bicaranya menampan angin dan mengundang mega mendung menari di dada langit. Aku menatap tepat ke papan wajahnya. Tuhan, ini bukan kerinduan!
Inikah pengakhiran sebuah hubungan yang kesemai dan kujaga dengan hati tanpa pengkhianatan?
“Isya lebih mementingkan kerjaya daripada hati Is.” Ulahnya berjauh hati saat mula-mula retak talian ini dapat kuhidu. Dan aku enggan ambil penting saat itu. Masakan dia cemburu dengan cita-citaku? Tujuh tahun apakah belum mampu memahamkan dia tentang pendirianku?
“Jangan paksa Isya memilih antara dua, Is. “ Aku separuh merintih. Aku sayangkan dia seperti aku kasihkan kerjayaku. Tujuh tahun berjuang bersungguh, bukan mudah aku untuk mengambil mudah cita-citaku. “Is menyekat cita-cita Isya?” Duganya saat aku menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara atas permintaannya. Aku pekakkan cemuhan teman-teman. Bukan mudah untuk mendapat biasiswa untuk ke luar negara, provok Prof Tin saat aku menyuarakan hasratku untuk melanjutkan pelajaran dalam negara saja. Tapi, aku telah memilih dan aku tidak mampu untuk menarik diri daripada pilihan itu. Izinkan Isya hanya untuk dua tahun lagi. Aku mengharap dia mengerti. Rupa-rupanya aku salah perhitungan. Dia sanggup menunggu aku hanya untuk empat tahun setengah dan dia tewas untuk hanya setengah tahun lagi. Ah! Begitu mudah kau berubah hati Iskandar.
PERCA 2
“Kau ok?” Teman ini amat mudah menebak ketidakstabilan emosiku dan bukan mudah untuk aku memakai topeng tenang saat hati bergalau.
“Kau rasa?”
“Ada sesuatu yang kau sembunyikan daripadaku, betul kan?”
Aku diam. Saat ini aku tiada keinginan untuk mengulas apa-apa.
Aku hantarkan pandangan ke luar tingkap. Kertas-kertas yang bertaburan dirempuh angin yang menerpa masuk aku biarkan saja. Telefon yang menjerit minta diberi perhatian aku pandang tanpa perasaan.
“Hello!” Alwani mencapai telefon yang terperosok antara helaian kertas.
“Risya kurang sihat.Ok.” aku mendengar saja butir bicara itu. Aku enggan ambil tahu. Biarlah untuk hari ini aku melayan rasa. Telah lama rupanya ku tidak mempedulikan perasaan sendiri, apatah lagi perasaan orang lain.
“Isya kan cuma doktor gigi. Kenapa begitu banyak kerja?”
“Walaupun Isya cuma doktor gigi,-aku tekankan perkataan cuma itu-tugas Isya bukan hanya mencabut atau menampal gigi. Isya punya kerja yang lebih dari itu. Isya ialah doktor bahagian leher dan kepala walaupun semua orang tau Isya ialah doktor gigi. Gigi hanyalah satu bahagian kecil daripada tugas Isya, Is. Isya ialah orang pertama yang akan memberitahu pesakit tentang sakit seperti penyakit jantung, barah dan kencing manis. Doktor gigi jadi orang pertama yang mengenalpasti, Is. Dan jika berlaku kemalangan, doktor gigi ialah orang pertama yang dipanggil jika kecederaan itu melibatkan bahagian leher ke atas. Sebab itulah Isya ada on-call seperti doktor perubatan, Is.”
Panjang ujaranku membunuh katanya. Sepi mengurung ruang. Maafkan aku, Is. Aku tidak pernah ingin memeriksa hatimu tapi kau seharusnya mesti memahami hatiku jua.

PERCA 3
Aku baru saja menjalin kerjasama dengan Doktor Azmiera untuk satu kajian yang membuka ruang baru dimensi kerjasama antara Jabatan Oftalmologi dan Jabatan Oral dan Pembedahan Maksilofasial-salah satu cabang dalam bidang pergigian.
“Gigi kanin atau gigi taring?”
Subhanallah! Aku terpempen seketika.
“Kalau Doktor Risya nak tahu, Singapura telah berjaya melakukannya dua bulan yang lepas.
“Peratusan untuk berjaya?”
“20 hingga 25%. Semua pembedahan ada risikonya Doktor Risya,” tekannya. “Tapi, tak berani mengambil risiko bererti tiada gunanya penyelidikan bertahun-tahun. Bukan mudah ilham itu untuk hadir dan apakah setelah jalan itu ada kita terpaksa mensia-siakannya, Risya?”
Aku memaksa neuron-neuron dalam otakku bergerak pantas. Bantulah aku untuk menimbang membuat keputusan. Tak lupa aku tadahkan doa kepada Yang Maha Memberi Petunjuk. Ya Allah, aku hamba-Mu yang lemah. Bantulah aku dengan keyakinan untuk membuat keputusan yang besar dalah hidup. Ini pembedahan pertama yang aku terlibat secara langsung di dalamnya.
