![]() |
| SAIFUDDIN mula mahir menjahit pakaian seawal usia 10 tahun. Melihat dia mengingatkan aku akan Manikam Kalbu & Ziyad Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH Foto AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN Sifat peribadinya yang malu-malu itu dan bercakap penuh sopan membuatkan saya tidak ragu-ragu mengatakan dia seorang remaja yang suka merendah diri. Sebenarnya jika tidak mengenali Saifuddin Abdul Rahim yang belum menginjak usia 18 tahun ini, dia mungkin dianggap seorang remaja biasa apabila berselisih dengannya di jalanan. Tetapi di sebalik tubuh fizikal yang kecil itu, tersimpan banyak rahsia mengenai bakat yang dimiliki dalam diri anak keempat daripada enam beradik itu. Ini kerana jarang benar dapat berjumpa anak muda seawal usia Saifuddin yang mahir menjahit baju dan mampu menghasilkan beg sendeng serta dompet. Mula menjahit pada usia 10 tahun, Saifuddin kini ibarat pejam mata untuk menjahit baju kurung moden, baju kurung Pahang, baju kebaya, blaus, jubah, baju kemeja lelaki, seluar lelaki, baju melayu cekak musang dan baju melayu Johor. Lebih menarik, identiti remaja yang suka tersenyum ini apabila dia gemar memakai seluar batik panjang yang dihasilkannya sendiri. “Memang dari kecil asyik tengok bapa menjahit dan pada masa tolong apa yang patut di kedai jahit bapa. Tetapi lama kelamaan timbul perasaan seronok apabila sudah boleh menjahit. Cabang seni “Menjahit adalah satu cabang seni yang unik kerana jika mood tidak timbul ketika hendak menjahit, hasil sentuhan pasti tidak mendatangkan kepuasan kepada tukang jahit itu,” katanya ketika ditemui di kedai jahit bapanya, DN Apparel di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju itu, dia tidak malu menjadikan bidang jahitan sebagai satu profesion yang kebiasaannya dikuasai golongan wanita. Malah peminat fanatik Tan Sri P.Ramlee itu mengakui belum pernah pula dia terdengar kutukan atau sindiran yang diterima daripada rakan-rakan sebayanya. “Sebaliknya, ramai kawan saya yang selalu menyuruh saya mengubah suai seluar mereka dan menggalakkan saya meneruskan kemahiran ini. “Sebenarnya bidang jahitan ini bukan untuk kaum wanita semata-mata tetapi lebih kepada jiwa seni yang terdapat pada diri individu,” katanya yang turut memiliki kemahiran bermain gitar dan keyboard. Ditanya tentang aktiviti lapangnya, seperti remaja lain kata Saifuddin, dia gemar jamming di studio yang terletak berdekatan dengan kedai jahit bapanya. Malah tanpa ragu-ragu, dia menyerlah jiwa seni yang berbeza apabila memberitahu gemar kepada genre muzik seperti post-punk. “Saya minat muzik seperti kumpulan Cool Play, The Beatles dan The Velvet Underground. “Saya juga lebih selesa memakai seluar jeans koyak apabila keluar bersantai dengan rakan-rakan,” katanya yang terus kekal dengan sifat malu yang mendalam. Tambahnya lagi, dia sebenarnya tidak kisah cara pemakaian dirinya sebaliknya lebih mementingkan pakaian pelanggan agar mereka nampak cantik dan kemas. Mengenai koleksi beg sendeng dan dompet yang dihasilkan sendiri, Saifuddin berkata, dia menggunakan aksesori itu sebagai kegunaan peribadi dalam rutin hariannya. Namun remaja yang memiliki ketinggian 156 sentimeter dan berat 45 kilogram itu tidak berminat untuk menjualnya sebagai produk komersial. “Seganlah. Saya tidak yakin orang akan beli nanti,” katanya yang bakal menyambut hari jadi ke-18 pada 31 Disember ini. Menyimpan cita-cita ingin menjadi orang kaya yang dermawan satu hari nanti, Saifuddin ditanya siapakah idolanya dalam dalam bidang jahitan itu. “Bapa saya, Abdul Rahim Abdul Razak yang kini berusia 56 tahun dan lebih 30 tahun menjadi tukang jahit,” katanya yang sudah memohon menyambung belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang perakaunan dan perbankan. |
Sunday, October 3, 2010
JIWA SENI JAHITAN SAIFUDDIN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

2 comments:
nak tau alamat & contact no. DN Apparel bole keR
maaf, sya copy rtikel dari Metro kalau x silap, mungkin boleh tanya penulisnya atau tgk kat hmetro.com.my
Post a Comment