
Hari Jumaat, Penghulu Hari yang amat dinantikan. Jika di rumah, saya gembira sekali mendengar ceramah sebelum azan dilaungkan dan amat bahagia sekali melihat mereka yang berlumba-lumba ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Jika di sini, di negeri yang tidak menjadikan Jumaat sebagai hari cuti, nikmat itu memang tak dapat dirasai.
Justeru, saya akan ke library untuk menatap ruangan tausiyah oleh KH Abdullah Gymnastiar. Artikelnya umpama suis yang akan mengecaskan bateri kehidupan saya setiap minggu. Ini ialah antara tazkirahnya yang amat mengesankan.
HARAPAN DAN SEMANGAT RESIPI KEJAYAAN
Oleh : KH Abdullah Gymnastiar
Rahsia kejayaan seorang pemimpin, pengusaha, doctor, jurutera, pensyarah atau siapa saja ditentukan oleh kemampuannya meletak harapan tinggi, sekali gus mempertahankan semangat dan menyebarkannya kepada orang lain.
Seseorang yang bersemangat dan berjiwa besar akan memiliki kemampuan memperoleh lebih banyak peluang berbanding orang yang tak bersemangat. Dengan semangat yang berkobar-kobar, seseorang itu mampu bekerja dengan lebih kuat dan berpeluang mendapatkan sesuatu yang lebih baik.
Bayangkan, seseorang itu rela pergi ke kelas agama dalam hujan lebat. Mengapa? Kerana dia bersemangat untuk mencari ilmu.
Seorang ayah rela membanting tulang untuk mencari nafkah. Mengapa? Kerana dia bersemangat untuk menyara anak dan isterinya. Selapas bangun tidur, si ayah sanggup ke bendang, kebun, berniaga di pasar atau ke pejabat untuk bekerja. Dia akan memikirkan tanpa bekerja, dapur tidak berasap, keperluan anak ke sekolah terganggu dan keharmonian keluarga bakal terjejas kerana ketiadaan wang.
Justeru, sebagai ketua keluarga, dia akan bersemangat untuk mencari rezeki. SEMANGAT AKAN MUNCUL BILA ADA HARAPAN. Setiap ada harapan, maka di sanalah ada semangat. Kedua-duanya, harapan dan semangat berjalan seiring untuk memastikan urusan diri dan keluarga berjalan lancar.
Seseorang yang terjebak dalam gua yang gelap gelita dan hampir putus harapan, tentunya akan kembali bersemangat apabila melihat sinaran cahaya dan tiupan angin. Dia menyangka di sekitarnya tentu ada lubang dan akan terus berusaha mencari sumber cahaya dan lubang angin itu.
Begitu juga dalam soal cinta. Kita akan bersemangat untuk mencintai seseorang jika ada harapan untuk memilikinya untuk dijadikan calon suami atau isteri. Namun, jika harapan itu hilang akibat berputus asa dan tidak tabah, maka hilanglah cinta seseorang.
Dari mana datangnya harapan? Harapan TIDAK timbul dengan sendirinya. Harapan timbul daripada maklumat yang kita peroleh. Maknanya, orang yang selalu bersemangat ialah orang yang gemar mengumpulkan maklumat sama ada daripada guru, pasangan, teman mahupun daripada media seperti akhbar, internet, radio dan televisyen.
Jika kita ingin menjadi orang yang sentiasa bersemangat, maka janganlah berhenti daripada mengumpul maklumat. Berhenti mencari maklumat, sama juga dengan menguburkan harapan, sekali gus menguburkan semangat.
Maklumat yang kita kumpul tentunya harus dapat dipertanggungjawabkan dunia akhirat dan dipercayai benar, tepat dan lengkap. Jika kita memiliki tradisi ini kita akan berpeluang luas untuk menghasilkan keputusan tepat dalam hidup.
Inilah modal awal sebuah kejayaan. Kekayaan maklumat akan membuatkan kita kaya harapan dan kaya semangat. Tindakan kita pun akan lebih tepat. Kita tak akan mudah terjerumus jika niat kita betul dan tidak terpengaruh dengan maklumat betul atau yang masih was-was.
Jika kita menelaah al-Quran perkataan Iqra’ tidak hanya bermaksud membaca, tapi juga menghimpun maklumat. Kerana itu, tradisi mengumpulkan maklumat ialah perintah Allah SWT yang pertama.
Sayangnya, tradisi mengumpul maklumat ini belum menjadi amalan kita. Walaupun ada maklumat yang diperoleh, mekanisme kita sering salah sehingga yang timbul adalan semangat emosi bukan semangat penyelesaian.
Saudaraku, setinggi apapun cita-cita kita, persoalannya sejauh manakah kita mahukan maklumat yang tepat, benar dan lengkap? Maklumat boleh kita peroleh daripada buku, media cetak, televisyen, internet atau guru.
Oleh itu, pastikan tika berjumpa dengan seseorang, perjumpaan itu menambahkan maklumat positif bagi kita dan bukan mencelarukan fikiran. Apa pun kejadian harus menghasilkan maklumat bagi meningkatkan kualiti diri kita.
Jadikan diri kita sebagai penerima maklumat yang benar, tepat dan lengkap. Kita harus tapis segala maklumat yang diterima. Jika kita menerima maklumat bulat-bulat, kemungkinan maklumat palsu yang kita pegang dan dijadikan sandaran.
No comments:
Post a Comment