Saturday, July 12, 2008

HARAPAN-BOOSTER UNTUK SEMANGAT


Hari Jumaat, Penghulu Hari yang amat dinantikan. Jika di rumah, saya gembira sekali mendengar ceramah sebelum azan dilaungkan dan amat bahagia sekali melihat mereka yang berlumba-lumba ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Jika di sini, di negeri yang tidak menjadikan Jumaat sebagai hari cuti, nikmat itu memang tak dapat dirasai.


Justeru, saya akan ke library untuk menatap ruangan tausiyah oleh KH Abdullah Gymnastiar. Artikelnya umpama suis yang akan mengecaskan bateri kehidupan saya setiap minggu. Ini ialah antara tazkirahnya yang amat mengesankan.




HARAPAN DAN SEMANGAT RESIPI KEJAYAAN
Oleh : KH Abdullah Gymnastiar

Rahsia kejayaan seorang pemimpin, pengusaha, doctor, jurutera, pensyarah atau siapa saja ditentukan oleh kemampuannya meletak harapan tinggi, sekali gus mempertahankan semangat dan menyebarkannya kepada orang lain.


Seseorang yang bersemangat dan berjiwa besar akan memiliki kemampuan memperoleh lebih banyak peluang berbanding orang yang tak bersemangat. Dengan semangat yang berkobar-kobar, seseorang itu mampu bekerja dengan lebih kuat dan berpeluang mendapatkan sesuatu yang lebih baik.


Bayangkan, seseorang itu rela pergi ke kelas agama dalam hujan lebat. Mengapa? Kerana dia bersemangat untuk mencari ilmu.
Seorang ayah rela membanting tulang untuk mencari nafkah. Mengapa? Kerana dia bersemangat untuk menyara anak dan isterinya. Selapas bangun tidur, si ayah sanggup ke bendang, kebun, berniaga di pasar atau ke pejabat untuk bekerja. Dia akan memikirkan tanpa bekerja, dapur tidak berasap, keperluan anak ke sekolah terganggu dan keharmonian keluarga bakal terjejas kerana ketiadaan wang.


Justeru, sebagai ketua keluarga, dia akan bersemangat untuk mencari rezeki. SEMANGAT AKAN MUNCUL BILA ADA HARAPAN. Setiap ada harapan, maka di sanalah ada semangat. Kedua-duanya, harapan dan semangat berjalan seiring untuk memastikan urusan diri dan keluarga berjalan lancar.


Seseorang yang terjebak dalam gua yang gelap gelita dan hampir putus harapan, tentunya akan kembali bersemangat apabila melihat sinaran cahaya dan tiupan angin. Dia menyangka di sekitarnya tentu ada lubang dan akan terus berusaha mencari sumber cahaya dan lubang angin itu.
Begitu juga dalam soal cinta. Kita akan bersemangat untuk mencintai seseorang jika ada harapan untuk memilikinya untuk dijadikan calon suami atau isteri. Namun, jika harapan itu hilang akibat berputus asa dan tidak tabah, maka hilanglah cinta seseorang.


Dari mana datangnya harapan? Harapan TIDAK timbul dengan sendirinya. Harapan timbul daripada maklumat yang kita peroleh. Maknanya, orang yang selalu bersemangat ialah orang yang gemar mengumpulkan maklumat sama ada daripada guru, pasangan, teman mahupun daripada media seperti akhbar, internet, radio dan televisyen.


Jika kita ingin menjadi orang yang sentiasa bersemangat, maka janganlah berhenti daripada mengumpul maklumat. Berhenti mencari maklumat, sama juga dengan menguburkan harapan, sekali gus menguburkan semangat.


Maklumat yang kita kumpul tentunya harus dapat dipertanggungjawabkan dunia akhirat dan dipercayai benar, tepat dan lengkap. Jika kita memiliki tradisi ini kita akan berpeluang luas untuk menghasilkan keputusan tepat dalam hidup.


Inilah modal awal sebuah kejayaan. Kekayaan maklumat akan membuatkan kita kaya harapan dan kaya semangat. Tindakan kita pun akan lebih tepat. Kita tak akan mudah terjerumus jika niat kita betul dan tidak terpengaruh dengan maklumat betul atau yang masih was-was.


Jika kita menelaah al-Quran perkataan Iqra’ tidak hanya bermaksud membaca, tapi juga menghimpun maklumat. Kerana itu, tradisi mengumpulkan maklumat ialah perintah Allah SWT yang pertama.


Sayangnya, tradisi mengumpul maklumat ini belum menjadi amalan kita. Walaupun ada maklumat yang diperoleh, mekanisme kita sering salah sehingga yang timbul adalan semangat emosi bukan semangat penyelesaian.


Saudaraku, setinggi apapun cita-cita kita, persoalannya sejauh manakah kita mahukan maklumat yang tepat, benar dan lengkap? Maklumat boleh kita peroleh daripada buku, media cetak, televisyen, internet atau guru.


Oleh itu, pastikan tika berjumpa dengan seseorang, perjumpaan itu menambahkan maklumat positif bagi kita dan bukan mencelarukan fikiran. Apa pun kejadian harus menghasilkan maklumat bagi meningkatkan kualiti diri kita.


Jadikan diri kita sebagai penerima maklumat yang benar, tepat dan lengkap. Kita harus tapis segala maklumat yang diterima. Jika kita menerima maklumat bulat-bulat, kemungkinan maklumat palsu yang kita pegang dan dijadikan sandaran.

Friday, July 4, 2008

BAHASA KALBU BERBISIK


Takdir sering tak terduga, merempuh segala penjuru bahagia atau seenaknya membunuh badai sengsara. Getaran yang seringkali meyalahi gelombang alam tidak segan silu mencuba untuk menguji pertahanan emosiku. Natijahnya permulaan tidak selalunya indah walau terlihat mudah.

Permulaan tahun dua, kami dimomokkan dengan jujukan peperiksaan yang sedang menunggu dan bebanan tahap ilmu yang semakin meninggi mencuba untuk mencabar ingatan, pemahaman dan kekuatan emosi. Aku tidak mahu mudah menaikkan bendera putih sedang langkah pertama perjuangan belum berbunyi wiselnya.

Tapi, kelihatannya langkah pertamaku sedikit goyah dengan debaran yang semakin kencang. Justeru, dalam diam aku memujuk diri, untuk memetik bintang di langit atau menggapai purnama yang menyuluh sinar, aku tak mungkin mampu melakukannya dalam sekelip mata atau setiap masa.

Aku perlukan momentum yang kuat untuk melayarkan perahu keazaman dalam gelora akademik yang membadai dengan gelombang yang tak pernah mengenal erti belas. Aku perlukan semangat tak mengenal erti lelah dan tak pernah mesra dengan kata putus asa. Aku perlukan kekentalan yang tak akan berhenti selagi kalimah kejayaan masih segan bertamu dalam diri yang lemah dan kerdil ini.

Tagline untuk tahun ini-kekadang kita perlu berpisah sementara dengan kebahagiaan, supaya apabila mampu mendepaninya, kita akan lebih mengerti bahagia itu maknanya apa…

Pesan buat diri: Jangan pernah bahagia dengan air mata insan-insan tersayang yang pernah tumpah kerana seorang yang bernama aku

Tuesday, May 20, 2008

HIBERNASI


Lama sungguh saya menghentikan khidmat jemari dari menaip dan benih rasa yang mula bercambah jadi terbantut tumbesarannya.

Semuanya kerana Peperiksaan Professional yang pertama kali dihadapi.

Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan penamat yang baik dan saya bakal melangkah kaki ke tahun dua yang menyediakan cabaran yang lebih sengit berbanding tahun satu yang lebih santa

Demi exam ini, saya menghentikan segala aktiviti menulis hingga minda tidak lagi lancar pabila berbicara tentang sastera.

Demi exam ini, saya tidak menghadiri aktiviti ko-kurikulum-entah bila akan disambung.

Namun, saya tak menyesal dengan segala pengorbanan ini kerana-

Life is all about decision

Terlalu banyak yang hendak dikejar hingga saya terpaksa membuat keputusan bijak untuk mendahulukan yang urgent.

Tapi, saya tak pernah mengenepikan minat yang satu ini-pernah seorang teman bertanya bagaimana saya mampu membaca saat dibelenggu dengan nota-nota pelajaran yang berserabut dan bertimbun?

Jawapan saya senang saja-asal ada kemahuan, semua jadi.


Gunung Everest jadi mampu ditakluki

Jurang Mariana mampu dituruni

Krakatao bukan lagi penghalang

HIDUP IALAH TAKDIR YANG DITADBIR

Hidup ialah gabungan semua rasa :

Suka

Duka

Bahagia

Resah

Masam

Manis

Salah gabung, akan menyebabkan neutral timbul hingga ketenangan tidak lagi dapat dikecapi walhal bahagia itu tenang bersemadi dalam hati sendiri.

Hingga segala jalan menjadi keliru dan semua warna jadi kelabu.



CITA-CITA

VS

CINTA

PIECES OF CAKE

Sometimes we ask ourselves: What did I do to deserve this?

Why does God let these things happen to me?

Here is the explanation:

A daughter tells her mother how everything is going wrong for her;

..She probably failed her Math exam..

..Her boyfriend has just dumped her-for her best friend..

In times so sad, a good mother knows just the thing to cheer up her daughter...

"I'll make a delicious cake."

In that moment the mother hugged her daughter and walked to the kitchen, while her daughter attempted to smile.

While the mother preparing the utensils and ingredients, her daughter sat across from her at the counter.

Her mother asks, "Sweetheart would you like a piece of cake?"

Her daughter replies, "Sure, mom. You know how I love cake."

"Alright." the mother said. “Drink some of this cooking oil."

Shocked, the daughter responded, "What?!! No way!!!

"How about a couple of raw eggs?"

To this the daughter responded, "Are you kidding?"

"How about a little of flour?"

"No mom,I'll be sick."

The mother responded, "All of these things are uncooked and taste bad, but if you put them together…

Allah works the same way. When we ask ourselves why He makes us go through these difficult times, we don't realize the what/where these events may bring us. Only He knows and He will not let us fall. We don't need to settle for the raw ingredients, trust in Him. And see something fantastic to come about!

Allah loves us so much.

He sent flowers every spring...

He makes the sun rise every morning...

And anytime you want to talk, He is there to listen

When you walk to Him, He will run to you

And I hope your day is a piece of cake

have a Great Cake!

Opps!

I mean a Great DAY!

Sunday, April 13, 2008

PESTA BUKU KL


Gara-gara cemburukan Nissa’ yang dengan bangganya menceritakan bahawa dia akan ke pesta Buku Antarabangsa kuala Lumpur untuk kali ke-2, saya bertekad untuk melupakan seketika hakikat saya akan menghadapi Peperiksaan Professional saya yang pertama. Mula-mula, saya mencari sesiapa yang sanggup untuk menemankan saya, tapi semuanya beralasan peperiksaan makin mendekat yang menghalang ke sana. Saat saya dah hampir putus asa –saya tak berani ke KL seorang diri, sah-sah ibu saya tidak membenarkan-seorang teman datang untuk mengambil bukunya yang dipinjamkan kepada saya.


Teman itu –pelajar Biomedic –akan pulang ke rumahnya di Kelang.
Saya secara bergurau meminta dia menemankan saya setelah menceritakan padanya keinginan saya untuk ke sana. Dan dengan mudah pula dia menyanggupinya.
Apalagi, saya terus meminta dia tolong membelikan tiket pergi dan balik untuk saya.


Saya ke KL petang Jumaat –dengan memonteng kelas Epidemiology yang diberitahu sebelum minitest pagi Jumaat-dan pulang semula ke Kuantan petang Sabtu. Satu perjalanan yang cukup mengerah segala kudrat saya.


Akhirnya saya pulang dengan perasaan puas hati walaupun hanya sempat berjumpa Samad Said saja hari itu. Dewan sesak dengan pelajar sekolah dan orang ramai.
Buku-buku yang dibeli:

68 Soneta pohon Ginkgo-A Samad Said
Dari Salina ke langit Petang-A Samad Said
Peribadi-Hamka
Karya nan Indah-Faisal Tehrani

Apa-apapun saya puas hati kerana tahun lepas pun saya tak berpeluang juga ke KLIBF. Tahun ni-balas dendam..hehe

Wednesday, April 2, 2008

SEMUA ORANG ATAU SETIAP ORANG


Ini kisah empat orang yang bernama :
Setiap Orang
Seseorang
Siapa Pun
Tidak Seorang Pun

Ada beberapa tugas penting yang harus dicapai dan meminta Setiap Orang untuk mencapainya.

Setiap Orang yakin bahawa Siapa Pun dapat melaksakannya.

Siapa Pun dapat mencapainya, namun tidak Seorang Pun melakukannya

Seseorang marah dengan hal itu, kerana ini adalah tugas bagi Setiap Orang

Setiap Orang kira bahawa Siapa Pun dapat melakukannya, tatapi Tidak Seorang Pun mengetahui bahawa Setiap Orang pun tidak melakukannya

Pada akhirnya, Setiap Orang mencaci Seseorang ketika Tidak Seorang Pun melakukan apa yang mampu dilakukan oleh sesiapa pun.

MASA IBARAT PEDANG, JIKA KITA TIDAK MEMOTONGNYA MAKA IA AKAN MEMOTONG KITA


Ketika Imam al Ghazali bertanya kepada pelajarnya apa yang paling jauh, pelbagai jawapan yang diberi oleh pelajarnya.

Bulan
Matahari

Lantas Hujjatul Islam itu menjawab : yang paling jauh daripada diri kamu ialah masa yang lalu kerana walau dengan apa cara sekalipun manusia tidak akan mampu mengembalikan masa silamnya.

Ungkapan ini bermaksud menekankan betapa pentingnya masa yang sedang dilalui sekarang. Sebagaimana satu ungkapan :

Hari ada tiga
Esok yang tidak pasti
Semalam yang telah menjadi kenangan
Dan
Hari ini yang sedang dilalui
Nikmatilah hari yang sedang dijalani sekarang

Kerana masa jalanannya tidak mungkin berpatah balik, kita mungkin akan lebih menghargai masa setelah membaca gambaran-gambaran berikut :

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu tahun, tanyalah kepada seorang mahasiswa yang tidak lulus dalam ujian kenaikan ke tahun dua universiti

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu bulan, tanyalah kepada seorang ibu yang melahirkan anak yang belum cukup bulan

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu minggu, tanyalah seorang editor majalah mingguan

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu hari, tanyalah seorang buruh yang mempunyai sepuluh orang anak yang perlu disuap mulutnya

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu jam, tanyalah kepada seorang pekerja kilang fabrik yang memiliki produktiviti yang tinggi

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu minit, tanyalah seseorang yang tertinggal kapal terbang

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu satu saat, tanyalah seseorang yang selamat daripada kematian di depan mata

Jika anda ingin mengetahui berapa nilai waktu setengah saat, tanyalah pemenang pingat perak dalam pertandingan lumba lari

Dengan demikian, kita akan lebih menghargai detik-detik yang sedang dilalui dan dinikmati sekarang berbanding mengenang masa lalu yang kita tidak mampu untuk mengubahnya atau membayangkan masa hadapan yang masih samar keadaannya.

Tuesday, February 12, 2008

SATU PINTU ANTARA BERJUTA JALAN


Mengapa mesti termangu di hadapan pintu yang kemas tertutup lagi berkunci andai deretan pintu yang lain luas terbuka dan menyediakan ruang untuk kita memasukinya?


Allah hanya menutup satu pintu yang barangkali tidak menepati perwatakan dan tindakan kita, tetapi Dia membuka pintu-pintu yang akan memberikan sinar gemilang buat diri dan menepati pula dengan bakat dan kebolehan yang ada.


Justeru, jangan pernah risau saat kaki usaha pernah tersandung dan hampir rebah atau pernah berkali-kali rebah kerana mungkin usaha lebih gigih diperlukan untuk mencapai matlamat yang unggul atau barangkali kita boleh mencuba melalui pintu-pintu lain.


Jangan pernah kecewa jika usaha sudah ke tahap maksima sedang hasil tidak seberapa malah mungkin tidak melapasi piawai yang ditetapkan kerana yang dinilai bukan pada hasil hujung usaha tapi jalan dan onak yang direntas untuk menuju garisan akhir yang dinamakan kejayaan.
Jangan pernah putus asa jika kejayaan masih belum menyebelahi kerana masih banyak pintu yang belum kita terokai untuk mencungkil potensi diri.


Demikian, masuklah dari pintu yang lain jika pintu yang pernah dimasuki seakan tidak merelakan diri tewas di dalamnya.

Wednesday, January 23, 2008


TERSUNGKUR DI PINTU RASA


Dia membenih dendam
Dalam amarah yang berapi
Dia melapah setiap hati
Yang tidak pernah mengganggu-gugat ketenteraman nya
Dia memegang tampuk kuasa
Megah dengan pinjaman semata
Lantas mencipta pelbagai konspirasi jelik
Demi melunaskan hasrat terpendam
Melangsaikan tugas ditinggalkan seorang ayah
Lantas dia melakar draf pertama sebuah sandiwara
Rela membunuh rakyat sendiri
Sanggup memusnahkan sebuah kebanggaan
Demi menakhluki sebuah negara

Katanya ketika mesyuarat
Tragedi 11 September untuk Afghanistan
Inilah bahana kerana negaranya Islam
Isu tanaga nuklear pula dijadikan alasan
Untuk membina kerajaan boneka di Iraq
Hanya kerana enggan sujud di kakinya
Seperti negara Arab yang lain

Dia menyekat aliran kemanusiaan
Membina empangan permusuhan
Hingga satu saat binaan itu runtuh
Yang mengalir hanyalah merah pekat warna darah
Kemanusiaan pudar dalam hati setiap jiwa
Meledakkan hanya rasa penuh kebencian
Tanpa sebab yang apa-apa
Hanya sekadar luahan rasa yang dikuasai dendam
Kerana kebejatan sebuah pemikiran

Dia,Presiden sebuah negara
Walau tewas dengan keresahan yang sering memburu
Tetap angkuh meneruskan misi keji
Menjadi mastermind setiap tragedi
Meyatimkan anak dan menjandakan para isteri
Meletakkan gelaran pengganas kepada sesiapa yang cuba melawan
Juga merampas kedaulatan negara yang tiada daya menghalang

Saat roh-roh melayang tercerai dari jasad
Saat pekik-pekik suara jelas kedengaran
Saat empangan air mata melimpah
Dia hanya merekah senyum
Menyebarkan kezaliman pada setiap langkah
Menterjemah jiwa yang kacau
Walau sering dihambat gelora
Kerana bayangan malaikat maut sering sahaja memburu
Kerana dia juga percaya kepada hukum karma
Detik kematian semakin rapat menghampiri
Atau sesekali melihat telatah teman sealiran
Terlantar koma,kaku tanpa sebarang pergerakan

Namun,dia tertewas jua
Tersungkur di kaki dendam
Sujud kepada syaitan
Dan membiarkan nafsu mengemudi akal

Ini puisi saya yang pertama tersiar. Banyak sungguh kenangan dengan puisi ini. Semuanya lantaran tak puas hati beberapa puisi pendek saya yang dihantar ke majalah Tunas Cipta tak tersiar-barangkali sajak panjang lebih menjadi pilihan. Lantas sekali duduk, sajak itu saya siapkan tanpa sebarang suntingan atau edit dan terus saya emailkan. Ideanya –peristiwa 11 September dan jua dendam Bush junior meneruskan usaha Bush senior.

Rupa-rupanya sajak ini ialah titik permulaan bagi segala-galanya. Saya ditawarkan mengikuti MPR06 dan berkenalan pula dengan penulis yang rata-rata nama mereka acap saya kagumi kerana kekerapan karya tersiar dalam pojok sastera di surat khabar dan majalah. Saya tak pernah merasa saat yang paling bahagia sekali dalam momen indah hidup saya selain perkampungan penulis ini walaupun terpaksa ponteng kelas selama seminggu.

Saya bisikkan kepada seorang teman yang cukup memahami-andai program ini dilanjutkan selama sebulan, saya tak pernah menyesal tinggalkan kelas untuk tempoh itu. Tambahan lagi saya tak pernah bermimpi menyertai program ini.

Saya ditawarkan menyerti program ini saat menduduki peperiksaan akhir-dan kerana terlalu terkejut, saya rasa macam di atas angin saja saat menjawab soalan peperiksaan.

Assalamualaikum dan salam ceria. Sudah lama tinta saya terkandas hanya di sudut hati. Terlalu banyak yang terjadi hingga hanya hati jadi pengemudi bicara dengan jantung yang berdetik keras. Saya mulakan tahun baru 2008M dan 1429H dengan azam yang lebih tekad-azam yang lama tapi diperbaharui dan disegarkan lagi intinya.

Puisi atau lebih tepat lagi lagu ini saya petik dari blog iluvislam yang disalin dalam laptop seorang kawan. Hayati liriknya yang sungguh menginsafkan:

Yang kelabu
Hening telaga biru
Berubah menjadi ungu senja
Tak terkikis batu hitam kelam

Di atas tegak tebing yang bersahaja
Semburan warna-warna cakerawala
Adalah lukisan terindah
Rindu air pada muara
Setelah lelah berliku
Kepada embun-embun pagi
Dan kabut malam hari yang berdoa
Memohonkan ampun bagi sesiapa saja
Dan bersimpuh lantunkan rasa
Hidup pada-Nya

Yang setia cahaya yang agung
Menebar picar hangati maya pada
Belai angin pada dedaunan
Ingatkan kembang untuk terus merekah
Manjakan penghuni perebut karunia
Patuhi titah-Nya Sang Perkasa
Rangkuli kicau jagat raya
Sampai masa tak berdegup

Tak pernah bumi ini mengadu
Walau terinjak bertapak
Namun tetap tumbuh
Gempita puji-puji semesta
Selamanya pengakuan
Pada Dia Yang Esa