Monday, October 5, 2009

entah bila bakal bersambung...

Daerah kanak-kanak memang tidak punya dimensi yang luas. Aku hanyalah budak sembilan tahun yang masih tidak mengerti atau sengaja pura-pura tidak mengerti bahawa tingkah sedemikian umpama mencurah minyak ke bara api yang semput untuk mengintai oksigen. Malam pekat, langit kelam tanpa bulan. Bintang lenyap entah ke mana. Langkah kuheret dalam ketakutan yang beraja. Kaki ayam lantaran tidak sempat menyambar selipar di ruang depan terasa sakit angkara bergeser dengan kerikil di jalan. Tangan meraba-raba dengan mata yang semacam dibutakan.

Aku mengesap air mata yang berjejeran sambil menyapu hingus yang masih meleleh umpama air. Sebelah lagi tanganku menutup mulut, bimbangkan jika suara tiba-tiba didengar. Ketakutan meredah malam telah dibunuh oleh semangat untuk melepaskan diri,bimbangkan badanku jadi berbirat dengan belang-belang merah.

Di mana kau, budak degil! Suara itu kedengaran melantun dalam sepi yang menguasai. Aku cuba membatukan diri. Namun, lantaran bimbang dijumpai aku mengheret lagi langkah menjauh. Aku umpama protagonis dalam drama paling kejam yang dikelilingi semuanya antagonis.

Pap! Kakiku tersandung pada bata untuk digunakan menyambung bahagian dapur rumah Pak Cik Hafiz yang khabarnya bakal ke Mekah hujung bulan ini. Dahiku hampir-hampir mencecah bucu tiang. Aku mengutuk kelalaian sendiri. Tenang, aku mesti berfikir secara rasional, begitu hati kecilku memberi cadangan saat nafasku mula jadi tak teratur.


Aku sudah letih menjadi umpama pencuri yang dihambat polis tanpa lelah. Aku memikirkan destinasi untuk menamatkan perjalanan tanpa arah ini. Aduh, bagaimana aku boleh lupa. Hujung perumahan ini punya pondok kecil yang aku gunakan untuk menyembunyikan diri saat aku terasa ingin menangis. Anak jantan masakan mahu menitiskan air mata di khalayak? Bukan aku kemaruk nak menangis, tapi air itu degil, memang berniat untuk memalukan tuannya.

Belum sempat kakiku bertindak mengikut arahan, ada tangan kasar yang merenggut baju T shirt leher bulat yang kupakai. Aku hampir menjerit saat tangan itu menutup kemas mulutku sambil berbisik keras. Akulah, Yose. Dia umpama hero yang tak diundang. Jom,” undangnya tanpa lengah. Aku yang keletihan yang amat sangat mendengus umpama banduan yang dipaksa menjalani tahanan dalam jeriji yang pengap. Ke mana? Ke rumah akulah setan kecil, bisiknya sambil ketawa kecil. Kepala bukan main besar, benda kecil pun tak boleh nak fikir. Terasa ringan saja tanganku untuk mengoyak mulutnya yang sinis itu. Tapi, mengenangkan sekarang bukan waktu yang sesuai, aku pendam saja. Ada ubi ada batas, ada masa boleh hempas!

Kami melangkah umpama mata-mata. Aku menarik nafasku yang terasa hampir putus sambil mencuba kembali kepada degupan jantung yang normal, bukan semacam orang yang dikejar anjing gila. Kami sampai di rumah kakakku yang mamai-mamai membuka pintu. Tentunya dia tertidur setelah penat mengerah kudrat di ladang getah. Yose, merangkap anak saudaraku yang amat tidak menghormati aku selaku bapa saudaranya menonong ke dapur.

Kau dari mana, tiba-tiba muncul? Aku menyoal setelah meneguk segelas besar air suam dengan satu teguk. Aku ke rumah tadi. Nini yang beritahu pasal kau.

SEORANG AKU


Seorang aku ,wajahnya beku

Matanya layu,hatinya lesu

Seorang aku,wajarkah begitu

Masih sedingin salju,tatkala

Yang lain sudah sehangat mentari

Seorang aku

Disaluti oleh debu-debu resah

Tumpuannya hilang jadi tidak menentu

Terpinga-pinga hingga jadi tak keruan

Seorang aku,fikirannya menerawang entah ke mana

Hanya jemari lincah menari

Kanvas putih jadi tercemar

Seorang aku,pada saat yang tak tertentu

Duduk sendiri menghasilkan abstrak diri

Life is not that too simple



Kekeliruan memenuhi segenap ruang fikir.

Aku terpenjara dalam seluruh liku


Sakitnya berpura saat mengelegak rasa

Gelodak jiwa yang tak siapa mengerti

Ruang ini, kadang-kadang aku ingin dia beralun tenang

Penuh keindahan dan ketenteraman

Masih aku cuba memaniskan rasa

Demi mengisi mahmudah yang terkebelakang

Namun, tindaknya aku sudah menduga


Inikah akhirnya?

Atau inikah larutan dari yang dulu

Aku cuba bersikap

Namun, sikap itu benar-benar menyakitkan

Aku cuba menerima

Namun, kebiasaan itu kadang memuakkan

Tambah menjelikkan

Atau akukah yang terlalu membesarkan perkara

Tuhan, lontarkan hidayah-Mu

Agar aku mampu mengerti

Ditemukan dengan insan yang salah di pagi hari

Petangnya, saat aku bertemu insan yang betul

Aku mampu jadi lebih mensyukuri

Friday, October 2, 2009

ANTARA AKU DAN JARAK





Banyak kali saya cuba menulis entri tentang raya dan acapkali entri itu disimpan saja tanpa di postkan. Raya kali ini benar-benar berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Saya ada beberapa alasan untuk menyifatkan raya tahun ini begitu:

1. Kakak saya yang di Mesir pulang bersama anaknya . Anak saudara saya ni namanya dicadangkan oleh mak saya, Nampak dalam gambar besar je, tapi hakikatnya alahai..jadi jangan percaya sangat kat gambar yea. Kakak saya teruja sangat nak balik sebab abang saya nak kahwin pada 4 Syawal 1430H.

