Wednesday, January 23, 2008


TERSUNGKUR DI PINTU RASA


Dia membenih dendam
Dalam amarah yang berapi
Dia melapah setiap hati
Yang tidak pernah mengganggu-gugat ketenteraman nya
Dia memegang tampuk kuasa
Megah dengan pinjaman semata
Lantas mencipta pelbagai konspirasi jelik
Demi melunaskan hasrat terpendam
Melangsaikan tugas ditinggalkan seorang ayah
Lantas dia melakar draf pertama sebuah sandiwara
Rela membunuh rakyat sendiri
Sanggup memusnahkan sebuah kebanggaan
Demi menakhluki sebuah negara

Katanya ketika mesyuarat
Tragedi 11 September untuk Afghanistan
Inilah bahana kerana negaranya Islam
Isu tanaga nuklear pula dijadikan alasan
Untuk membina kerajaan boneka di Iraq
Hanya kerana enggan sujud di kakinya
Seperti negara Arab yang lain

Dia menyekat aliran kemanusiaan
Membina empangan permusuhan
Hingga satu saat binaan itu runtuh
Yang mengalir hanyalah merah pekat warna darah
Kemanusiaan pudar dalam hati setiap jiwa
Meledakkan hanya rasa penuh kebencian
Tanpa sebab yang apa-apa
Hanya sekadar luahan rasa yang dikuasai dendam
Kerana kebejatan sebuah pemikiran

Dia,Presiden sebuah negara
Walau tewas dengan keresahan yang sering memburu
Tetap angkuh meneruskan misi keji
Menjadi mastermind setiap tragedi
Meyatimkan anak dan menjandakan para isteri
Meletakkan gelaran pengganas kepada sesiapa yang cuba melawan
Juga merampas kedaulatan negara yang tiada daya menghalang

Saat roh-roh melayang tercerai dari jasad
Saat pekik-pekik suara jelas kedengaran
Saat empangan air mata melimpah
Dia hanya merekah senyum
Menyebarkan kezaliman pada setiap langkah
Menterjemah jiwa yang kacau
Walau sering dihambat gelora
Kerana bayangan malaikat maut sering sahaja memburu
Kerana dia juga percaya kepada hukum karma
Detik kematian semakin rapat menghampiri
Atau sesekali melihat telatah teman sealiran
Terlantar koma,kaku tanpa sebarang pergerakan

Namun,dia tertewas jua
Tersungkur di kaki dendam
Sujud kepada syaitan
Dan membiarkan nafsu mengemudi akal

Ini puisi saya yang pertama tersiar. Banyak sungguh kenangan dengan puisi ini. Semuanya lantaran tak puas hati beberapa puisi pendek saya yang dihantar ke majalah Tunas Cipta tak tersiar-barangkali sajak panjang lebih menjadi pilihan. Lantas sekali duduk, sajak itu saya siapkan tanpa sebarang suntingan atau edit dan terus saya emailkan. Ideanya –peristiwa 11 September dan jua dendam Bush junior meneruskan usaha Bush senior.

Rupa-rupanya sajak ini ialah titik permulaan bagi segala-galanya. Saya ditawarkan mengikuti MPR06 dan berkenalan pula dengan penulis yang rata-rata nama mereka acap saya kagumi kerana kekerapan karya tersiar dalam pojok sastera di surat khabar dan majalah. Saya tak pernah merasa saat yang paling bahagia sekali dalam momen indah hidup saya selain perkampungan penulis ini walaupun terpaksa ponteng kelas selama seminggu.

Saya bisikkan kepada seorang teman yang cukup memahami-andai program ini dilanjutkan selama sebulan, saya tak pernah menyesal tinggalkan kelas untuk tempoh itu. Tambahan lagi saya tak pernah bermimpi menyertai program ini.

Saya ditawarkan menyerti program ini saat menduduki peperiksaan akhir-dan kerana terlalu terkejut, saya rasa macam di atas angin saja saat menjawab soalan peperiksaan.

No comments: