Monday, October 3, 2011

YANG ANEH ITU AKU, YANG RESAH ITU DIA

Menatap blog teman penulis, melihat tajuk cerpen atau puisi mereka yang tersiar, bikin adrenaline merembas kencang. Betapa jauh ketinggalan sesudah bergelut dalam diri antara santai dan tekanan cita. Terperangkap antara cita dan cinta ialah laluan yang cukup menyempit ruang. Lantas, aku memilih mengetepikan segala cinta hingga jadi sengsara. Aksara kata lesap menghilang dan Tuhan tambah menguji menjadikan diri berantakan. Penasaran, aku hampir memusnahkan segalanya: cinta dan jua cita.

WARKAH untuk SEORANG DIA:

Aku punya kromosom xy menjadikan aku perindu xx. Itu normal bukan. Saat dunia didesak menghalalkan segalanya atas dasar hak asasi, aku masih bertuhankan Pemilik Alam yang mengemudi syariat.

Kau seakan tidak mengerti, menjadikan aku perindu yang sepi. Aku menelusuri syariat, menjunjung adat, dan mengetepikan perasaan malu demi menzahirkan hasrat. Lantas, bertandang ke teratakmu demi menyunting sekuntum mawar yang kembang mengharum.

Kau seakan menyanjung tinggi hasratmu, namun ada riak janggal yang boleh kubaca. Kembali aku menilik diri. Sedar, aku tidak punya ijazah sebanding denganmu. Ilmu agamaku barangkali hanya sama taraf dengan ilmu yang kau timba di taman ilmu dan budi.

Kau bakal menjadi ‘somebody’ usai saja tempoh pengajianmu tamat sedang aku sekadar di pinggiran. Namun, jangan kau lupa, jangan pandang aku sebelah mata. Kerjaya aku jua bukan calang-calang meski tidak menjadi sebutan. Aku masih mampu menjadi seseorang di hatimu andai kau mahu berkata ya pada lamaran ini.

Aku cuba membeli hati ibumu yang pastinya menyandarkan harapan yang terlalu tinggi untuk melihat kau berjaya. Aku takkan menghalang andai kau ingin mengejar tinggi mana pun ilmu, ingin terbang setinggi manapun. Cuma, pandanglah aku sebelumnya. Aku hanya ingin di sisimu, menyokongmu dalam setiap langkah dan menempati satu ruang istimewa dalam detik hidupmu.

Hanya kerana parasmu setia menempati setiap istikharahku. Kalau bukan keranamu, takkan aku jadi sesetia ini, umpama pungguk yang setia menjolok bulan meski purnama tak pernah berkalih.

Dan, aku tetap setia di hentian penantian meski tiada pernah kau beri jawapan yang pasti. Andai kau punya pertimbangan di suatu hari, hubungilah aku di sini. Jawapan aku masih bernada sama. Usai YA terpantul, akan kupaterikan ia dengan akad yang sah. Asal kau mahu menerima lontaran rasa, biar ia bersemi dalam ikatan yang pasti dan diredhai.

....to be con’t

1 comment:

LydSunshine said...

amboi... puitis sungguh. :)