Buat Miratku, Ratuku! Ku bentuk dunia sendiri, dan ku berjiwa segala yang dikira orang mati di alam ini Kucuplah aku terus, kucuplah dan semburkanlah tenaga dan hidup dalam tubuhku….
Dari nada yang mendayu-dayu, tentu kita dapat membayangkan bagaimana perasaan si penyair ketika menghasilkan puisi itu. Penciptanya adalah Chairil Anwar, seorang penyair besar Indonesia yang cukup berpengaruh di zaman 1940-an dan meninggal dalam usia muda iaitu 27 tahun. Puisinya memang puisi orang muda yang tidak terlepas dari gejolak percintaan dan puisinya juga tidak dapat lari dari perjalanan hidupnya. Bahkan puisi juga dapat dikatakan sebagai biografi seorang penulis
Saat itu Chairil memang sedang jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Sumirat. Gadis yang pandai melukis itu menjadi ratu di hati Chairil. Sayangnya, orang tua Sumirat menolak lamaran Chairil. Mirat akhirnya menjadi ratu dalam imaginasi Chairil. Chairil bukan satu-satunya orang yang membuat puisi ketika sedang jatuh cinta. Sebahagian besar dari kita mengalami hal yang sama. Puisi sebagai salah satu genre sastera mengungkapkan perasaan hati yang sedang bergejolak. Puisi Chairil jugalah yang menghiasi filem cinta remaja terkenal suatu ketika dahulu di Indonesia dan Malaysia iaitu Ada Apa Dengan Cinta.
Dalam filem itu, kita dapat melihat secara lebih kritis keindahan puisi dan sastera dalam 'jelmaan' jatuh cinta dalam dunia remaja. Watak Rangga (Nicholas Saputra) dalam filem ini digambarkan sebagai seorang yang cerdas tetapi murung dan sering berseorangan.
Sangat wajar bila Rangga menyelami dunia puisi dan sastra. Buku Aku yang menghimpun antologi puisi Chairil Anwar selalu berada di sisi Rangga bahkan dinding biliknya berhias dengan gambar Chairil Anwar. Kita semua dapat membayangkan alangkah sepi hidup tokoh seperti Rangga dalam kehidupan remaja. Namun, kenyataan ini juga membawa keindahan. Watak yang 'menyepi' lalu muncul kuat kerana unik dalam keramaian dunianya yang tersendiri
Ada Apa Dengan Cinta merupakan sebuah penciptaan dunia mimpi. Dunia di mana kita menemukan kembali kebiasaan-kebiasaan yang rutin dalam kehidupan remaja dan melakukan hal-hal yang sinonim dengan dunia remaja. Lihatlah Cinta (Dian Sastrowardoyo) dan teman-temannya memandang dunia remaja yang ideal dengan shopping mall, dan konsert muzik.
Tetapi Rangga menawarkan sebuah dunia yang lain: membawa dunia remaja dan kita ke dunia atau ruang-ruang yang tidak umum dan biasa. Dibawanya kita ke keasyikan dunia buku, ke toko-toko buku terpakai di Pasar Senin dan Kwitang di Jakarta dan di sudut kecil ruang sekolah di mana Rangga membaca buku-buku sastra dan sering menulis puisi.
Di sudut kecil ruang sekolah itu juga Rangga membaca buku Catatan Seorang Demonstran yang ditulis oleh Soe Hok Gie, seorang intelektual muda tersohor Indonesia yang terkenal dengan protes sosial memperjuangkan hak-hak orang miskin terhadap mantan Presiden Sukarno yang ketika itu dibuai kekuasaan dan rasuah. Seperti juga Chairil Anwar, Soe Hok Gie mati muda dalam usia 27 tahun kerana terhidu gas beracun dalam suatu demonstrasi pada tahun 1969. Kedua-duanya sama-sama 'rakus' membaca, mencintai buku, berkarya dan meminati puisi dan sastera.
Pemikiran
Buku Catatan Seorang Demonstran hanyalah sebuah catatan harian yang ditulis Soe Hok Gie sejak ia berusia 13 tahun. Berisi pemikiran yang umumnya kekecewaan, pertanyaan-pertanyaan, dan kutipan dari ungkapan pemikir-pemikir yang dikaguminya serta tentu saja puisi yang menjadi kecintaannya. Inilah citra yang ingin ditonjolkan oleh orang muda seperti Chairil Anwar, Sok Hok Gie, Rangga, dan yakni orang muda yang mencintai buku dan sastera.
Paling harmonis sekali sebuah filem tidak terlepas daripada kesan sebuah buku dan hasil sastera bahkan hampir semua filem yang tidak mungkin dapat dihasilkan jikalau bukan inputnya dari buku dan sastera. Kalau Ada Apa Dengan Cinta memasukkan unsur sastera dan buku, keakraban buku dan sastera pula menghasilkan dan mencitrakan sebuah filem.
Lihatlah filem-filem hebat Round the World in 80 Days, Lord of The Rings, Da Vincci Code, dan tentu sekali siri filem Harry Potter dan banyak lagi adalah cerminan dari sebuah buku dan hasil sastera. Buku, sastera, dan filem adalah entiti gabungan yang harmonis dan akrab. Ia sebenarnya tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Ketiga-tiga gabungan ini membentuk industri kreatif global yang sentiasa subur dan segar. Dengan kata lain, dalam industri kreatif, terdapat hubungan yang selari di antara buku dan juga filem serta sastera. Maka disini lahirlah pencinta dan peminat filem yang bergabung tempat dan juga idea dalam menghasilkan output yang bermutu.
Benarlah kata sasterawan negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, "Pengajian sastera perlu dikaitkan bersama industri kreatif supaya ia mampu menjadi pemangkin terhadap kemajuan dan pembangunan di negara ini". Menurut Anwar lagi, "Karya sastera tempatan itu perlu mencerminkan keintelektualan, keselesaan untuk diterima sebagai bahan bacaan serta diadun bersama unsur intuitif yang menepati cita rasa pembaca, secara tidak langsung penerapan budaya membaca adalah penting di dalam melahirkan karya-karya yang hebat di dalam industri kreatif".
Wacana
Manifestasi keakraban buku, sastera, dan filem dan hubungannya dengan dunia membaca remaja menjadi fokus perbincangan dalam Program Wacana Malaysia Membaca, siri ke-3 yang dianjurkan oleh mahasiswa Fakulti Pengurusan Maklumat dengan kerjasama Komuniti Buku Online baru-baru ini di Bilik Seminar UiTM kampus Puncak Perdana Shah Alam. Antara objektif Wacana tersebut adalah untuk menunjukkan keakraban yang harmonis antara buku, sastera, dan filem dalam mewarnai industri kreatif di Malaysia dan global,
memberi kesedaran betapa pentingnya peranan buku dan sastera dalam memberi makna kepada dunia sinema Malaysia serta menghargai sumbangan karyawan-karyawan negara.
Antara yang hadir sasterawan negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang menyampaikan ucap utama bertema "Manifestasi Buku, Sastera dan Filem" serta menampilkan panelis iaitu Ku Seman Ku Hussain (Penolong Pengarang Mingguan Malaysia) dan Abd Wahab Hamzah (Pengarah Teater dan Pengkritik Filem) yang membincangkan secara terperinci senario keakraban buku, sastera, dan filem.
No comments:
Post a Comment