
Mengapa mesti termangu di hadapan pintu yang kemas tertutup lagi berkunci andai deretan pintu yang lain luas terbuka dan menyediakan ruang untuk kita memasukinya?
Allah hanya menutup satu pintu yang barangkali tidak menepati perwatakan dan tindakan kita, tetapi Dia membuka pintu-pintu yang akan memberikan sinar gemilang buat diri dan menepati pula dengan bakat dan kebolehan yang ada.
Justeru, jangan pernah risau saat kaki usaha pernah tersandung dan hampir rebah atau pernah berkali-kali rebah kerana mungkin usaha lebih gigih diperlukan untuk mencapai matlamat yang unggul atau barangkali kita boleh mencuba melalui pintu-pintu lain.
Jangan pernah kecewa jika usaha sudah ke tahap maksima sedang hasil tidak seberapa malah mungkin tidak melapasi piawai yang ditetapkan kerana yang dinilai bukan pada hasil hujung usaha tapi jalan dan onak yang direntas untuk menuju garisan akhir yang dinamakan kejayaan.
Jangan pernah putus asa jika kejayaan masih belum menyebelahi kerana masih banyak pintu yang belum kita terokai untuk mencungkil potensi diri.
Demikian, masuklah dari pintu yang lain jika pintu yang pernah dimasuki seakan tidak merelakan diri tewas di dalamnya.
No comments:
Post a Comment