Friday, August 14, 2009

RESENSI BUKU & HARI-HARI YANG TELAH BERLALU



Kebelakangan ini aku mempunyai motivasi yang tinggi untuk membaca buku berbahasa Inggeris. Novel Dan Brown –The Deception Point berjaya dihabiskan dalam 3 hari. Ingat lagi buku BI pertama yang aku berjaya habiskan ialah buku setebal 500 muka surat dengan tulisan yang sangat kecil tulisan Jane Austen(aku lupa tajuknya) dalam masa dua minggu.

Sebelum ini aku tidak berjaya menghabiskan novel BI yang dibaca. Itulah pertama kali aku berjaya-semasa aku di Tingkatan 3 dan buku itu dipinjam di Perpustakaan Awam berdekatan rumah berkat dorongan Cikgu Siti Kamaliah-lulusan UIA. Dia mencabar A untuk subjek BI PMR akan diberikan hadiah.

Namun aku tidak berjumpa dengannya selepas keputusan PMR diumumkan dan khabarnya dia berpindah ke Sabah. Ketika itu heboh dengan Kementerian Pelajaran Malaysia ‘mencuri’ guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan ramai cikgu sekolah aku dicuri. Agak sedih!

Banyak sebenarnya yang aku belajar untuk menguasai BI daripadanya. Contohnya menghafal kosa kata setiap hari dan menulis diari dalam BI. Aku sejak daripada sekolah ialah pembenci BI yang kronik. Dan aku santai saja membaca novel BM semasa Cikgu BI mengajar semasa aku sekolah rendah dulu. Aku jua membaca novel BM semasa kelasa PAI, tetapi disebabkan aku telah menyiapkan tugasan lebih awal, Ustazah hanya mencubit ‘manja’ pahaku.



Aku rindu cikgu PMR ku-cikgu Hasmira Seman-Geografi. Aku selalu ponteng kelas tambahan dia..hehe. keletihan balik ke rumah lewat petang dan esoknya jam 635am terpacak menunggu bas menyebabkan aku ponteng kelas tambahan.

Cikgu Norizan-Sejarah. Aku sebenarnya bukanlah seorang yang minat subjek sejarah. Namun pertemuan dengan cikgu di tingkatan 5 dan Faisal Tehrani menghantar aku menjadi pengulit sejarah yang peka.

Cikgu Asmar Rifan-matematik. Aku terhutang budi dengan usahanya yang meningkatkan motivasi aku untuk terus meminati matematik dan memaksa diri untuk cemerlang Matematik demi merebut tempat dalam kuiz mate & sains anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Kemuncak kebencian aku terhadap BI ialah aku menulis dam buku latihan BI-AKU BENCI BAHASA INGGERIS muat satu muka surat. Anehnya, setelah kebencian itu diluahkan aku perlahan-lahan mula meminati Bahasa Inggeris. Dalam UPSR aku berjaya mengelak keganjilan gred untuk BI.

Di sekolah menengah, aku memaksa diri menjadi pembaca kamus oxford BM-Bi yang setia. Aku memaksa tangan mencari setiap patah perkataan yang aku tidak faham. Tekanan pada awalnya dengan tatabahasa BI, namun kegigihan aku dibayar- Allah mudahkan usahaku belajar pelbagai ‘tense’ BI.

Ya, aku belajar sendiri, tidak punya abang atau kakak yang mampu mengajarku dalam BI. Impianku cukup tinggi, andai kakak aku Bahasa Arabnya cukup kuat, aku mahu lebih dari itu. Aku mahu BI dan Bahasa Arab sekaligus.



Kemudian, aku membuat buku kecil yang kubaca semasa menunggu bas-Thesaurus. Pelbagai sinonim BI aku paksa diri menghafalnya.

Buku Dan Brown-ini buku ketiga dibaca selepas The Da Vinci Code dan The Digital Fortress. Dan setelah membaca 3 buah bukunya aku berjaya menerka plot ceritanya. Ceritanya sarat dengan fakta teknikal dan antagonisnya ialah seorang misteri dan seorang yang dekat dengan protagonist cerita.

Walaupun begitu klise tapi aku suka dengan plot ceritanya yang agak komplikated tetapi kesudahan cerita sungguh menarik.

Biasanya aku boleh meneka plot cerita seseorang penulis setelah membaca sekurang-kurangnya 3 buah novel terlebih dahulu seperti aku menjangka plot cerita John Steinback atau seorang penulis di Jemari Seni. Tapi, plot cerita Faisal Tehrani tetap tidak berjaya aku menebaknya. Dia hadir dengan pembaharuan untuk setiap novel barunya.



Aku kira minat aku untuk menulis berkadar terus dengan tekanan. Aku berjinak dalam dunia penulisan setelah aku kehilangan teman rapat untuk berkongsi cerita. Tingkatan 4 aku berhijrah ke Ma’had Muhammadi Perempuan Kota Bharu sedang kawan akrabku tidak ikut serta. Aku memang seorang yang tidak mudah untuk mencari seseorang semata-mata untuk membuka rahsia hatiku.

Dan aku mula menjadi seorang pencinta 26 abjad yang akrab. Saat air mata tak terbendung, aku mula meluahkannya atas tulisan. Mungkin jua aku mudah menulis disebabkan hobi aku mengumpul kata-kata dalam novel dan majalah yang pernah dibaca. Tugas sebagai pustakawati di sekolah rendah melayakkan aku meminjam buku lebih daripada orang lain dan biasanya aku meminjam 6 biji untuk 2 hari.

Aku membeli buku log khusus aku hias dengan gambar Martina Hingis (pemain tenis no1 dunia ketika itu) dan aku tulis di dalamnya sajak, puisi, pantun dan kata-kata hikmat serta ayat yang aku kutip daripada novel, buku atau majalah hatta akhbar sekalipun.
Dan saat terindah ialah semasa aku memenangi pertandingan mengarang sajak dan cerpen untuk minggu displin di MMP. Lebih indah lagi saat mendengar sajak aku dideklamasikan di ‘thobur’ –tempat perhimpunan. Itulah kenangan terindah aku di MMP.

Antara lain ialah aku menang pertandingan menulis sajak anjuran BADATI (badan da’wah dan tarbiah). Dan seringnya aku memilih untuk menjawab soalan ke5 kertas bahasa melayu SPM-sambung cerita.

Gaya bahasa aku agak melankolik mungkin disebabkan aku terpengaruh dengan Hashim Latiff menerusi novel-novelnya. Namun, yang paling aku ingat ialah Alifah Ilyana. Novel itu aku baca berulang dan setiap kali aku membacanya air mata aku pasti menitis. Aku memang gagal membendung tangis andai menonton cerita atau mebaca buku yang menyentuh hatiku.




Adik aku selalu komen, cerpen aku agak meleret. Ya. Aku rasa aku lebih meminati gaya bahasa berbanding plot cerita. Bagiku gaya bahasa lebih mudah dimanipulasi berbanding memerah otak membentuk plot cerita. Namun, aku cuba mengolahnya agar tidak terlalu meleret.

Cerita zaman sekolah rendah yang mencuri air mataku ialah Korban Sungai Manggis, aku lupa penulisnya tapi ceritanya memang meruntun jiwa. Namun, cerita yang masih aku ingat sampai sekarang ialah Tetamu Ibu, cerita ringkas namun plotnya cukup baik dan penuh pengajaran.

Aku memang gila baca buku dan itulah permulaan untuk aku menulis cerita. Saat pulang dari sekolah atau perpustakaan, aku pasti mengunci diri untuk menamatkan pembacaan aku dan amat malang andai ada sesiapa yang menggganggu pembacaanku, pasti tidak dilayan.

