“Sya,aku tak tahu pada siapa lagi harus aku ceritakan masalah ini. Aku bimbang kepercayaan keluarga terhadapku luntur andai cerita ini sampai ke pengetahuan mereka.”
Aku diam. Hanya menelinga sambil mencari-cari ayat yang sesuai untuk membalas.
“Kau kan tahu ,pelajaranku hanya setakat Darjah 5. Belum sempat menduduki UPSR,dunia persekolahan sudah aku tinggalkan.”
Aku angguk. Seolah-olah dia ada di hadapanku. Aku benar-benar maklum tentang hakikat itu. Kemiskinan adalah musuh aula dan penghalang utama menggapai cita-cita. Dia meninggalkan alam persekolahan,duduk di rumah menjaga adik yang masih kecil tika ibunya keluar mencari sesuap rezeki.
“Jee,aku masih ada untuk berkongsi masalah denganmu. Ceritalah ,kalau aku boleh tolong,akan aku usahakan.” Aku bersuara dalam nada memujuk.
“Hmm…”dia menghela nafas yang panjang sebelum memulakan hikayat.
Bunyi ketukan di pintu sedikit mengganggu tumpuan. Pintu terkuak sebaik salam diucap. Ada wajah teman sebilik yang melangkah masuk. Aku mengangkat tangan,tanda tidak mahu diganggu. Dina,gadis yang berasal dari utara tanah air angguk tanda mengerti lantas lesap di sebalik pintu yang berlangsir biru itu.
“Aku terjebak dalam cinta terlarang Sya.”
Kalimah itu menjamah perlahan gegendang telingaku,namun seakan ada tsunami kecil yang melanda pantai perasaan. Aku terasa debaran di dadaku kian kencang.
“Aku tewas pada perasaan,” tambahnya lagi dan aku pasti saat ini kolam matanya mula digenangi air. Gagang telefon aku pegang kejap-kejap.
“Jee, aku kurang mengerti?”soalku ragu-ragu.
Angin petang yang mencuri masuk melalui jendela yang sedikit terbuka terasa sedikit kesat alirannya. Aku cuba mewaraskan diri,mentafsir cerita dan menimbang keadaannya. Ada esakan yang bertali di hujung suaranya,
“Ilmu agama aku tak kuat Sya. Setakat Darjah 5 apalah sangat. Hanya tahu membaca muqaddam dan serba sedikit tentang fardu ain. Tapi, dengan ilmu yang senipis kulit bawang itulah aku bawa sebagai bekalan ke Johor. Kau tahu kan aku menjawat jawatan minah kilang di sana Aku harus pergi Sya, demi sesuap rezeki.”
Suaranya layu. Aku dapat membayangkan mungkin dia sedang menekur meja sambil bermain dengan butir-butir jernih yang hadir tanpa diundang. Dia ratu air mata. Dalam hati yang keras, terselit jiwa yang sensitif.
“Aku hadir ke sini seorang diri, Sya. Saat mula-mula menjejak kota yang penuh mencabar ini,aku mengalami sedikit kejutan budaya. Tapi percayalah Sya, pesanmu agar solat jangan diabaikan sentiasa melekat di sanubariku.'
Alhamdulillah.syukurku di dalam hati. Solat itu tiang agama. Andai solat sudah tidak mampu dikerjakan,apalah gunanya beragama Islam.
"Aku seorang diri Sya. Sedang aku tidak betah berjuang melawan arus. Hidupku sering dibayangi mimpi-mimpi yang meragukan. Menyoal setiap langkah dan mengejek setiap perbuatan hingga aku jadi keliru. Salahkah aku memperjuangkan pakaian timur yang menjadi amalanku selama ini? Aku diejek di tempat kerja dan di rumah sewaku, aku jadi tambah tertekan. Hanya aku seorang orang tempatan,yang lain semuanya dari negara jiran Sya."
Aku tidak mampu membayangkan andainya aku yang berada di tempatnya. Pasti sudah kering kolam mataku menakung derita. Aku mencongak –congak lagi. Sekarang aku di IPTA di pinggir kota dan ketika aku berpindah,usiaku baru 11 tahun. Kalau dihitung-hitung,sudah 8 tahun kami tidak bertemu. Dia berhijrah ke selatan tika aku sedang sibuk menjalani peperiksaan PMR ku. Barangkali dia sudah tidak mampu memikul duka itu keseorangan.
“Aku masih bertahan dengan peganganku . Tapi takdir Tuhan tiba . Aku diuji. Melihat teman –teman yang berpacaran aku jadi leka. Lantas timbul keinginan yang sama. Itu normal bukan?”dia menyoal sendiri.
