......SEDANG AKU GAGAL DI SISINYA SAAT ITU
When the heart grieves over what it has lost, the spirit rejoices over what is has left~ Sufi Ipigram
Teman, melihatmu senyum dengan rasa bahagia seakan aku merasakan tempias kebahagiaan itu singgah memenuhi ruang jiwaku.
Teman, kenangan bersahabat denganmu ialah zaman anak-anak yang membentuk zaman dewasa aku hari ini.
Teman, kau bukan milik semalam saat aku masih belum mengenal sepak terajang dunia, tapi kau ialah milik hari ini yang aku bertatih melawan arus yang kadang mampu merebahkan aku dalam tsunami emosi.
Izinkan aku pada warkah maya ini menitipkan rasa kasih yang mengisi ruang persahabatan kita yang tak pernah gugah.
Sepuluh jari kuhulur memohon kemaafan atas kegagalan aku memenuhi undangan darimu. Namun, namamu sentiasa meniti setiap bait doaku lewat solat saban waktu.
JARAK HANYA WAKTU, PERPISAHAN HANYA RUANG-izinkan aku meminjam kata seorang penyanyi melalui lagunya.
Kiranya telah lama kita tidak bersua mula, lantaran jarak dan kekangan waktu atas tanggungjawab yang berbeda. Kau punya seorang nakhoda yang bakal mengemudi haluan hidupmu sedang aku masih berusaha mengemudi haluan hidup sendiri atas ombak dan badai yang kadang galak menguji semangat.
Siapapun kau pilih, aku akan menghormati dia selaku pembimbing seorang teman yang sentiasa punya ruang dalam kamar hatiku.
Sekadar berkongsi untuk keharmonian PENYATUAN DUA HATI yang kau laksanakan nanti.
Rindu itu indah bila bertemu. Cinta itu indah bila bersatu.
Saat akad itu terlakasana, maka kau tertakluk di bawah pemerintahan dia. Namun, harus kau ingat teman, ungkapan aku setuju bukan bermaksud 100% kau harus taat padanya, kerana kau ialah cermin dirinya, tugasmu ialah menyokong saat dia hampir rebah atau meminjamkan bahu saat dia lelah.
Tugasmu bukanlah menyokong saat dia bersifat tirani, tapi membetulkan dia saat laluannya sedikit tersasar. Kau punya banyak pilihan teman untuk masuk pintu syurga manapun saat kau mampu membuatkan dia tersenyum saat lelah dan ketawa saat dirinya duka.
Kau ialah tangan kirinya dan kau ialah kotak rahsianya kerana setiap orang yang melihat dia akan melihat kau sebagai bayangnya.
Aku belum melalui jalan yang bakal kau tempuhi dalam masa terdekat, tapi aku pernah rasa biasan tenang atau gelojak emosinya. Teman, saat emosimu terpamer, kendurkan ia dengan rasionalmu. Jangan biarkan dia melihat raut tidak senang menghiasi parasmu kerana tugasmu ialah seperti Khadijah r.a yang mampu mendamaikan hati Penghulu Umat SAW saat pulang menerima wahyu pertama di Gua Hira’.
Bagi seorang lelaki, syurganya ialah ibunya sedang kau teman, saat akad itu rasmi, syurgamu kuncinya ialah kesenangan dia pada setiap tindakanmu. Redhanya mampu menghantar kau ke mana-mana pintu syurga yang kau ingini.
“Be kind, for everyone you meet is fighting a hard battle.”~ Plato
Buatmu teman, di kejauhan ini, kukirimkan rasa kasih pada angin, moga warkah ini singgah dan menghuni ruang antara banyaknya ruang di hatimu.






No comments:
Post a Comment