Buku lain yang aku ingat ialah novel yang aku baca di sekolah SMAS. Ia mengisahkan pencarian seorang perempuan terhadap kebenaran beragama. Asalnya seorang yang neutral kemudian menganut atheis dan kristian (kedua-duanya atas pengaruh 2 orang teman lelaki). Akhirnya dia menemui kebenaran Islam melalui teman sebilik di university.



Cukup dengan contoh mengamalkan Islam sempurna-(bukan islam liberal yang banyak diamalkan sekarang)-solat awal waktu, puasa sunat Isnin Khamis, sentiasa memulakan sesuatu dengan nama Allah,menutup aurat, menghormati agama lain dan akhlak yang baik cukup untuk mengarahkan hati sesiapa mencintai Islam.

Sampai sekarang aku masih mencari novel ini. Misteri sungguh-aku lupa tajuk, penulis atau penerbitnya dan aku masih tercari-cari buku ini. Aku tak tahu sama ada buku ini masih ada di perpustakaan sekolah dulu.

Seketika setelah masuk ke matrix, aku terdedah dengan novel cinta yang cukup klise. Namun kesempatan menghadiri seminar penulisan kembali menghantar aku ke alam reality. Cerpen cinta bukan duniaku dan sehingga kini aku masih gagal untuk membuat cerpen cinta. Seperti sebuah cerpen yang pernah kubaca : perlukah aku bercinta untuk melayakkan aku membuat cerpen cinta?

Jawapannya aku perolehi melalui Tunggu Teduh Dulu-Faisal Tehrani. Andai tidak tahu siapa penulisnya pasti aku mengatakan penulisnya seorang perempuan yang telah berkahwin. Alangkah!

Inilah untungnya jadi penulis. Anda boleh jadi siapa saja yang anda suka-peguam, pensyarah, doctor,pencuri,perdana menteri atau sesiapa saja. Namun, perlu diingat penulis ialah cerminan tulisan yang bakal dikarang. Kadang-kala atau selalunya kita boleh menilai seseorang berdasarkan hasil tulisannya.



Dan tuntutan sebagai seorang pelajar menyebabkan kadang kala aku hanyut dalam stress yang berpanjangan dan stress ini menghantar keserabutan pada minda yang menghantar aku ke dunia penulisan. Lazimnya aku akan menulis saat-saat ujian makin dekat. Ini salah satu terapi hidupku.

Moga aku istiqamah menulis ke arah mencari keredaan Pencipta Alam. Amin.

2 comments:

jss said...

korban sungai manggis benar2 meruntun hati..

Ilham Nur said...

Buku lain yang aku ingat ialah novel yang aku baca di sekolah SMAS. Ia mengisahkan pencarian seorang perempuan terhadap kebenaran beragama. Asalnya seorang yang neutral kemudian menganut atheis dan kristian (kedua-duanya atas pengaruh 2 orang teman lelaki). Akhirnya dia menemui kebenaran Islam melalui teman sebilik di university.

Cukup dengan contoh mengamalkan Islam sempurna-(bukan islam liberal yang banyak diamalkan sekarang)-solat awal waktu, puasa sunat Isnin Khamis, sentiasa memulakan sesuatu dengan nama Allah,menutup aurat, menghormati agama lain dan akhlak yang baik cukup untuk mengarahkan hati sesiapa mencintai Islam.

Sampai sekarang aku masih mencari novel ini. Misteri sungguh-aku lupa tajuk, penulis atau penerbitnya dan aku masih tercari-cari buku ini. Aku tak tahu sama ada buku ini masih ada di perpustakaan sekolah dulu.

P/s: Cik Sasterawati, rasanya saya pernah baca novel ini. Lebih daripada sekali.

Watak utama lahir dalam keluarga yang si ayah beragama Kristian dan si ibu beragama Hindu. Terakhir, watak berkahwin dengan abang si teman sebiliknya itu. Betulkah?

Novel ini, kalau tidak silap antara pemenang Sayembara Penulisan Islami.