Yang paling saya geram sangat dengan anak saudara saya ni sebab baik sangat. Alahai..nak kacau pun tak best sebab dia susah nak menangis. Jangan tak tahu hobi saya cubit pipi anak-anak dan sungguh seronok melihat mereka menangis. Memang dah kena marah dengan kakak saya, tapi tak pernah nak serik-serik lagi..haha.

2. Abang kedua saya kahwin. Macam biasa orang Kelantan memang susah nak lepas anak dia kahwin dengan orang luar. Perkahwinan ni mak saya yang pilih menantunya. Rumah pun jarak dalam 30 minit je. Akad nikah pakai tema hijau dan majlis sambut menantu di rumah saya pakai tema kuning cair. Dah lama arwah abah nak tengok abang kahwin. Harapnya arwah abah akan tenang di alam abadi.

3. Kamera saya rosak. Tanpa sebarang alamat tiba-tiba saya lensa kamera saya tidak berfungsi. Hajat saya untuk mengabadikan perkahwinan abang saya dan suasana raya terus gagal. Penyelesaiannya ialah saya membeli telefon bimbit baru yang berkamera. Kamera tu hajatnya nak baiki masa datang Kuantan. Ditambah dengan telefon saya yang bermasalah sering saja mati tanpa disuruh, keputusan ini memang tepat pada masanya walaupun terpaksa ‘menggeletek’ ATM dan akaun memang kering sementara tunggu biasiswa bulan 12 nanti.

4. Raya tahun ni setelah bertahun lamanya tidak punya baju raya, akhirnya ada juga baju baru tahun ni. Alkisahnya saya bercadang untuk memakai tiga pasang baju baru. Tapi, alangkah sedihnya saat pulang ke rumah, satu pun baju tak siap lagi. Macam nak menangis pun ada..huhu.

Malam raya, mak saya bagi amaran awal-awal, siapa yang ponteng solat sunat tasbih 4 rakaat di masjid Jeli yang diimamkan oleh Imam tahfiz Zubir dan Anuar diharamkan beraya. Saya mana boleh ponteng, dahlah imam Zubir bacaan dia best dan sungguh menyentuh lagi . Lantas saya jawab, saya nak pergi solat, tapi tak mahu beraya sebab tiada baju baru. Melampau sungguh anak dara seorang ni..haha.Esoknya saya bangun tengok baju dah hampir siap, tunggu kena jahit bahagian bawah . Siap satu pun jadi la. lagi dua pasang simpan la raya 2@3 tahun akan datang.

Dah la tahun ni je saya semangat nak raya, tak ada baju baru sedih la juga. Ya la tahun depan belum tentu ada semangat nak raya kan. Kalau tak ada semangat nak raya, saya memang tak akan pakai baju raya.

5. Abang saya yang sulung balik petang 1 syawal-dah berapa tahun dia 1 syawal kat Kelantan, jadi tahun ni 1 syawal kat Terengganu la pula. Pagi-pagi setelah siap solat raya dan makan sekadar alas perut kami ke kbubur arwah abah-rutin baru raya aidilfitri tahun ini. Dan mengetuai kami ialah abang yang bakal kahwin-Us C.Le. Kakak saya yang di Mesir tak sempat di rumah pada saat-saat terakhir arwah abah.

6. Semua adik beradik saya berkumpul tahun ni. Memang best dapat kumpul ramai-ramai. Adik saya terlebih rajin membuat kuih . Saya menggunakan alas an untuk exam untuk saya mengelat-saya memang kurang suka bab masak memasak ni, tapi kalau bab mengemas dapur tak ada hal nak suruh. Saya memang ada bakat mengemas ni..dengan kata lain ada sedikit kerajinan la. kat rumah saya tolong cat sikit, tolong kemas mana yang perlu..hehe. dah kena kutuk dengan abang saya bab tak reti memasak tapi saya buat tak tahu je. Haha..

Kesimpulannya, saya sangat puas hati dengan cuti raya seminggu tahun ni.

LUHUR SEBENING KASIHMU INSAN

SALAM SEJAHTERA

Oleh : SAMUDERA

Tiada secantik bahasamu

Kugubah lalu menjadi lagu

Tidak setanding paras wajahmu

Itu menjadi rindu

Andainya bulan retak seribu

Bayangmu ada di mana-mana

Jika kaca berderai

Luka tertusuk seluruh jiwa

Kita pun diibaratkan kasih suci yang bahagia

Aku turut merasakan mahligai

Yang jadi nyata bersamamu

Pertama dan kaulah selamanya

Riwayat yang menghikayat cinta

Kasih jangan biarkan

Kata yang nista membakar kita

Kata janji bukan ukuran

Hanya sejati dalam diri

Kuburkan aku di hatimu

Demi cinta sebelum mati

Sejauh manapun berpisah

Kau dihatiku dan ku sama

Dalam tidur dalam terjaga

Kuucapkan salam sejahtera

Andainya bulan retak seribu

Bayangmu ada di mana-mana

Jika kaca berderai

Luka tertusuk seluruh jiwa

Kita pun diibaratkan kasih suci yang bahagia

Aku turut merasakan mahligai

Yang jadi nyata bersamamu

Kata janji bukan ukuran

Hanya sejati dalam diri

Kuburkan aku di hatimu

Demi cinta sebelum mati

Sejauh manapun berpisah

Kau dihatiku dan ku sama

Dalam tidur dalam terjaga

Kuucapkan salam sejahtera

SEPASANG KURUNG BIRU

Oleh : KHAIRIL JOHARI

Tiada salam atau ucapan

Tiada pesan tanda ingatan

Suasana penuh keriangan

Kuteringat pada seseorang

Oh..

Di hari yang berbahagia ini

Hatiku kosong dan sepi sekali

Betapa manis kenangan lalu

Menyambut raya bersama denganmu

Oh..

Tiada bisikan lembut yang kudengar

Hanya suara azan sayup bergema

Masih kurasakan hangat tanganmu

Di pagi raya bersalam denganku

Tetamu datang tetamu pergi

Namun tak tiba orang ku nanti

Hanya sepasang kurung nan biru

Menjadi teman mengubat rinduku

Tiada bisikan lembut yang kudengar

Hanya suara azan sayu bergema

Masih kurasakan hangat tanganmu

Di pagi raya bersalam denganku

LUHUR

Oleh : KAMIKAZE

Ku singkap kembali

Detik akhir bersama

Linangan air mataku menitis

Dalam pelukan dakapan yang terakhir

Mengalir darah membasahi bumi

Pergi yang tak kembali

Untuk selamanya

Segar indah

Namamu di hatiku

Perjuanganmu bagai lilin membakar

Bersinar menerangi kegelapan

Rela berkorban

Meredah onak berduri

Jasa baktimu sejernih air di kali

Bersemadilah engkau

Aman di pusara

Sinar cahaya murni keramatmu

Berjihad biar menitis

Oh..darah terakhir

Menjadi lambing cinta yang terluhur

Sayu dan pilu

Bermain di jiwaku

Hilangmu kini tiada pengganti

Hanya namamu tersemat di kalbuku

Menjadi satu kenangan abadi

Sayu dan pilu

Bermain di jiwaku

Hilangmu kini tiada pengganti

Hanya namamu tersemat di kalbuku

Menjadi satu kenangan abadi

Menjadi satu kenangan

Yang abadi



Thursday, September 17, 2009

ESQ 165


ESQ sinonim dengan tangisan dan aku hadir ke training ESQ angkatan 1 UIA Kuantan tanpa air mata. Semuanya gara-gara azam untuk tidak menjadi terlalu lemah dengan menghadapi masalah dengan tangisan. Tapi aku terlupa ada tangisan spiritual kerana takut dan cintakan Penguasa Alam yang kesannya mampu memadamkan api neraka saat tiba di dunia akhir.

Untuk recharge balik nilai-nilai yang cuba diterapkan ESQ, aku meluangkan masa hujung minggu dan melupakan seketika bebanan belajar yang masih memberat di pundak.dalam dilemma antara mahu pergi atau tidak aku menguatkan tekad dan mengikhlaskan hati : aku ingin mencari semangat yang kian pudar dan rasa yang kian lemah.

Kami bertolak jam 615pm dari Kuantan dan tiba hampir jam 1130pm di UIA Gombak. Kami akan bermalam di masjid UIA. Subhanallah! Aku serasa bagai mahu menitiskan air mata melihat makmurnya masjid UIA dengan ramainya insan yang qiam dan tidur di masjid. Amat mengharukan ialah kaum perempuan yang membawa sama anak-anak kecil demi mengejar lailatul Qadr yang hadir cuma setahun sekali. Masya Allah!

Aku amat-amat mengharapkan pemandangan yang sama di masjid UIA Kuantan yang masih dalam pembinaan. Betapa mereka amat percaya janji Allah dan bersungguh-sungguh memburu malam yang pahalanya menyamai 1000 bulan itu. Subhanallah!

Masih dengan trainer mahasiswa seperti yang diadakan di Kuantan, Pak Firdaus Djamaris, ESQ kali ini benar-benar mampu menyebabkan aku mengalirkan air mata dari hati yang terdalam. Betapa Maha Besarnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Aku sedar betapa banyaknya masalah yang melingkari hidupku dan betapa tidak bersyukurnya aku dengan jalan hidup dan nikmat Islam yang tidak semua orang mendapat hidayah!

Saat Rasulullah saw ketika menghembuskan nafas terakhir, apa yang bermain di mulutnya ialah : UMMATI! UMMATI! Dan aku jarang sekali menunjukkan kecintaan kepada baginda dengan mengikuti sunnahnya. Betapa egonya seorang aku. Tambahan lagi saat Nabi saw ketika menyebut tentang betapa baginda saw merindui umatnya yang akan datang <1400> betapa Rasul amat kasihkan kita dan apakah balasan kita terhadap kecintaaan Baginda? Maha suci Allah yang menjadikan Islam sebagai ad-deen yang benar-Islam is the way of life.


Training ESQ mahasiswa KL angkatan 9 dihadiri oleh kebanyakan alumni UTP dan UIA Kuantan. Ia diadakan selama 2 hari di Flaminggo by the lake, Ampang.

Banyak kisah yang diperikan dalam training basic ini, antaranya:

1. Gurauan Rasul saw yang benar iaitu

a. Rasul : Nenek, di akhirat nanti tiada nenek dalam syurga

Nenek : Ya Rasulullah saw, aku jua ingin ke syurga (sambil menangis)

Rasul : Dalam syurga nanti tiada orang tua kerana nenek akan muda kembali

Nenek :

b. Saat Rasul saw makan kurma bersama Ali r.a. ketika Rasul saw asyik berbual dengan para sahabat yang lain, Ali senyap-senyap meletakkan biji kurma yang dimakannya di hadapan baginda saw.

Ali : Ya Rasulullah. Banyak benar kau makan kurma?

Rasul saw terkejut melihat bekasnya dipenuhi biji kurma. Melihat ke sisi, Rasul melihat bekas kurma Ali yang kosong. Sambil senyum

Rasul : Ya Ali, aku makan kurma tinggal bijinya, engkau?

Makan dengan bijinya sekali ye? J

2. Kesombongan manusia yang mencabar kuasa Tuhan akhirnya dibinasakan. Kisah pembuat unsinkable boat-TITANIC. Kata pembuatnya : Tuhan pun tak mampu menenggelamkan kapalnya, apatah lagi samudera. Takdir Allah, bucu kapal itu melanggar iceberg dan ribuan nyawa terkorban-ditambah pula dengan bot keselamatan yang disediakan dalam jumlah yang sangat sedikit kerana yakinnya pembuat kapal itu tentang UNSINKABLE teorinya

Friday, September 4, 2009

RAMADHAN, AKU HIRUP HARUMNYA KEBERKATANMU

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, bahwa Rasulullah shallallahu 'alahi wasallam bersabda:

"Umatku pada bulan Ramadhan diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya, Iaitu:

1. bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada aroma kesturi,
2. para malaikat memohonkan ampunan bagi mereka sampai mereka berbuka,
3. Allah Azza Wa Jalla setiap hari menghiasi Surga-Nya lalu berfirman (kepada Surga),'Hampir tiba saatnya para hamba-Ku yang shalih dibebaskan dari beban dan derita serta mereka menuju kepadamu

4. Pada bulan ini para jin yang jahat diikat sehingga mereka tidak bebas bergerak seperti pada bulan lainnya,
5. dan diberikan kepada ummatku ampunan pada akhir malam.

"Beliau ditanya, 'Wahai Rasulullah apakah malam itu Lailatul Qadar' Jawab beliau, 'Tidak. Namun orang yang beramal tentu diberi balasannya jika menyelesaikan amalnya.' " (HR. Ahmad)'

KEUTAMAAN PUASA

1. Dalil :

Diriwayatkan dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah uadhiallahu 'anhu, bahwa Nabi bersabda:
"Setiap amal yang dilakukan anak adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya bahkan sampai 700 kali lipat.
Allah Ta'ala berfirman, 'Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung memba[asnya. la telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya karena-Ku.' Orangyang berpuasa mendapatkan dua kesenangan, yaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kesturi."

2. Bagaimana ber-taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah?
Perlu diketahui, bahwa ber-taqarrub kepada Allah tidak dapat dicapai dengan meninggalkan syahwat ini -yang selain dalam keadaan berpuasa adalah mubah- kecuali setelah ber-taqarrub kepada-Nya dengan meninggalkan apa yang diharamkan Allah dalam segala hal, seperti: dusta, kezhaliman dan pelanggaran terhadap orang lain dalam masalah darah, harta dan kehormatannya.

Untuk itu, Nabi bersabda : "Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta maka Allah tidak butuh dengan puasanya dari makan dan minum." (HR. Al-Bukhari) .
Inti pernyataan ini, bahwa tidak sempurna ber-taqawub kepada Allah Ta'ala dengan meninggalkan hal-hal yang mubah kecuali setelah ber-taqarrub kepada-Nya dengan meninggalkan hal-hal yang haram.

Dengan demikian, orang yang melakukan hal-hal yang haram kemudian ber-taqarrub kepada Allah dengan meninggalkan hal-hal yang mubah, ibaratnya orang yang meninggalkan hal-hal yang wajib dan ber-taqarrub dengan hal-hal yang sunat.
Jika seseorang dengan makan dan minum berniat agar kuat badannya dalam shalat malam dan puasa maka ia mendapat pahala karenanya. Juga jika dengan tidurnya pada malam dan siang hari berniat agar kuat beramal (bekerja) maka tidurnya itu merupakan ibadah.

Jadi orang yang berpuasa senantiasa dalam keadaan ibadah pada siang dan malam harinya.Dikabulkan do'anya ketika berpuasa dan berbuka. Pada siang harinya ia adalah orang yang berpuasa dan sabar, sedang pada malam harinya ia adalah orang yang memberi makan dan bersyukur.

3. Syarat mendapat pahala puasa :
Di antara syaratnya, agar berbuka puasa dengan yang halal. Jika berbuka puasa dengan yang haram maka ia termasuk orang yang menahan diri dari yang dihalalkan Allah dan memakan apa yang diharamkan Allah, dan tidak dikabulkan do'anya.

Orang berpuasa yang berjihad :
Perlu diketahui bahwa orang mukmin pada bulan Ramadhan melakukan dua jihad, yaitu :
1. Jihad untuk dirinya pada siang hari dengan puasa.
2. Jihad pada malam hari dengan shalat malam.

Barangsiapa yang memadukan kedua jihad ini, memenuhi segala hak-haknya dan bersabar terhadapnya, niscaya diberikan kepadanya pahala yang tak terhitung. Lihat Lathaa'iful Ma 'arif, oleh Ibnu Rajab, him. 163,165 dan 183.

BEWARE OF ...

Suatu hari seorang profesor menulis ayat

"Woman without her man is nothing" ...di papan putih dan menyuruh pelajar-pelajarnya meletakkan tanda bacaan untuk memberikan penekanan dan intonasi yang lebih meyakinkan.

Seorang pelajar lelaki tampil dan setelah merenung-renung ayat itu dia telah meletakkan tanda-tanda bacaan yang tertentu hingga ayat itu dibaca seperti berikut:

"Woman, without her man, is nothing"

Usaha pelajar lelaki ini mendapat sorakan semua pelajarlelaki. Dengan bangganya pelajar ini duduk dan di tempatnya dan sorakan berterusan.