“Cuba Doktor Risya fikir, betapa bersalahnya kita tidak memberi cermin kepada insan yang memerlukannnya untuk melihat kehidupan. Dan membantu memulihkan penglihatan seorang yang pernah melihat dunia namun tidak dapat melihatnya kerana korneo mata sudah tidak berfungsi lagi besar sumbangannya. Saya tau Doktor Risya tentu tahu betapa besarnya pahala membantu orang lain dengan kepakaran dan ilmu yang dimiliki.”
Dan hari itu, genap tiga tahun pertemuan terakhir aku dengan Iskandar aku membuat keputusan.
“Doktor Azmiera, saya bersedia untuk membantu doktor.”
Dan kami bertukar senyuman penuh erti.
“Pesakit masih muda, dalam 28 aku kira. Disimbah asid oleh remaja nakal sewaktu bertugas. Hmm..remaja sekarang, buat sesuatu tak guna akal.” Begitu Alwani, teman serumahku menggumam.
Aku senyap, cuba fokus terhadap penerangannya. “Korneo matanya rosak teruk, membunuh terus penglihatannya. Sayang sekali pemuda kacak begitu jadi hilang daya lihat.” Ulah Alwani sedikit nakal. Ah, teman seorang ini memang tak pernah kering dari ketidak seriusan saat bekerja. Aku pun hairan saat gadis main-main macam dia boleh menamatkan pelajaran dengan jawatan doktor di pangkal nama.
Alwani memandangku dengan penuh erti. Senyum sejuring.
Jadi, dialah orangnya?
Ya, dan kau ditugaskan untuk bertanggungjawab terhadapnya.
“Baik!”

PERCA 5
“Assalamualaikum, Encik.”
“Waalaikumussalam.” Sebelum sempat salam habis dijawab lelaki itu berpaling. Mega resah berarak pada kerutan dahinya. Barangkali dia sedang memadankan suaraku pada pemilik nama yang pernah dikenali.
“Isya?” kalimah itu terlontar spontan. Ternyata tiga tahun belum cukup untuk melupuskan suaraku dari daftar ingatannya.
Jeda sejenak sebelum kata bersambut.
“Is?”
Dua mata bersabung pandang. Tiada kata yang sesuai menterjemahkan suasana. Lelaki itu dihadapanku telah hilang kredibiliti pada pandangan mataku. Tiada lagi senyum menyenget dengan mata mengecil yang kupuja.
“Saya, Doktor Risya. Aku cuba bersikap formal.”
“Isya, tak perlu bersikap begini.” Ada serba salah pada nada suara itu. Dan oh Tuhan, matanya.
Lelaki ini hadir, apakah mampu membuka lembaran kenangan yang telah mampu aku kunci walaupun tidak sepenuhnya?
“Saya akan memberi penerangan tentang rawatan yang bakal dijalani oleh Encik Iskandar.”
“Isya,jangan buat Is rasa terseksa begini. Iskandar seolah merayu.”
“Jadi, keputusan Is dulu tidak menyeksa diri Isya. “ Aku mengeraskan nada. Aku telah lupa bagaimana interaksi dengan pesakit seharusnya terjadi. Adakah mungkin kerana kasih padanya masih membekas di hati?
“Oh, maaf.”
Aku menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati. Tidak seharusnya aku beremosi begitu.
Dia menanggalkan kaca mata hitamnya dan aku melihat ada yang hilang di situ. “Bantulah Is mencari cermin yang hilang, Isya.”
Dan kanvas putih menunggu masa untuk diukir.
Isya bagaikan cermin bagi Is. Itu tulisannya lewat SMS petang tadi. Is tak mampu melihat indahnya dunia andai kita tidak ditakdirkan bertemu.
Itulah tulisannya yang membuatkan aku mampu menyambut huluran kasihnya.
“Berjanji menyokong Isya dalam setiap keputusan.”
Dan Iskandar hanya tersenyum manis.
Dan janji barangkali kadang-kadang hanya sekadar lafaz yang sukar untuk ditepati. Dia mula mendesak untuk aku memberi lebih perhatian padanya.
“Beribu ayah Isya habiskan harta untuk menyekolahkan Isya, takkan nak belajar sambil lewa je.” Aku cuba menguji dirinya.
“Bukan itu maksud Is.” Suaranya datar. Aku mengalih pandangan ke arah trek jogging. Semakin ramai yang memenuhi tempat ini. Anak saudaraku yang kuajak untuk menemankan setiap kali berjumpa Iskandar sedang asyik membaca.
“Sekurang-kurangnya kita bertunang. Barulah hati Is tenang sikit.”
“Is tak percayakan Isya?” Aku menjegil padanya.
“Bukan.” Suaranya makin terasa tidak tentu arah.
Atau, mak Is dah carikan jodoh untuk anak lelaki tunggalnya?
“Isya dah tau?”
“Jadi betullah tekaan Isya.” Aku sedikit kecewa.
Dan galau di hatiku tambah menjadi.
“Isya balik dulu, ada ujian minggu depan.”
Dan aku bangun membawa hati yang sedikit terluka. Tekanan musim ujian tidak seteruk tekanan saat kepercayaan dilukai begini.