Ya. Aku menjawab di dalam hati. Usia belasan tahun merupakan saat yang paling genting dalam kehidupan seseorang. Saat remaja mengalami krisis identiti dan masih mencari-cari bayangan kehidupan masa depan.
“Aku masih belum matang dalam menilai. Aku jua perlukan seorang teman untuk mendampingi aku,menemani saat aku kesepian dan di sampingku meladeni jerih perih berjuang di rantau orang. Tapi,aku tersalah langkah. Dia yang kuanggap benar-benar mencintai diri ini hanya menganggap aku persinggahan sementaranya . Tatkala dia ketemu gadis yang lebih menarik hati,pelbagai alasan diberi untuk memutuskan perhubungan kami. Dan benarlah wanita pencinta paling setia. Akulah perempuan yang tidak berfikir panjang itu. Kuserahkan 100 peratus kesetiaan padanya. Tidak pernah terdetik pun di hati ini,akan suatu masa,dia akan pergi menyia-nyiakan kesetiaanku padanya.” Ada marah pada suara itu.
“Sejak dari itu,aku jadi pembenci lelaki. Memandangnya sudah cukup menjelikkan hatiku. Bagiku semua kaum Adam adalah sama. Setelah hati dimiliki,sewenang-wenangnya beralih arah. Tentu kau kata aku tidak menghukum dengan adil kan? Tapi,jika kau di tempatku,pasti kau akan mengerti,hati yang luka akan mengheret emosi menjadi tidak stabil. Aku terasa seluruh dunia bagai mengejekku. Apakah cintaku tidak cukup suci untuk dihargai?”
Aku biarkan dia meluah sepuas-puas rasa. Menghambur segala isi hati andai itu mampu meringankan bebannya. Apakah ada kalimah yang terlebih baik mampu kuungkapkan selain membisikkkan ungkapan sabar?
“Tuhan sedang mengujimu,Jee. Kita masing-masing ada tahap ujian sesuai dengan kekuatan diri. Ujian ini akan meningkatkan nilai kita di sisi Tuhan,Jee,” aku berujar perlahan persis berbisik.
“Aku lupa tentang itu,Sya. Aku jadi hanyut. Gelombang waktu ternyata melemaskan. Aku menyimpan dendam yang bernanah dan membusuk di ruang hati. Andai di dunia ini sudah tidak wujud lelaki yang benar-benar jujur,biarlah aku mengisi kekosongan itu.”
Ungkapan akhirnya memanah deria dengarku.
“Ya Allah! Jee,kau ingin mengubah hukum alam? Apa kau ingin lelaki yang melahirkan anak atau hujan turun dari bumi dan membasahi langit?”
Dia diam. Jeda seketika sebelum dia kembali menyambung. Ada getaran pada suaranya. Juga aku mengesan nada resah dan penuh bersalah pada ungkapan katanya.
“Saat itu, yang bermukim di mindaku hanyalah satu. Cukuplah sekali aku dikecewakan. Aku…aku keliru dengan diri sendiri. Aku bingung saat itu Sya. Tiada sesiapa di sisiku yang mampu memberikan aku obor petunjuk Aku tewas dengan bisikan syaitan yang bertalu-talu ke telingaku Seorang hawa sepertiku,1 akal dan 9 nafsu pastilah jatuh ke dalam perangkap nafsu. Aku kalah dengan persekitaran yang terlalu mendesak.”
Lirik katanya membuatkan aku pantas menyimpul-usia remaja dengan jati diri yang belum kukuh mampu merubah elemen diri yang menjadi pakaian peribadi selama bertahun. Tidak mampu aku bayangkan ,seorang gadis cilik yang ayu bertudung dan berbaju kurung penuh dengan kesopanan gadis timur bertukar wajah menjadi jantan yang lasak dan bersikap melindungi terhadap pasangannya. Ah.jelik sekali!
“Kalau kau ingin muhasabah secara sedar,apakah perasaanmu tika melakukan perkara yang menyalahi batas norma itu? Reda atau sekadar sekadar menonjolkan pemberontakan dalam diri?” Aku cuba menyoal.
"Aku tentulah tidak pernah terfikir untuk menjadi seperti hari ini,Sya. Kalau keluargaku tahu tantang ini,pasti aku tidak akan dibenarkan ke mari lagi,"ucapnya semacam mengeluh.
Sekilas aku merenung. Dia mangsa keruntuhan institusi kekeluargaan. Menetap bersama ibu setelah penceraian kedua ibu bapa disahkan. Hidup dalam kedaifan dengan abang dan kakak yang berlainan ayah yang menetap bersamanya. Tidak pernah menikmati detik-detik indah membesar sebagai seorang remaja di negara moden. Saat teman-teman sebaya seronok berpesta,dia di rumah,mengasuh adik tika ibu keluar mencari sesuap rezeki.