Kemudian tampil seorang pelajar perempuan. Dia mengerling kepada semua yang hadir di dalam dewan. Kemudian, dengan penuh yakin dia meletakkan tanda-tanda bacaan yang berbeza hingga ayat itu dibaca seperti berikut:

"Woman! Without her, man is nothing"

Seluruh dewan menjadi sunyi sepi. Masing-masing tergamam. Akhirnya semua mata tertumpu kepada profesor."Well", kata profesor itu."You can be what you want to be." Lalu keluar meninggalkan dewan.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah ini?

Banyak, tetapi kata-kata profesor itu yang menyentak. You can be what you want to be Maknanya daripada perkataan yang sama, kita boleh menjadi lemah atau sebaliknya. Pilihan pada diri kita. Kalau 'woman without her man is nothing' dibaca dengan nada yang selamba tanpa intonasi tertentu hasilnya berbentuk negatif bagi wanita. Tetapi apabila dibaca sebagai "Woman! Without her, man is nothing". Ia begitu memotivasi dan amat bernilai sekali.

Petikan buku Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, "Membina Hati Bahagia", (111-112)

Jadi, berhati-hatilah dengan tanda baca kerana anda bakal merubah meksudnya hanya dengan meletakkannya di tempat yang salah.

Monday, August 24, 2009

RAMADAN HADIR LAGI

Ramadan mengumpul redha
Membekal maghfirah dan rahmat
Rumah kepada 1001 ketenangan
Wujud pada satu malamnya
Ganjaran lebih bernilai dari 1000 bulan
Bahagialah yang bertuah mendapatkannya
Ramadan sebulan
Syaitan-syaitan terpenjara dibelenggu
Pintu-pintu neraka rapat tertutup

Lantas
Pintu-pintu syurga luas terbuka
Bahagialah mereka yang berusaha mendapatkannya
Kini,
Ramadan hadir lagi
Membuka seluas-luas peluang
Mencuci dosa dan karat hati
Membersihkannya dengan seikhlas dan sesuci puasa
Memeliharanya dari segala noda dan dosa
Menambahbaiknya pada terawih dan sahur

Ramadan hadir
Sebulan hanya dalam setahun
Selamat bertamu Ramadan
Akan aku usahakan yang terbaik
Kerana mungkin
Aku tidak lagi berpeluang menjamah rahmat
Kehadiranmu masa-masa akan datang

TAUBAT, PINTUNYA MASIH TERBUKA

AKU fokus. Sungguh-sungguh fokus. Bicara ini bukan acapkali boleh didengar dan suaranya pula tidak mungkin ada ulangan.

“Sya,aku tak tahu pada siapa lagi harus aku ceritakan masalah ini. Aku bimbang kepercayaan keluarga terhadapku luntur andai cerita ini sampai ke pengetahuan mereka.”

Aku diam. Hanya menelinga sambil mencari-cari ayat yang sesuai untuk membalas.

“Kau kan tahu ,pelajaranku hanya setakat Darjah 5. Belum sempat menduduki UPSR,dunia persekolahan sudah aku tinggalkan.”

Aku angguk. Seolah-olah dia ada di hadapanku. Aku benar-benar maklum tentang hakikat itu. Kemiskinan adalah musuh aula dan penghalang utama menggapai cita-cita. Dia meninggalkan alam persekolahan,duduk di rumah menjaga adik yang masih kecil tika ibunya keluar mencari sesuap rezeki.

“Jee,aku masih ada untuk berkongsi masalah denganmu. Ceritalah ,kalau aku boleh tolong,akan aku usahakan.” Aku bersuara dalam nada memujuk.

“Hmm…”dia menghela nafas yang panjang sebelum memulakan hikayat.

Bunyi ketukan di pintu sedikit mengganggu tumpuan. Pintu terkuak sebaik salam diucap. Ada wajah teman sebilik yang melangkah masuk. Aku mengangkat tangan,tanda tidak mahu diganggu. Dina,gadis yang berasal dari utara tanah air angguk tanda mengerti lantas lesap di sebalik pintu yang berlangsir biru itu.

“Aku terjebak dalam cinta terlarang Sya.”

Kalimah itu menjamah perlahan gegendang telingaku,namun seakan ada tsunami kecil yang melanda pantai perasaan. Aku terasa debaran di dadaku kian kencang.

“Aku tewas pada perasaan,” tambahnya lagi dan aku pasti saat ini kolam matanya mula digenangi air. Gagang telefon aku pegang kejap-kejap.

“Jee, aku kurang mengerti?”soalku ragu-ragu.

Angin petang yang mencuri masuk melalui jendela yang sedikit terbuka terasa sedikit kesat alirannya. Aku cuba mewaraskan diri,mentafsir cerita dan menimbang keadaannya. Ada esakan yang bertali di hujung suaranya,

“Ilmu agama aku tak kuat Sya. Setakat Darjah 5 apalah sangat. Hanya tahu membaca muqaddam dan serba sedikit tentang fardu ain. Tapi, dengan ilmu yang senipis kulit bawang itulah aku bawa sebagai bekalan ke Johor. Kau tahu kan aku menjawat jawatan minah kilang di sana Aku harus pergi Sya, demi sesuap rezeki.”

Suaranya layu. Aku dapat membayangkan mungkin dia sedang menekur meja sambil bermain dengan butir-butir jernih yang hadir tanpa diundang. Dia ratu air mata. Dalam hati yang keras, terselit jiwa yang sensitif.

“Aku hadir ke sini seorang diri, Sya. Saat mula-mula menjejak kota yang penuh mencabar ini,aku mengalami sedikit kejutan budaya. Tapi percayalah Sya, pesanmu agar solat jangan diabaikan sentiasa melekat di sanubariku.'

Alhamdulillah.syukurku di dalam hati. Solat itu tiang agama. Andai solat sudah tidak mampu dikerjakan,apalah gunanya beragama Islam.

"Aku seorang diri Sya. Sedang aku tidak betah berjuang melawan arus. Hidupku sering dibayangi mimpi-mimpi yang meragukan. Menyoal setiap langkah dan mengejek setiap perbuatan hingga aku jadi keliru. Salahkah aku memperjuangkan pakaian timur yang menjadi amalanku selama ini? Aku diejek di tempat kerja dan di rumah sewaku, aku jadi tambah tertekan. Hanya aku seorang orang tempatan,yang lain semuanya dari negara jiran Sya."

Aku tidak mampu membayangkan andainya aku yang berada di tempatnya. Pasti sudah kering kolam mataku menakung derita. Aku mencongak –congak lagi. Sekarang aku di IPTA di pinggir kota dan ketika aku berpindah,usiaku baru 11 tahun. Kalau dihitung-hitung,sudah 8 tahun kami tidak bertemu. Dia berhijrah ke selatan tika aku sedang sibuk menjalani peperiksaan PMR ku. Barangkali dia sudah tidak mampu memikul duka itu keseorangan.

“Aku masih bertahan dengan peganganku . Tapi takdir Tuhan tiba . Aku diuji. Melihat teman –teman yang berpacaran aku jadi leka. Lantas timbul keinginan yang sama. Itu normal bukan?”dia menyoal sendiri.

Ya. Aku menjawab di dalam hati. Usia belasan tahun merupakan saat yang paling genting dalam kehidupan seseorang. Saat remaja mengalami krisis identiti dan masih mencari-cari bayangan kehidupan masa depan.

“Aku masih belum matang dalam menilai. Aku jua perlukan seorang teman untuk mendampingi aku,menemani saat aku kesepian dan di sampingku meladeni jerih perih berjuang di rantau orang. Tapi,aku tersalah langkah. Dia yang kuanggap benar-benar mencintai diri ini hanya menganggap aku persinggahan sementaranya . Tatkala dia ketemu gadis yang lebih menarik hati,pelbagai alasan diberi untuk memutuskan perhubungan kami. Dan benarlah wanita pencinta paling setia. Akulah perempuan yang tidak berfikir panjang itu. Kuserahkan 100 peratus kesetiaan padanya. Tidak pernah terdetik pun di hati ini,akan suatu masa,dia akan pergi menyia-nyiakan kesetiaanku padanya.” Ada marah pada suara itu.

“Sejak dari itu,aku jadi pembenci lelaki. Memandangnya sudah cukup menjelikkan hatiku. Bagiku semua kaum Adam adalah sama. Setelah hati dimiliki,sewenang-wenangnya beralih arah. Tentu kau kata aku tidak menghukum dengan adil kan? Tapi,jika kau di tempatku,pasti kau akan mengerti,hati yang luka akan mengheret emosi menjadi tidak stabil. Aku terasa seluruh dunia bagai mengejekku. Apakah cintaku tidak cukup suci untuk dihargai?”

Aku biarkan dia meluah sepuas-puas rasa. Menghambur segala isi hati andai itu mampu meringankan bebannya. Apakah ada kalimah yang terlebih baik mampu kuungkapkan selain membisikkkan ungkapan sabar?

“Tuhan sedang mengujimu,Jee. Kita masing-masing ada tahap ujian sesuai dengan kekuatan diri. Ujian ini akan meningkatkan nilai kita di sisi Tuhan,Jee,” aku berujar perlahan persis berbisik.

“Aku lupa tentang itu,Sya. Aku jadi hanyut. Gelombang waktu ternyata melemaskan. Aku menyimpan dendam yang bernanah dan membusuk di ruang hati. Andai di dunia ini sudah tidak wujud lelaki yang benar-benar jujur,biarlah aku mengisi kekosongan itu.”

Ungkapan akhirnya memanah deria dengarku.

“Ya Allah! Jee,kau ingin mengubah hukum alam? Apa kau ingin lelaki yang melahirkan anak atau hujan turun dari bumi dan membasahi langit?”

Dia diam. Jeda seketika sebelum dia kembali menyambung. Ada getaran pada suaranya. Juga aku mengesan nada resah dan penuh bersalah pada ungkapan katanya.

“Saat itu, yang bermukim di mindaku hanyalah satu. Cukuplah sekali aku dikecewakan. Aku…aku keliru dengan diri sendiri. Aku bingung saat itu Sya. Tiada sesiapa di sisiku yang mampu memberikan aku obor petunjuk Aku tewas dengan bisikan syaitan yang bertalu-talu ke telingaku Seorang hawa sepertiku,1 akal dan 9 nafsu pastilah jatuh ke dalam perangkap nafsu. Aku kalah dengan persekitaran yang terlalu mendesak.”

Lirik katanya membuatkan aku pantas menyimpul-usia remaja dengan jati diri yang belum kukuh mampu merubah elemen diri yang menjadi pakaian peribadi selama bertahun. Tidak mampu aku bayangkan ,seorang gadis cilik yang ayu bertudung dan berbaju kurung penuh dengan kesopanan gadis timur bertukar wajah menjadi jantan yang lasak dan bersikap melindungi terhadap pasangannya. Ah.jelik sekali!

“Kalau kau ingin muhasabah secara sedar,apakah perasaanmu tika melakukan perkara yang menyalahi batas norma itu? Reda atau sekadar sekadar menonjolkan pemberontakan dalam diri?” Aku cuba menyoal.

"Aku tentulah tidak pernah terfikir untuk menjadi seperti hari ini,Sya. Kalau keluargaku tahu tantang ini,pasti aku tidak akan dibenarkan ke mari lagi,"ucapnya semacam mengeluh.

Sekilas aku merenung. Dia mangsa keruntuhan institusi kekeluargaan. Menetap bersama ibu setelah penceraian kedua ibu bapa disahkan. Hidup dalam kedaifan dengan abang dan kakak yang berlainan ayah yang menetap bersamanya. Tidak pernah menikmati detik-detik indah membesar sebagai seorang remaja di negara moden. Saat teman-teman sebaya seronok berpesta,dia di rumah,mengasuh adik tika ibu keluar mencari sesuap rezeki.

Jee,maafkan aku,tidak mampu menebak kesengsaraanmu selama ini. Aku sibuk sekali melalui dunia normal sebagai pelajar hingga terlupa ada yang tidak senasib denganku. Tambah-tambah engkau ialah teman sepermainanku tika anak-anak.

Hijrahku ke daerah lain telah meluputkan semua kenangan zaman anak-anak kita,Jee. Setelah tapak rumah kita dulu dikorbankan demi pembangunan,semua cerita di situ turut terluput ditelan masa. Perpisahan menambahkan jarak dan merenggangkan kemesraan. Yang tinggal hanyalah memori yang masih bersisa di ruang ingatan.

Perbualan kami tamat saat jam locengku berdering lantas. Masa untuk tidur. Tapi mataku enggan pejam walau sepicing. Fikiranku masih berlegar sekitar perbualan tadi. Aku hanya mampu menasihati,tapi kecekalan dan keinginan dirinya yang akan melaksanakannya.

“Setiap kali sebelum tidur, aku cuba menanamkan azam,mentari esok akan memutuskan ikatan songsang ini. Namun,hatiku tetap degil, memandangnya membuatkan keinginanku melonjak. Aku ingin melindungi dia daripada dimamah jantan bangsat.”

Bahasanya kian keras.

“Jee,kau bukan melindungi dia,kau mengheretnya ke arah kesesatan. Aku tahu kau sedar hakikat ini.”

Dan buat pertama kali untuk sekian lama,tidurku bertemankan dia. Aku melihat jalanannya yang goyah, aku cuba membantu,tapi huluranku tak bersambut.

Manik-manik jenih berebut-rebut menghiasi papan wajahnya. Sugul wajahnya meresahkan diri ini. Aku mencuba lagi, merebut dia kembali dari dunia penuh kejelikan. Namun,aku tidak punya kehidupan masa remajanya kerana dirampas oleh debu-debu kesesatan yang perlahan-lahan mengheret dia ke lembah yang pernah dihuni oleh kaum Nabi Lut. Ya, aku hanyalah masa lampaunya yang telah lama sirna daripada ingatannya.

Ya Allah,bantulah aku mengheretnya kembali untuk aku mampu memiliki kehidupan zaman remajanya.

Kesibukan menghadiri kelas dan menyiapkan tutorial yang menghimpit masa luangku sekali lagi hampir melenyapkan perhatianku terhadap persoalan hidupnya sehingalah panggilan telefonnya sekali lagi singgah ke dalam hidupku.

Dia masih membawa cerita yang sama. Kegagalan membunuh virus yang hampir melumpuhkan imannya. Antibodi imannya ternyata tidak kebal untuk menepis asakan dan ujian yang bertubi-tubi. Dan, aku masih kelu lidah untuk memberi nasihat selain mengungkapkan kalimah berdoa kepada Ilahi untuk dia kembali kepada fitrah semulajadi insan.

Dia tidak henti-henti mengungkapkan kekesalan kerana mengalirkan aliran songsang itu dalam setiap laluan hidupnya.

“Tiada kalimah terlambat dalam kehidupan, Jee.” Aku cuba memujuk hatinya yang dilanda rasa bersalah.

“Sebaiknya kau kembali ke desa,menjauhkan ingatanmu dari detik hitam ini. Aku percaya, satu-satunya cara ialah lari sejauh mungkin dari tempat yang dibaluti dosa itu. Tempat yang mengajar kau meremehkan nilai moral dan agama. Aku tidak mahu kau terus bergelumang dengan ajaran syaitan itu. Kau satu-satunya teman yang aku kasih dan aku tidak mahu kau tersesat dalam dunia yang tak berperaturan.”

Dia diam,barangkali memikirkan kata-kataku atau merenungi masa depannya yang masih kelabu. Aku ingin membantunya, namun tiada apa yang mampu kuusahakan andainya hatinya enggan berpisah dengan perbuatan salah itu .

Nihil. Aku tidak nampak sebarang kepuasan pada setiap tindakannya. Cadanganku mungkin kurang membantu. Pulang ke desa bererti terpaksa mencari kerja di tempat yang peluang kerjanya tipis demi kelangsungan sebuah penghidupan. Tetapi,terus di bandar bererti mendedahkan diri untuk terus dalam noda itu.

Detik menanti seorang teman kembali menjadi teman merupakan suatu saat yang amat menyeksakan.



Saban waktu,aku memohon kepada Yang Esa,tunjukkan kepadanya tujuan kehidupan yang hakiki. Dan,aku mengharapkan masa akan menjadi penyembuh yang paling berkesan.

Dua tahun setelah tidak bertentang mata merupakan tempoh yang cukup lama.

“Jee, kaukah itu?” Aku diterpa beribu persoalan.

“Kenapa? Tak percaya?” Dia cuba bercanda,tapi aku tidak mampu melebarkan senyum kerana bibirku terasa kelu dengan bicara yang tergantung dengan 1001 tanda tanya. Sepasang baju kurung membaluti tubuh lampainya dengan tudung ungu yang melindungi mahkota wanitanya. Dia umpama bidadari yang singah di bumi.

Aku duduk di sisinya,mendengar kisah lampaunya seolah-olah mengulangi suasana zaman kecil kami.Aku menadah telinga. Kedua-dua deria dengarku kuperuntukkan sepenuhnya untuk dia. Dia bercerita dengan tenang. Aku dapat melihat ketulusannya saat berbicara dan berkisah tentang simpang tersasar yang pernah disinggahinya dalam plot kehidupannya.

“Saat kami berbicara tulus dari hati ke hati,kami tahu dan sedar betapa salahnya jalan yang dipilih. Keinginan untuk menjalani kehidupan yang normal sentiasa terpeta dalam minda kami, hanya masa yang resah untuk mengizinkan.” Dia meraup muka. Matanya menembus pandang jauh ke hadapan, aku kira dia mengenang segala yang telah terjadi.

“Dan detik itu tiba jua. Kami berjanji segala peristiwa tidak berfaedah itu akan ditamatkan riwayatnya setelah fajar memulakan hari yang baru. Aku masih belum lupa Sya, hari itu 29 Zulhijjah dan hari yang kami paterikan janji untuk berubah itu ialah 1 Muharram-saat yang paling sesuai untuk berhijrah.” Dia jeda lagi,mengenang babak-babak yang pernah mengambil slot dalam kehidupanya.

Aku teringat firman Allah yang mafhumnya ialah Allah akan menguji hamba-Nya hanya sekadar kemampuan dan tahap imannya dan ternyata ujian itu mampu ditanganioleh Jee walau ia agak mengambil masa.

“Aku bangun pagi Jumaat itu dengan azam yang sungguh kuat. Aku mengutip nasihat-nasihatmu dan mengikatnya dengan kemas dalam lipatan hatiku sebagai satu azimat. Namun,masih ada ujian yang perlu diladeni. Aku dikejutkan oleh satu berita yang memberi tamparan yang cukup kuat.” Dia menghela nafas yang panjang, seakan mengumpul kekuatan untuk menceritakan segalanya.

“Panggilan telefon pada pagi limun itu membawa bersamanya berita yang cukup mengejutkan. Dia sudah tiada Sya. Tuhan lebih sayangkannya. Tubuhku terasa longlai. Aku terasa di awangan dengan tanah yang kupijak terasa umpama udara yang sedang berpusar.” Jee, betapa besarnya dugaan untuk menguji dirimu. Kalau aku berada di tempatmu,aku tidak pasti,mampukah aku bertindak waras sepertimu. Hatiku pantas berbisik.

“Lebih sepurnama aku mengumpul kekuatan diri untuk menerima hakikat ini. Aku yakinkan pada diri,dia ditakdirkan pergi kerana sebuah kereta menabraknya dan dia sudah berniat untuk berubah sebelum saat itu menjelang,sebelum nyawanya berada di halkum dan sebelum malaikat maut memunculkan dirinya.”

“Aku pujuk diri sendiri,dia pergi supaya aku mengerti,bila-bila masa sahaja,Maha Pencipta mampu menjemput diri insan mengadapNya tanpa amaran.”

“Aku menjahit hati yang resah dengan benang keinsafan tentang nikmat kehidupan yang masih diperuntukkan buatku. Dia pergi untuk selamanya-lamanya. Namun,aku harap niatnya untuk bertaubat setelah mentari pagi muncul akan dinilai sebagai taubat sebelum rohnya meninggalkan sekujur jasadnya yang terbujur kaku.”

Aku insaf kini. Kadang kala kehilangan mewujudkan kebaikan pada insan yang mengalaminya. Dan kehilangan itu sebenarnya menemukan aku kembali dengan seorang sahabat dan teman yang pernah kumiliki dulu. Tuhan,kerja-Mu penuh rahsia.

Buat sekian kalinya,aku menadah tangan,mengucap syukur kerana mengembalikan Jee ke atas landasan hidup yang sebenar.

RAMADHAN : AKU DAMBAKAN HADIRNYA RUHMU PADA AMALANKU

Assalamualaikum teman-teman yang dikasihi. Moga dirahmati Allah sentiasa. Ramadhan makin dekat menghampiri. Apakah persiapan kita untuk menghadapinya? Moga ‘mega sale’ Ramadhan berserta tawaran hebat ‘lailatul Qadr’ yang lebih baik daripada seribu bulan tidak kita lepaskan. Anggaplah ini Ramadhan terakhir untuk kita dan sama-samalah kita mengejar fadilat yang tak terhitung seperti ganjaran sahur (yang membezakan puasa Muslim dengan puasa bukan Muslim), berbuka di awal waktu dan solat terawih yang tiada pada 11 bulan yang lain.

Jangan jadikan Ramadhan alasan untuk kita bermalas-malasan dan lebih banyak tidur kerana ini akan mengiakan tanggapan bukan Muslim bahawa Ramadhan mengurangkan produktiviti. Sebaliknya kita jadikan Ramadhan sebagai latihan untuk kita menghadapi 11 bulan lain yang mana kita semua tahu ganjaran pahala amalan di bulan ini dilipat gandakan dan syaitan diikat.

Jadi, pertarungan kita ialah antara nafsu dan hati, bukannya antara diri dan syaitan. Moga Allah akan membantu kita menjadi hamba-Nya yang terbaik. Marilah kita merebut peluang membentuk diri kea rah yang lebih baik. Amin.

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang artinya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya :siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan niscaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya : Siapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumat kepada Jumat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggalkan sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.