“Farha, jom.”

“Keadaan gigi kanin kanan sebelah atas harus dipantau secukupnya kerana itu bahagian yang paling penting untuk diperhatikan. “
“Kita akan membentuk gigi itu untuk menggantikan korneo matanya dan sambungan saraf optik akan memastikan matanya mampu melihat kembali. “
“Walaupun penglihatan berjaya dipulihkan pesakit masih perlu memakai cermin mata kerana tahap penglihatan yang berjaya dipulihkan hanyalah 6/10.”
Tidak banyak, fikirku. Tapi, itu ialah satu usaha yang membantu memberi mata kepada insan yang pernah kehilangannnya. Kemudian, kami dibaluti aura semangat membantu dan masing-masing mula sibuk membincangkan prosedur pembedahan.
Dia senyum tawar. “Isya sihat?”
“Alhamdulillah.”
“Isya macam tak cukup rehat.”
“Dari dulu lagi memang ini rutin Isya, Is.”
“Dah siap kerja?”
“Isya hadir atas nama kawan, bukan nama doktor, Is.”
Kami sama-sama diam, membiarkan sepi mengisi ruang.
“Isya, terima kasih.” Suaranya dalam.
“Untuk apa?”
“Kerana tak pernah berdendam.”
Masakan aku secetek itu pemikiran.
“Isya dah dewasa Is, sudah tahu membezakan emosi dan rasional. Is ialah pesakit, Isya akan melakukan apa saja untuk membantu dengan ilmu yang dipelajari.”
“Is akan pulih kan?” Ujaran itu ada sedikit keraguan yang ditemani sedikit ketakutan.
“Kami akan berusaha sedaya-upaya. Is jangan bimbang kerana apa yang paling penting sekarang ialah semangat Is untuk menjalani kehidupan baru. Sememangnya pengurusan emosi sangat penting kerana ia akan mempengaruhi otak yang akan memberi arahan kepada anggota badan yang lain.”
“Farha macam mana sekarang, semakin tembam?”
Aku senyum saja mendengar usikannya.
Dan kami berbual-bual seketika dan aku seakan terasa telah menjumpai kembali Iskandar yang kukenal dulu.
“Is, aku pergi dulu. Aku harus membuat sedikit laporan.”
Dan aku melihat angguk yang seakan dipaksakan.

Aku hanya mendengar butir kata tanpa respons.
Gigi manusia dewasa ialah 32 batang yang mempunyai fungsi yang berlainan. Gigi kacip untuk menggigit makanan dan gigi kanin atau gigi taring ialah untuk mengigit makanan dengan daya yang lebih kuat daripada gigi kacip. Gigi ini mempunyai akar yang paling panjang sehingga hampir memcecah mata. Lantaran itu nama lain bagi gigi taring ialah ‘eye-teeth’.
Gigi taring penting untuk membentuk bentuk muka kerana ia ialah gigi yang terletak antara gigi depan yang lurus dan gigi belakang yang sedikit membelok. Biasanya gigi ini ialah gigi yang paling akhir untuk dicabut kerana ketahanannya menghadapi serangan bacteria yang hidup di dalam kaviti mulut.
Dan, aku membayangkan Iskandar tanpa gigi kanin sebelah kanan. Tapi, jangan kau risau Is, aku sendiri yang akan membuat implant pada gigimu kerana aku tak sanggup melihat senyummu yang tidak menawan tanpa gigi itu.
Ah, Iskandar!
PERCA 10
Aku hanya memberi kata-kata semangat sebelum sekujur tubuh itu dibawa ke bilik pembedahan. Mata itu kuyu mengharap dan aku melihat ibu bapanya hadir. “Mana bakal isterimu Is?” soalan itu keluar spontan tanpa sempat kutahan.
Dia menyambut pertanyaan dengan senyum sinis.
“Masakan masih sudi dia melihat aku berkeadaan begini.”
Aku memandangnya tepat-tepat.
Aku masih sudi, Is. Namun, bicara itu hanya bergema di dalam hati.
Dia hanya memakai wajah selamba saat doktor-doktor lain memandang kami berdua dengan pandangan yang semacam pelik.
Dan aku dapat merasakan bunga-bunga rasa yang kembali berkembang.
PERCA 12
“Isya wanita yang percaya pada jodoh, juga yakin pada takdir. Kerana itu Isya di sini, Is. Isya boleh memilih untuk tidak terlibat, tapi kenapa Isya sudi?”
Dia diam. Ujaran ini tak perlu ditokot tambah kerana dia sedar bagaimana hatiku saat ini. Aku membuang pandang ke luar, melompat menerusi tingkap lutsinar dan senyum kami berpadu di dada langit lazuardi yang membenihkan awan menari riang.
“Kita mulakan sekali lagi, Isya.”
“Sanggup bermadu dengan kerjaya Isya?” Aku cuba menduganya.
“Is akan belajar bagaimana untuk berterima kasih.”
Dan kami tahu ke mana hala tuju perbualan ini.
1 comment:
best!!
Post a Comment