Jee,maafkan aku,tidak mampu menebak kesengsaraanmu selama ini. Aku sibuk sekali melalui dunia normal sebagai pelajar hingga terlupa ada yang tidak senasib denganku. Tambah-tambah engkau ialah teman sepermainanku tika anak-anak.
Hijrahku ke daerah lain telah meluputkan semua kenangan zaman anak-anak kita,Jee. Setelah tapak rumah kita dulu dikorbankan demi pembangunan,semua cerita di situ turut terluput ditelan masa. Perpisahan menambahkan jarak dan merenggangkan kemesraan. Yang tinggal hanyalah memori yang masih bersisa di ruang ingatan.
Perbualan kami tamat saat jam locengku berdering lantas. Masa untuk tidur. Tapi mataku enggan pejam walau sepicing. Fikiranku masih berlegar sekitar perbualan tadi. Aku hanya mampu menasihati,tapi kecekalan dan keinginan dirinya yang akan melaksanakannya.
“Setiap kali sebelum tidur, aku cuba menanamkan azam,mentari esok akan memutuskan ikatan songsang ini. Namun,hatiku tetap degil, memandangnya membuatkan keinginanku melonjak. Aku ingin melindungi dia daripada dimamah jantan bangsat.”
Bahasanya kian keras.
“Jee,kau bukan melindungi dia,kau mengheretnya ke arah kesesatan. Aku tahu kau sedar hakikat ini.”
Dan buat pertama kali untuk sekian lama,tidurku bertemankan dia. Aku melihat jalanannya yang goyah, aku cuba membantu,tapi huluranku tak bersambut.
Manik-manik jenih berebut-rebut menghiasi papan wajahnya. Sugul wajahnya meresahkan diri ini. Aku mencuba lagi, merebut dia kembali dari dunia penuh kejelikan. Namun,aku tidak punya kehidupan masa remajanya kerana dirampas oleh debu-debu kesesatan yang perlahan-lahan mengheret dia ke lembah yang pernah dihuni oleh kaum Nabi Lut. Ya, aku hanyalah masa lampaunya yang telah lama sirna daripada ingatannya.
Ya Allah,bantulah aku mengheretnya kembali untuk aku mampu memiliki kehidupan zaman remajanya.
Kesibukan menghadiri kelas dan menyiapkan tutorial yang menghimpit masa luangku sekali lagi hampir melenyapkan perhatianku terhadap persoalan hidupnya sehingalah panggilan telefonnya sekali lagi singgah ke dalam hidupku.
Dia masih membawa cerita yang sama. Kegagalan membunuh virus yang hampir melumpuhkan imannya. Antibodi imannya ternyata tidak kebal untuk menepis asakan dan ujian yang bertubi-tubi. Dan, aku masih kelu lidah untuk memberi nasihat selain mengungkapkan kalimah berdoa kepada Ilahi untuk dia kembali kepada fitrah semulajadi insan.
Dia tidak henti-henti mengungkapkan kekesalan kerana mengalirkan aliran songsang itu dalam setiap laluan hidupnya.
“Tiada kalimah terlambat dalam kehidupan, Jee.” Aku cuba memujuk hatinya yang dilanda rasa bersalah.
“Sebaiknya kau kembali ke desa,menjauhkan ingatanmu dari detik hitam ini. Aku percaya, satu-satunya cara ialah lari sejauh mungkin dari tempat yang dibaluti dosa itu. Tempat yang mengajar kau meremehkan nilai moral dan agama. Aku tidak mahu kau terus bergelumang dengan ajaran syaitan itu. Kau satu-satunya teman yang aku kasih dan aku tidak mahu kau tersesat dalam dunia yang tak berperaturan.”
Dia diam,barangkali memikirkan kata-kataku atau merenungi masa depannya yang masih kelabu. Aku ingin membantunya, namun tiada apa yang mampu kuusahakan andainya hatinya enggan berpisah dengan perbuatan salah itu .
Nihil. Aku tidak nampak sebarang kepuasan pada setiap tindakannya. Cadanganku mungkin kurang membantu. Pulang ke desa bererti terpaksa mencari kerja di tempat yang peluang kerjanya tipis demi kelangsungan sebuah penghidupan. Tetapi,terus di bandar bererti mendedahkan diri untuk terus dalam noda itu.
Detik menanti seorang teman kembali menjadi teman merupakan suatu saat yang amat menyeksakan. 
Saban waktu,aku memohon kepada Yang Esa,tunjukkan kepadanya tujuan kehidupan yang hakiki. Dan,aku mengharapkan masa akan menjadi penyembuh yang paling berkesan.
Dua tahun setelah tidak bertentang mata merupakan tempoh yang cukup lama.
“Jee, kaukah itu?” Aku diterpa beribu persoalan.
“Kenapa? Tak percaya?” Dia cuba bercanda,tapi aku tidak mampu melebarkan senyum kerana bibirku terasa kelu dengan bicara yang tergantung dengan 1001 tanda tanya. Sepasang baju kurung membaluti tubuh lampainya dengan tudung ungu yang melindungi mahkota wanitanya. Dia umpama bidadari yang singah di bumi.
Aku duduk di sisinya,mendengar kisah lampaunya seolah-olah mengulangi suasana zaman kecil kami.Aku menadah telinga. Kedua-dua deria dengarku kuperuntukkan sepenuhnya untuk dia. Dia bercerita dengan tenang. Aku dapat melihat ketulusannya saat berbicara dan berkisah tentang simpang tersasar yang pernah disinggahinya dalam plot kehidupannya.
“Saat kami berbicara tulus dari hati ke hati,kami tahu dan sedar betapa salahnya jalan yang dipilih. Keinginan untuk menjalani kehidupan yang normal sentiasa terpeta dalam minda kami, hanya masa yang resah untuk mengizinkan.” Dia meraup muka. Matanya menembus pandang jauh ke hadapan, aku kira dia mengenang segala yang telah terjadi.
“Dan detik itu tiba jua. Kami berjanji segala peristiwa tidak berfaedah itu akan ditamatkan riwayatnya setelah fajar memulakan hari yang baru. Aku masih belum lupa Sya, hari itu 29 Zulhijjah dan hari yang kami paterikan janji untuk berubah itu ialah 1 Muharram-saat yang paling sesuai untuk berhijrah.” Dia jeda lagi,mengenang babak-babak yang pernah mengambil slot dalam kehidupanya.
Aku teringat firman Allah yang mafhumnya ialah Allah akan menguji hamba-Nya hanya sekadar kemampuan dan tahap imannya dan ternyata ujian itu mampu ditanganioleh Jee walau ia agak mengambil masa.
“Aku bangun pagi Jumaat itu dengan azam yang sungguh kuat. Aku mengutip nasihat-nasihatmu dan mengikatnya dengan kemas dalam lipatan hatiku sebagai satu azimat. Namun,masih ada ujian yang perlu diladeni. Aku dikejutkan oleh satu berita yang memberi tamparan yang cukup kuat.” Dia menghela nafas yang panjang, seakan mengumpul kekuatan untuk menceritakan segalanya.
“Panggilan telefon pada pagi limun itu membawa bersamanya berita yang cukup mengejutkan. Dia sudah tiada Sya. Tuhan lebih sayangkannya. Tubuhku terasa longlai. Aku terasa di awangan dengan tanah yang kupijak terasa umpama udara yang sedang berpusar.” Jee, betapa besarnya dugaan untuk menguji dirimu. Kalau aku berada di tempatmu,aku tidak pasti,mampukah aku bertindak waras sepertimu. Hatiku pantas berbisik.
“Lebih sepurnama aku mengumpul kekuatan diri untuk menerima hakikat ini. Aku yakinkan pada diri,dia ditakdirkan pergi kerana sebuah kereta menabraknya dan dia sudah berniat untuk berubah sebelum saat itu menjelang,sebelum nyawanya berada di halkum dan sebelum malaikat maut memunculkan dirinya.”
“Aku pujuk diri sendiri,dia pergi supaya aku mengerti,bila-bila masa sahaja,Maha Pencipta mampu menjemput diri insan mengadapNya tanpa amaran.”
“Aku menjahit hati yang resah dengan benang keinsafan tentang nikmat kehidupan yang masih diperuntukkan buatku. Dia pergi untuk selamanya-lamanya. Namun,aku harap niatnya untuk bertaubat setelah mentari pagi muncul akan dinilai sebagai taubat sebelum rohnya meninggalkan sekujur jasadnya yang terbujur kaku.”
Aku insaf kini. Kadang kala kehilangan mewujudkan kebaikan pada insan yang mengalaminya. Dan kehilangan itu sebenarnya menemukan aku kembali dengan seorang sahabat dan teman yang pernah kumiliki dulu. Tuhan,kerja-Mu penuh rahsia.
Buat sekian kalinya,aku menadah tangan,mengucap syukur kerana mengembalikan Jee ke atas landasan hidup yang sebenar.
No comments:
Post a Comment