Monday, October 5, 2009

entah bila bakal bersambung...

Daerah kanak-kanak memang tidak punya dimensi yang luas. Aku hanyalah budak sembilan tahun yang masih tidak mengerti atau sengaja pura-pura tidak mengerti bahawa tingkah sedemikian umpama mencurah minyak ke bara api yang semput untuk mengintai oksigen. Malam pekat, langit kelam tanpa bulan. Bintang lenyap entah ke mana. Langkah kuheret dalam ketakutan yang beraja. Kaki ayam lantaran tidak sempat menyambar selipar di ruang depan terasa sakit angkara bergeser dengan kerikil di jalan. Tangan meraba-raba dengan mata yang semacam dibutakan.

Aku mengesap air mata yang berjejeran sambil menyapu hingus yang masih meleleh umpama air. Sebelah lagi tanganku menutup mulut, bimbangkan jika suara tiba-tiba didengar. Ketakutan meredah malam telah dibunuh oleh semangat untuk melepaskan diri,bimbangkan badanku jadi berbirat dengan belang-belang merah.

Di mana kau, budak degil! Suara itu kedengaran melantun dalam sepi yang menguasai. Aku cuba membatukan diri. Namun, lantaran bimbang dijumpai aku mengheret lagi langkah menjauh. Aku umpama protagonis dalam drama paling kejam yang dikelilingi semuanya antagonis.

Pap! Kakiku tersandung pada bata untuk digunakan menyambung bahagian dapur rumah Pak Cik Hafiz yang khabarnya bakal ke Mekah hujung bulan ini. Dahiku hampir-hampir mencecah bucu tiang. Aku mengutuk kelalaian sendiri. Tenang, aku mesti berfikir secara rasional, begitu hati kecilku memberi cadangan saat nafasku mula jadi tak teratur.


Aku sudah letih menjadi umpama pencuri yang dihambat polis tanpa lelah. Aku memikirkan destinasi untuk menamatkan perjalanan tanpa arah ini. Aduh, bagaimana aku boleh lupa. Hujung perumahan ini punya pondok kecil yang aku gunakan untuk menyembunyikan diri saat aku terasa ingin menangis. Anak jantan masakan mahu menitiskan air mata di khalayak? Bukan aku kemaruk nak menangis, tapi air itu degil, memang berniat untuk memalukan tuannya.

Belum sempat kakiku bertindak mengikut arahan, ada tangan kasar yang merenggut baju T shirt leher bulat yang kupakai. Aku hampir menjerit saat tangan itu menutup kemas mulutku sambil berbisik keras. Akulah, Yose. Dia umpama hero yang tak diundang. Jom,” undangnya tanpa lengah. Aku yang keletihan yang amat sangat mendengus umpama banduan yang dipaksa menjalani tahanan dalam jeriji yang pengap. Ke mana? Ke rumah akulah setan kecil, bisiknya sambil ketawa kecil. Kepala bukan main besar, benda kecil pun tak boleh nak fikir. Terasa ringan saja tanganku untuk mengoyak mulutnya yang sinis itu. Tapi, mengenangkan sekarang bukan waktu yang sesuai, aku pendam saja. Ada ubi ada batas, ada masa boleh hempas!

Kami melangkah umpama mata-mata. Aku menarik nafasku yang terasa hampir putus sambil mencuba kembali kepada degupan jantung yang normal, bukan semacam orang yang dikejar anjing gila. Kami sampai di rumah kakakku yang mamai-mamai membuka pintu. Tentunya dia tertidur setelah penat mengerah kudrat di ladang getah. Yose, merangkap anak saudaraku yang amat tidak menghormati aku selaku bapa saudaranya menonong ke dapur.

Kau dari mana, tiba-tiba muncul? Aku menyoal setelah meneguk segelas besar air suam dengan satu teguk. Aku ke rumah tadi. Nini yang beritahu pasal kau.

No comments: