Tuesday, November 24, 2009
Tuesday, November 17, 2009
CNS Examination
Sunday, November 15, 2009
KEMATIAN BUKAN MISTERI

Kematian bukan misteri
Saat Izrail mengisi janji
Hidup bukan impi
Saat fana sekujur diri

Kehidupan ialah perhentian
Saat tercipta alam raya
Laluan bukan mudah
Saat ujian beronak duri
Kita hadir lembaran putih
Kosong, nihil
Tanpa dosa tanpa pahala
Sedang pulang ke dunia akhir
Penuh riak
Penuh suka diiring duka

Kematian bukan misteri
Saat telah ternukil
Hadir, singgah dan teruji
Kembali kepada Pencipta
Dengan sebeban dosa
Atau seberkas pahala
Kematian bukan misteri
Tiba detiknya
Kita pulang
Memenuhi janji
Saturday, October 24, 2009
MENERIMA NATURE/FI’IL/TABIAT ORANG
Sikap-salah satu aset penting yang menentukan tinggi rendahnya duduk seseorang. Aku dah banyak kali bincangkan perkara ini dengan teman-teman dan masih ada yang tidak mampu menterjemahkannya.
Perangai orang macam-macam. Rambut sama hitam (walaupun sekarang ramai Muslim yang rambutnya berkarat) tapi hati lain-lain. Belajar menerima ‘nature’ orang akan menghasilkan satu komunikasi berkesan mengelakkan salah faham dan bermasam muka.

Eg : Kita punya seorang teman yang tidak menepati masa. Kalau berjanji pukul 745am, maka dia akan muncul 15 minit selepas 745am. Caranya ialah dengan berjanji pukul 730am dan dia akan muncul 745am. Jikalau kita berjanji dengan seorang teman jam 3pm dan kita tahu dia sering datang 10 minit lebih awal, tiada salahnya jika kita datang jam 250pm. Atau kalau kita ‘pesen’ yang lewat 30 minit berjanji dengan orang awal 5 minit, tak ada salahnya kita datang tepat pada masanya. Terima ‘nature’ orang dan toleransilah agar semua jadi lancer. Kerja jadi beres dan hati pun senang.

Eg: Aku, kalau tiada mood mulutku akan terkunci saja dan wajah jadi pudar tanpa senyum. Jadi tolonglah teman-teman kalau kau melihat diriku kurang bicara begitu, jangan pandai-pandai ajak aku bercanda tawa dan bertanya seakan mendesak “ Kau kenapa membisu?” Silap-silap hatimu terguris nanti kerna tajam bicara dan kasar tingkahku. Aku lagi, moodku jadi kacau saat dikacau sedang aku enak bermimpi. Jadi awas teman, jangan cuba kamu mengganggu aku semasa tidur kecuali kecemasan yang amat. Tapi, aku amat berterima kasih andai mengganggu tidur saat aku belum solat lagi.

Eg: Dalam kelas, kena buat assignment yang makan masa 3 bulan secara partner dan kebetulan dapat partner yang tak sebulu dan mempunyai sifat yang berlawanan dengan diri. Caranya, terima hakikat bahawa sifat itu telah menjadi akar tunjang dirinya selama lebih dua dekat. Jadi, faham-faham sajalah bagaimana mungkin mampu kita ubah dirinya dalam 3 bulan. Jadi cuba fahamkan dirinya betapa sikap itu tidak tepat dipamerkan dan cuba counter balik dengan melakukan perkara yang dia pernah lakukan (lakon semula) dengan cara paling berhemah agar dia menyedari betapi sikapnya amat menyakitkan.

Kesimpulannya: terima ‘nature’ orang, tapi cuba buat dia sedar ‘nature’ itu boleh diubah’
RULE : IF CAN’T BE CHANGED, CAN BE BENT
WACANA ILMIAH : Sebat Kerana Arak,Adilkah?

PLACE : Auditorium Kuliyyah Of Medicine (KOM)
DATE : 22nd October 2009 (910pm-1130pm)
MODERATOR : Prof. Dr Mohd Fauzi Abdul Rani (DEAN KOM)
PANELIST :
1. Us. Hj. Nasrudin Hj. Hasan At-Tantawi (Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat)
2. Us. Azharudin Mat Said (Presiden Gabungan Graduan Timur Tengah {Gagasan})
3. En. Mohd Najib Husin (Peguam Syarie Pahang)

Asalnya para panelist yang dijemput ialah wakil PAS,UMNO dan NGO atau secara spesifiknya Sister in Islam (SIS). Namun wakil UMNO tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis tahlil oleh Sultan Pahang. Wakil SIS pula tidak dapat hadir tanpa alasan, walaupun dijemput sebagai audien. Kata seorang teman, SIS tidak punya geng untuk menyokongnya dalam perdebatan tanpa bukti kukuh. Teringat pula kes SIS di convest di Gombak 2 minggu lepas. Khabarnya SIS mencetuskan kekecohan dengan perbalahan dengan Us Ridhuan Tee. Dangkal sungguh pemikiran mereka.
Ketidakhadiran SIS agak mengecewakan buat semua terutama ahli panel. Kata Us Nasrudin moodnya hilang 80% saat mengetahui ketidakhadiran SIS dan 20% lagi hilang saat mengetahui wakil UMNO turut tidak dapat hadir. Namun moodnya di’charge’ balik setelah melihat semangat para panelist yang lain.
Asalnya format forum ialah dua pusingan soalan kepada panelis dan pusingan ke-3 ialah soalan daripada penonton. Namun, kerana kekangan masa, hanya satu pusingan dan dua soalan daripada penonton dapat diulas.
Antara inti perbincangan ialah ketidakmampuan pihak tertentu melihat arahan hukuman Allah sebagai suatu kewajipan, bahkan mempersoal pula seolah-olah dia lebih hebat daripada Pencipta.
SIS terutamanya mengecewakan umat Islam apabila menggunakan nama Islam dalam persatuannya tapi bertindak menghalang hukum Islam dan mempersoal ketetapan kitab suci al-Quran. Nilaikan sendiri di mana letaknya mereka saat Mufti Perak mengatakan sesiapa yang menolak hukum Allah sesungguhnya dia itu telah murtad. Naudzubillah! Perlu diketahui dua anak PM sebelum ini ialah pendokong kuat SIS iaitu Marina Mahathir dan Nori Abdullah.
SIS menyatakan alasan mereka menolak hukuman sebat ke atas Kartika kerana meminum arak ialah memikirkan pandangan ramai yang akan mengatakan betapa kejamnya hukuman itu apabila dijalankan terhadap seorang wanita. Dakwanya lagi apa kata masyarakat antarabangsa dan apa kata orang lain. Tapi mereka lupa mempersoal apa kata Allah saat hamba yang dicipta-Nya ingkar arahannya dan mempersoal titah-Nya?
Antara alasan penangguhan pelaksanaan hukuman ialah ketiadaan tukang sebat cara syariah. Alangkah! Setelah 52 tahun merdeka sebuah negara yang mendakwa negara Islam masih tidak mempunyai tukang sebat secara Islam? Inilah contoh negara umat Islam, bukannya negara Islam yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Teringat pula heboh kerajaan Kelantan mahu melaksanakan hukum hudud. Mereka yang mempersendakan agama mengatakan bakal wujud sup tangan di Kelantan. Apa mereka mahu mencuri beramai-ramai setelah hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. Inilah golongan yang dinamakan oleh Us Hasrizal dalam blognya sebagai skeptical terhadap agama.
Kenapa sesetengah golongan begitu takut andai hudud menjadi realiti? Tiada lain kecuali mereka ialah pelaku jenayah yang bakal dihukum dengan hudud. Mereka tidak tahu, jika dihukum dengan hudud yang datangnya daripada Pemilik Semesta, maka mereka akan terlepas hukuman di akhirat nanti. Sedangkan jika dihukum dengan hukuman sivil, mereka takkan terlepas hukuman di akhirat.
Mereka yang mempersoal hukum sebat syariah ini sebenarnya jahil bagaimana hukuman ini dijalankan. Sudahlah jahil, dipanggil berdiskusi enggan hadir pula. Barangkali takut melihat kebenaran dan selesa dengan kebatilan yang sekian lama mereka terkurung di dalamnya. Adalah menjadi tanggungjawab kita insan yang tahu untuk menyebarkan fahaman tentang sebat syariah ini kepada mereka yang tidak mengetahui.
Antara syarat melaksanakan sebat syariah:
1. Sihat tubuh badan
2. Sebat dengan rotan yang sederhana kecil@besar
3. Berpakaian semasa disebat
4. Mengangkat rotan tidak melebihi 90 darjah
5. Dan ada lagi
Banyak pihak yang berkokok mengatakan tak patut tetapi Kartika sendiri rela dan mahu dihukum kerana telah insaf dan mahu bertaubat atas kesalahnya. Dengar khabar dia mula berubah dengan memakai tudung melindungi mahkota kewanitaannya dan kita mendoakan dia sentiasa dalam rahmat dan hidayah Allah.

Khilaf pula timbul adakah sebat 6 kali ini hudud atau ta’zir. Dan hukuman terhadap Kartika ialah ta’zir kerana hudud-hukuman terhadap peminum arak yang dijalankan pada zaman Baginda saw ialh 40 kali rotan dan semasa zaman Saidina Umar ialah 80 kali rotan. Jika mahu meniru sunnah Rasul saw, barangkali banyak lagi tohmahan terhadap pelaksaan undang-undang Islam. Sukarnya mahu melaksanakan perintah Allah di negara Islam!
Antara faktor pertikaian terhadap pelaksanaan hukuman hingga ditangguhkan beberapa kali ialah kejahilan. Mereka yang tidak tahu-menahu tentang sebat syariah hanya mahu menghalang hukum Allah, bukannya atas alasan lain. Sudah sampai masanya untuk kita yang tahu membebaskan mereka daripada kepompong kejahilan itu .
Arak secara jelas diharamkan dalam al-Quran kerana mudaratnya mengatasi kebaikan. Semua orang tahu kesan arak mampu mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan moral dan kemusnahan kerana sifat arak itu menghilangkan kewarasan akal fikiran.
Tiada siapa mempersoal saat undang-undang jalan raya ialah dilarang memandu ketika mabuk. Peraturan ini meliputi Muslim dan non-Muslim. Anda tiada alasan mengatakan anda non-Muslim, maka boleh memandu dalam keadaan mabuk. Demikian kerajaan menyedari bahaya minuman yang memabukkan dna tiada siapa berani menyanggah aturan ini.
Isu Kartika menjadi hangat kerana dia tidak mahu merayu. Sebenarnya ditangkap bersama –sama Kartika 20 Julai lepas ialah seorang lelaki dan seorang perempuan lain. Namun, keduanya membuat rayuan yang hingga sekarang belum didengar.
Entah bila negara Islam ini mahu menjadikan Quran sebagai perlembagaan setelah 52 tahun merdeka setelah hanya sekadar menjadikan bacaan ayat Quran sebagai halwa telinga saja tanpa diteliti maknanya. Hukum Islam terpinggir di negara Islam.
Kesimpulannya kejahilan ialah pedang yang mencantas pemikiran hingga tega menentang pelaksanaan perintah Pencipta.
Buat yang hadir mencari kebenaran: terima kasih. Moga Allah melimpahkan hidayah-Nya ke atas kita semua.

Wednesday, October 21, 2009
SERIUS
HARI INI SESUDAH KELMARIN
“MAHU dengar cerita?” Kau membuat tawaran yang cukup menarik.
Aku panggung kepala, cuba mencari wajahmu. Bayu pagi mengelus lembut, sesekali menampar mesra ekor serban putihmu yang terjuntai. Kau baru sahaja kembali dari masjid,menyertai program qiamullail yang diadakan saban minggu.
Ibumu, merangkap ibu saudaraku sesekali riuh kedengaran memarahi adik kembarmu, Ziad dan Usamah.
“Tentang apa? Kalau dalam lima minit masih tidak memenuhi seleraku, aku tekan signal merah.” Ujarku membutir gelak. Kau senyum cuma. Matamu yang redup,mengerdip tenang.
“Pernah dengar tentang perang Arab-Israel?” Aku geleng. Sejarah merupakan subjek yang terakhir aku cintai. SPM telah membuktikannya.11 A dan 1 B. Sejarahlah yang ganjil itu. Lagipun sejarah umum semacam itu tak pernah aku cuba menelitinya. Masa senggangku lebih terisi dengan majalah ringan warna-warni yang membariskan lawak yang tidak mencabar akal.
“Kau tahu kedudukan Masjid al-Aqsa di sisi umat Islam?”
“Masjid ketiga suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.” Aku menjawab pantas, bimbang dituduh jahil. Kau sering bertanya seolah-olah ustaz yang menguji pengetahuan pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Seringkali hati kecilku bertanya mengapa kau tidak mengambil jurusan agama-kau memilih jurusan kejuruteraan-di universiti.
“Aku tidak mahu memisahkan antara agama dan kehidupan. Aku mahu menjadi protaz ( professional yang juga seorang ahli agama ).” Dan aku diam tak berkutik. Pastinya dengan ilmu yang dangkal, aku tidak mampu berbahas denganmu.
“Kau ambil tahu apa yang sedang berlaku di sekitar rumah Allah itu sekarang?”
Aku terpaksa angkat bendera putih. Aku benar-benar ketinggalan dalam hal ini.
“Biar aku ceritakan padamu. Pelampau Yahudi saat ini tanpa segan silu dan gentar menggali kawasan berdekatan masjid itu dengan alasan remeh, mencari tinggalan sejarah. Mereka juga menggali di perkarangan masjid itu untuk membina laluan pejalan kaki. Walhal,mereka berselindung di sebalik tujuan utama untuk merosakkan struktur masjid yang berusia hampir 1400 tahun untuk membina Kuil Suci –Haikal Solomon-. Dan apa tindakan penduduk dunia terutamanya umat Islam? Mereka diam membisu seolah mulut dizip bimbangkan nyawa terancam oleh pendokong kuat Israel, Uncle Sam.”
Sunyi setagal. Mukamu memerah. Aku dapat melihat rasa marah yang teramat di situ. Matamu tunak ke depan,tidak berkelip.
“Aku masih ingat saat Amerika mencanangkan Islam sebagai agama yang kejam hanya kerana pemerintah Taliban memusnahkan patung Buddha Bamiyan di Afghanistan. Kejadian itu juga sebagai titik tolak untuk negara angkuh yang mendakwa dirinya polis dunia itu menubuhkan kerajaan boneka di negara itu dengan bantuan Pakatan Utara. Neraca Amerika tak pernah adil dalam menimbang kan? Unesco juga aktif menyelar tidakan itu. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga sepi tanpa suara walaupun kewujudannya dulu pada September 1969 selepas insiden kebakaran masjid itu oleh Dennis Michael,penganut fahaman Zionis dari Switzerland.”
Kau memuntahkan segala fakta yang tersimpan dalam memorimu. Aku menelan dengan air liur yang terasa sedikit kesat, betapa jahilnya aku tentang keadaan saudara yang dizalimi.
“Sebenarnya Israel sudah menguasai Al-Quds. Hanya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas yang dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat. Yahudi amat bimbang jika umat Islam solat berjemaah kerana ia melambangkan perpaduan ummah dan perpaduan ini akan mengancam kedudukan penjarah itu di tanah yang dirampas. Tapi,sekarang tempat ibadah muslim di bawah cengkaman kafir!” Suaramu kasar,sedikit membentak lantas menyambung.
“Pernah satu ketika ada gerakakan mujahidin dengan tekad yang kuat ingin membebaskan Al-Quds dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Keinginan ini tak mungkin terlaksana tanpa iman yang kuat dan yakin tentang janji Allah. Jerangkap samar beratur menanti nyawa, merentang jalan untuk membebaskan kiblat pertama umat Islam itu. Pengorbanan ini antara yang paling berani yang dirakamkan oleh sejarah, satu nyawa melayang untuk satu jerangkap samar sedangkan yang dibelakang terus maju dan akhirnya berjaya menawan kembali masjid itu. Mahu tahu apa kata pasukan penjarah melihat keberanian itu?”
Kau bertanya dan kau jua yang menjawab.
“Kami berperang dengan orang gila yang mencari mati. Itu katanya saat melihat tentera mujahidin berebut-rebut memburu syahid. Sedang tentera mereka sedaya-upaya mengelak daripada kematian.”
Angin semilir berpusar, menebarkan debu yang sesekali memekapi wajahku. Kau meraup papan wajahmu. Sesekali cuti, rumahmu jadi tempat bersantai yang paling ideal. Paling tidak, kekayaan ilmumu sudi singgah menyiram kemarau fikiranku
“Adham,minum.”Suara Mak Ngah,ibumu memanggil. Kau dan aku seiring mengorak langkah dari beranda ke ruang tamu.
“Ah!”Aku menepuk dahi sendiri.
Televisyen sedang menayangkan drama bersiri negara seberang. Drama yang pada firasatku mampu memberikan impak yang positif terhadap pembentukan jiwa remaja. Sejenak aku mencongak dan cuba membanding beza antara tema drama negara sendiri yang mendominasi siaran media elektronik akhir-akhir ini.
Perkara yang paling jelas ialah kurangnya pergantungan kepada Tuhan atau penghayatan agama yang sekaligus menyalahi prinsip rukun negara yang teratas.
Tatkala masalah menimpa, pelakon drama tempatan lebih mudah mengamuk semacam dirasuk syaitan berbanding menadah tangan memohon doa dikuatkan hati menerima ujian seperti yang dititikberatkan dalam drama negara seberang. Juga mereka senang melontarkan sumpah seranah tanpa menghiraukan kempen budi bahasa budaya kita yang dilancarkan oleh kerajaan.
Filem semacam ini,apa mampu digunakan untuk mempromosi negara ,lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia?
“Hei!”Satu bantal singgah tepat ke mukaku.
Kau semacam kerang busuk,sengih menayangkan gigi yang putih berbaris.
“Kerut seribu di dahimu, masalah apa?”Kau melontar tanya.
“Masalah negara agaknya.” Habib,adik bongsumu cepat saja menyampuk.
“Aku tengah berfikir bagaimana filem yang membenarkan remaja lelaki dan perempuan tinggal serumah berminggu lamanya tanpa ikatan perkahwinan mempengaruhi jiwa anak-anak ( sedang filem itu diberi pengiktirafan oleh masyarakat )?
“Kau bercakap tentang filem melayu atau Hollywood?”
“Aku tidak mahu berbicara tentang filem yang negaranya mengamalkan seks bebas secara terang-terangan.”
“Oh!”
“Kanak-kanak senang meniru apa yang dilihat. Aku takut jika mereka menganggap hal itu suatu yang halal untuk dibuat dan cuba melakukannya, Nau’zubilllah!”
Ya Allah,minta dijauhkan fitnah itu menyerang hamba-Mu yang lemah. Dalam diam aku memohon.
Hari itu,sehingga bebola mentari tegak di kaki langit, kita larut dalam diskusi yang tidak pernah wujud noktahnya. Penamatnya hanya akan wujud pabila nyawa direnggut Izrail yang datang tanpa amaran.
Mak Ngah hanya melihat atau sesekali menyampuk pabila debat kita semakin hangat. Seringkali kau berkata dalam nada mengejek pabila hujahku mudah kau patahkan.
“Lihatlah dengan mata hati,bukan mata nyatamu!”
Kau sering saja memancing kemarahanku,mentang-mentanglah aku ini muda 3 tahun darimu. Dan senyummu lebar ke telinga meraikan kekalahanku. Aku tewas kerana tidak bersedia dengan fakta yang secukupnya untuk mencantas hujahmu. Dan seringkali aku berazam membaca sebanyak mungkin untuk tujuan itu.
Kita tamatkan debat yang tak dirancang pabila sayup alunan Surah Al-Rahman dialunkan oleh Syeikh Abdul Rahman Sudaisi dari masjid berdekatan, menandakan solat fardhu zohor akan mengambil tempat dalam suku jam lagi.
Petang itu,aku cuba-cuba membelek helaian akhbar, mencari fakta untuk dijadikan modal andai tiba-tiba kau muncul memprovok dan mengganggu emosiku.
Pandanganku tertarik kepada sejarah Masjid al-Aqsa yang merupakan tempat suci tiga agama samawi: Islam,Yahudi dan Kristian. Masjid ini pernah dibebaskan oleh Umar al-Faruq daripada pendudukan Kristian dan ia bertahan di bawah pemerintahan Islam selama 400 tahun sebelum ditawan pasukan pimpinan Raymond Toulouse dari keluarga diraja Perancis. Mereka memasuki Palestin melalui Acre pada 1099M dan terus menduduki bumi yang menjadi rebutan itu.
Aku bagai terbayang-bayang bagaimana bumi al-Quds bermandi darah . Tentera salib melakukan pembunuhan beramai-ramai selama seminggu sehingga menimbunkan mayat tujuh puluh ribu muslim termasuk cendikiawan, ahli ibadat dan pemimpin membukit memenuhi setiap jalan lorong. Kejadian ini telah menobatkan Godfry Gouillon dengan jolokan Pembela al-Quds.
Tambah malang lagi, kerajaan Islam yang wujud saat itu ,kerajaan Abbasiyah dan Fatimiyah sekadar membisu melihat saudara mereka yang dinafikan hak tanpa berbuat apa-apa. Umat Islam sejak dulu lagi bersikap seperti enau di dalam belukar, hanya mementingkan diri masing-masing. Takutnya mereka kepada musuh melebihi takut kepada Penguasa Alam.
Aku susuri lagi galur sejarah. Al-Quds kembali ke tangan umat Islam pada tahun 1187 di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Dan seluruh dunia menyaksikan bagaimana konsep perang di dalam Islam begitu berbeza dengan tentera salib ( Perang ini juga dikenali dengan Perang Salib ) saat mereka menawan al-Quds. Tiada nyawa orang awam yang hilang kerana perang hanya melibatkan tentera. Bahkan, tiada paksaan untuk penganut agama lain menukar agama kepada Islam kerana Quran telah menukilkan tiada paksaan dalam beragama.
Juga tiada rumah ibadat yang diruntuhkan kerana Islam amat menghormati tempat pengabdian kepada Tuhan.
Cuti yang masih berbaki lima hari aku habiskan dengan menyelongkar buku-buku sejarah di perpustakaan mini di rumahku. Tak seperti selalunya , menghabiskan waktu pagi atas ranjang melayani mimpi atau waktu sore di pondok di simpang jalan, cuti kali ini jadi berlainan.
Kau hanya senyum saat aku memperihal tentang itu. Aku kini boleh berbangga kerana tidak lagi terlopong saat kau bercerita tentang Israel, Palestin atau penjajahan moden yang berlaku atas alasan menegakkan demokrasi. Aku juga tak lagi segan untuk duduk semeja dan bertukar-tukar pendapat denganmu. Kita tak lagi bagai anjing dan kucing seperti sebelum ini.
Petang itu,kau berkunjung ke rumahku. Aku tidak tahu mengapa wajahmu lain daripada sebelum ini. Mendung bergayut di wajahmu bagai ada masalah besar yang bersarang dalam kotak fikir. Tingkahmu aneh sekali. Berkali-kali kau meminta maaf kepadaku dan keluarga. Aku jadi tak berani mengajakmu membuat lelucon dan bercanda gurau.
Dan pertemuan itu jadi tambah aneh kerana kau keluar tanpa menyapa dan berbual-bual seperti sebelum ini. Aku jadi kecil hati dengan sikapmu. Ini bukan sifat engkau sepanjang dua dekad aku mengenalimu. Aku tidak pasti jika kau juga menyedari kepelikan itu.
Saat kau di pintu barulah aku teringat. “Aku balik ke kota berlumpur-gelaran kita untuk ibu kota- esok.”
Kau hanya mengangguk tanpa suara, tiada lagi pesanan berjela seperti sebelum ini. Aku kira aku harus senyap untuk tidak membebankan lagi peti fikirmu. Aku menghantar kepulanganmu hanya dengan lirik mata.
Detik menganyam masa. Masa menarah tebing hari. Aku membilang dengan jari jemari,hampir sebulan aku sepi tanpa khabarmu. Kau di mana?
Hujung minggu seperti selalunya,akhbar menjadi santapan rohaniku. Ruang pertama yang kutatap ialah ruangan luar negara, menjejaki perkembangan saudara seagama yang tak pernah wujud amannya. Masakan boleh pemimpinnya berjabat tangan sedang penduduknya masih dibasahi hanyir darah dan penderitaan tanpa henti?
Lobi kolej dipenuhi oleh pelajar yang ingin keluar ke bandar, mencari keperluan atau sekadar mencuci mata. Aku tidak bercadang untuk keluar, memandangkan simpananku yang semakin menyusut.
Mataku singgah kepada berita yang mengambil tempat di pojok kanan akhbar. Berita itu meletakkan Baitulmaqdis sebagai tempatnya. Ia memaparkan seorang pelajar universiti yang ditahan rejim Zionis kerana disyaki terlibat dalam merancang serangan berani mati (seringkali kita berkecindan, Israel hanya hebat jika membuat serangan takut mati).
Secercah mata, gambar yang terpampang di situ menarik minatku untuk menatapnya buat kali ke-2. Ada tampang yang kukenal. Bukankah hijau itu warna kegemaranmu? Ya Allah,aku menggenyeh-genyeh lagi mata,benarkah itu dirimu?
“Ibu,sudah lihat akhbar?” Aku menelefon serta-merta.
“Ya.” Cukup dengan sepatah itu yang hampir membuatku pitam. Untung nasibmu tidak mampu aku ramalkan setelah rejim itu berhasil mengurungmu dalam sangkar besi. Ditahan tanpa perbicaraan atau diseksa sehingga menjadi gila?
Dan hari ini,sesudah kelmarin kau pergi,izinkan aku terus membajai tarbiah yang kau semaikan dalam jiwa ini walau pemergianmu ke bumi berdarah itu tiada dalam pengetahuanku.
Monday, October 12, 2009
SAAT CITA MELAMAR CINTA

“Is sihat?” Aku cuba memulakan bicara saat melihat dia merenung jauh ke dalam tasik yang sewarna dengan teh susu yang biasa kucicip dengan roti canai sebagai sarapan setiap hujung minggu. Angin petang sepoi-sepoi bahasa cuba bermesra dengan hujung tudung krimku. Dia diam dan terus membisu. Aku mencuri pandang ke arah mata itu. Apakah aku salah melihat? Tiada cahaya pada mata itu seumpama mentari yang hilang sinar. Layu dan muram.
“Is sudah letih berpura Isya.” Akhirnya kalimah itu muncul jua. Hadir dari jiwa yang letih. Tuhan, inikah kesudahan?
Tanda tanya penuh bersepah di lantai fikirku. Bicaranya menampan angin dan mengundang mega mendung menari di dada langit. Aku menatap tepat ke papan wajahnya. Tuhan, ini bukan kerinduan!
Inikah pengakhiran sebuah hubungan yang kesemai dan kujaga dengan hati tanpa pengkhianatan?
“Isya lebih mementingkan kerjaya daripada hati Is.” Ulahnya berjauh hati saat mula-mula retak talian ini dapat kuhidu. Dan aku enggan ambil penting saat itu. Masakan dia cemburu dengan cita-citaku? Tujuh tahun apakah belum mampu memahamkan dia tentang pendirianku?
“Jangan paksa Isya memilih antara dua, Is. “ Aku separuh merintih. Aku sayangkan dia seperti aku kasihkan kerjayaku. Tujuh tahun berjuang bersungguh, bukan mudah aku untuk mengambil mudah cita-citaku. “Is menyekat cita-cita Isya?” Duganya saat aku menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara atas permintaannya. Aku pekakkan cemuhan teman-teman. Bukan mudah untuk mendapat biasiswa untuk ke luar negara, provok Prof Tin saat aku menyuarakan hasratku untuk melanjutkan pelajaran dalam negara saja. Tapi, aku telah memilih dan aku tidak mampu untuk menarik diri daripada pilihan itu. Izinkan Isya hanya untuk dua tahun lagi. Aku mengharap dia mengerti. Rupa-rupanya aku salah perhitungan. Dia sanggup menunggu aku hanya untuk empat tahun setengah dan dia tewas untuk hanya setengah tahun lagi. Ah! Begitu mudah kau berubah hati Iskandar.
PERCA 2
“Kau ok?” Teman ini amat mudah menebak ketidakstabilan emosiku dan bukan mudah untuk aku memakai topeng tenang saat hati bergalau.
“Kau rasa?”
“Ada sesuatu yang kau sembunyikan daripadaku, betul kan?”
Aku diam. Saat ini aku tiada keinginan untuk mengulas apa-apa.
Aku hantarkan pandangan ke luar tingkap. Kertas-kertas yang bertaburan dirempuh angin yang menerpa masuk aku biarkan saja. Telefon yang menjerit minta diberi perhatian aku pandang tanpa perasaan.
“Hello!” Alwani mencapai telefon yang terperosok antara helaian kertas.
“Risya kurang sihat.Ok.” aku mendengar saja butir bicara itu. Aku enggan ambil tahu. Biarlah untuk hari ini aku melayan rasa. Telah lama rupanya ku tidak mempedulikan perasaan sendiri, apatah lagi perasaan orang lain.
“Isya kan cuma doktor gigi. Kenapa begitu banyak kerja?”
“Walaupun Isya cuma doktor gigi,-aku tekankan perkataan cuma itu-tugas Isya bukan hanya mencabut atau menampal gigi. Isya punya kerja yang lebih dari itu. Isya ialah doktor bahagian leher dan kepala walaupun semua orang tau Isya ialah doktor gigi. Gigi hanyalah satu bahagian kecil daripada tugas Isya, Is. Isya ialah orang pertama yang akan memberitahu pesakit tentang sakit seperti penyakit jantung, barah dan kencing manis. Doktor gigi jadi orang pertama yang mengenalpasti, Is. Dan jika berlaku kemalangan, doktor gigi ialah orang pertama yang dipanggil jika kecederaan itu melibatkan bahagian leher ke atas. Sebab itulah Isya ada on-call seperti doktor perubatan, Is.”
Panjang ujaranku membunuh katanya. Sepi mengurung ruang. Maafkan aku, Is. Aku tidak pernah ingin memeriksa hatimu tapi kau seharusnya mesti memahami hatiku jua.

PERCA 3
Aku baru saja menjalin kerjasama dengan Doktor Azmiera untuk satu kajian yang membuka ruang baru dimensi kerjasama antara Jabatan Oftalmologi dan Jabatan Oral dan Pembedahan Maksilofasial-salah satu cabang dalam bidang pergigian.
“Gigi kanin atau gigi taring?”
Subhanallah! Aku terpempen seketika.
“Kalau Doktor Risya nak tahu, Singapura telah berjaya melakukannya dua bulan yang lepas.
“Peratusan untuk berjaya?”
“20 hingga 25%. Semua pembedahan ada risikonya Doktor Risya,” tekannya. “Tapi, tak berani mengambil risiko bererti tiada gunanya penyelidikan bertahun-tahun. Bukan mudah ilham itu untuk hadir dan apakah setelah jalan itu ada kita terpaksa mensia-siakannya, Risya?”
Aku memaksa neuron-neuron dalam otakku bergerak pantas. Bantulah aku untuk menimbang membuat keputusan. Tak lupa aku tadahkan doa kepada Yang Maha Memberi Petunjuk. Ya Allah, aku hamba-Mu yang lemah. Bantulah aku dengan keyakinan untuk membuat keputusan yang besar dalah hidup. Ini pembedahan pertama yang aku terlibat secara langsung di dalamnya.
“Cuba Doktor Risya fikir, betapa bersalahnya kita tidak memberi cermin kepada insan yang memerlukannnya untuk melihat kehidupan. Dan membantu memulihkan penglihatan seorang yang pernah melihat dunia namun tidak dapat melihatnya kerana korneo mata sudah tidak berfungsi lagi besar sumbangannya. Saya tau Doktor Risya tentu tahu betapa besarnya pahala membantu orang lain dengan kepakaran dan ilmu yang dimiliki.”
Dan hari itu, genap tiga tahun pertemuan terakhir aku dengan Iskandar aku membuat keputusan.
“Doktor Azmiera, saya bersedia untuk membantu doktor.”
Dan kami bertukar senyuman penuh erti.
“Pesakit masih muda, dalam 28 aku kira. Disimbah asid oleh remaja nakal sewaktu bertugas. Hmm..remaja sekarang, buat sesuatu tak guna akal.” Begitu Alwani, teman serumahku menggumam.
Aku senyap, cuba fokus terhadap penerangannya. “Korneo matanya rosak teruk, membunuh terus penglihatannya. Sayang sekali pemuda kacak begitu jadi hilang daya lihat.” Ulah Alwani sedikit nakal. Ah, teman seorang ini memang tak pernah kering dari ketidak seriusan saat bekerja. Aku pun hairan saat gadis main-main macam dia boleh menamatkan pelajaran dengan jawatan doktor di pangkal nama.
Alwani memandangku dengan penuh erti. Senyum sejuring.
Jadi, dialah orangnya?
Ya, dan kau ditugaskan untuk bertanggungjawab terhadapnya.
“Baik!”

PERCA 5
“Assalamualaikum, Encik.”
“Waalaikumussalam.” Sebelum sempat salam habis dijawab lelaki itu berpaling. Mega resah berarak pada kerutan dahinya. Barangkali dia sedang memadankan suaraku pada pemilik nama yang pernah dikenali.
“Isya?” kalimah itu terlontar spontan. Ternyata tiga tahun belum cukup untuk melupuskan suaraku dari daftar ingatannya.
Jeda sejenak sebelum kata bersambut.
“Is?”
Dua mata bersabung pandang. Tiada kata yang sesuai menterjemahkan suasana. Lelaki itu dihadapanku telah hilang kredibiliti pada pandangan mataku. Tiada lagi senyum menyenget dengan mata mengecil yang kupuja.
“Saya, Doktor Risya. Aku cuba bersikap formal.”
“Isya, tak perlu bersikap begini.” Ada serba salah pada nada suara itu. Dan oh Tuhan, matanya.
Lelaki ini hadir, apakah mampu membuka lembaran kenangan yang telah mampu aku kunci walaupun tidak sepenuhnya?
“Saya akan memberi penerangan tentang rawatan yang bakal dijalani oleh Encik Iskandar.”
“Isya,jangan buat Is rasa terseksa begini. Iskandar seolah merayu.”
“Jadi, keputusan Is dulu tidak menyeksa diri Isya. “ Aku mengeraskan nada. Aku telah lupa bagaimana interaksi dengan pesakit seharusnya terjadi. Adakah mungkin kerana kasih padanya masih membekas di hati?
“Oh, maaf.”
Aku menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati. Tidak seharusnya aku beremosi begitu.
Dia menanggalkan kaca mata hitamnya dan aku melihat ada yang hilang di situ. “Bantulah Is mencari cermin yang hilang, Isya.”
Dan kanvas putih menunggu masa untuk diukir.
Isya bagaikan cermin bagi Is. Itu tulisannya lewat SMS petang tadi. Is tak mampu melihat indahnya dunia andai kita tidak ditakdirkan bertemu.
Itulah tulisannya yang membuatkan aku mampu menyambut huluran kasihnya.
“Berjanji menyokong Isya dalam setiap keputusan.”
Dan Iskandar hanya tersenyum manis.
Dan janji barangkali kadang-kadang hanya sekadar lafaz yang sukar untuk ditepati. Dia mula mendesak untuk aku memberi lebih perhatian padanya.
“Beribu ayah Isya habiskan harta untuk menyekolahkan Isya, takkan nak belajar sambil lewa je.” Aku cuba menguji dirinya.
“Bukan itu maksud Is.” Suaranya datar. Aku mengalih pandangan ke arah trek jogging. Semakin ramai yang memenuhi tempat ini. Anak saudaraku yang kuajak untuk menemankan setiap kali berjumpa Iskandar sedang asyik membaca.
“Sekurang-kurangnya kita bertunang. Barulah hati Is tenang sikit.”
“Is tak percayakan Isya?” Aku menjegil padanya.
“Bukan.” Suaranya makin terasa tidak tentu arah.
Atau, mak Is dah carikan jodoh untuk anak lelaki tunggalnya?
“Isya dah tau?”
“Jadi betullah tekaan Isya.” Aku sedikit kecewa.
Dan galau di hatiku tambah menjadi.
“Isya balik dulu, ada ujian minggu depan.”
Dan aku bangun membawa hati yang sedikit terluka. Tekanan musim ujian tidak seteruk tekanan saat kepercayaan dilukai begini.
“Farha, jom.”

“Keadaan gigi kanin kanan sebelah atas harus dipantau secukupnya kerana itu bahagian yang paling penting untuk diperhatikan. “
“Kita akan membentuk gigi itu untuk menggantikan korneo matanya dan sambungan saraf optik akan memastikan matanya mampu melihat kembali. “
“Walaupun penglihatan berjaya dipulihkan pesakit masih perlu memakai cermin mata kerana tahap penglihatan yang berjaya dipulihkan hanyalah 6/10.”
Tidak banyak, fikirku. Tapi, itu ialah satu usaha yang membantu memberi mata kepada insan yang pernah kehilangannnya. Kemudian, kami dibaluti aura semangat membantu dan masing-masing mula sibuk membincangkan prosedur pembedahan.
Dia senyum tawar. “Isya sihat?”
“Alhamdulillah.”
“Isya macam tak cukup rehat.”
“Dari dulu lagi memang ini rutin Isya, Is.”
“Dah siap kerja?”
“Isya hadir atas nama kawan, bukan nama doktor, Is.”
Kami sama-sama diam, membiarkan sepi mengisi ruang.
“Isya, terima kasih.” Suaranya dalam.
“Untuk apa?”
“Kerana tak pernah berdendam.”
Masakan aku secetek itu pemikiran.
“Isya dah dewasa Is, sudah tahu membezakan emosi dan rasional. Is ialah pesakit, Isya akan melakukan apa saja untuk membantu dengan ilmu yang dipelajari.”
“Is akan pulih kan?” Ujaran itu ada sedikit keraguan yang ditemani sedikit ketakutan.
“Kami akan berusaha sedaya-upaya. Is jangan bimbang kerana apa yang paling penting sekarang ialah semangat Is untuk menjalani kehidupan baru. Sememangnya pengurusan emosi sangat penting kerana ia akan mempengaruhi otak yang akan memberi arahan kepada anggota badan yang lain.”
“Farha macam mana sekarang, semakin tembam?”
Aku senyum saja mendengar usikannya.
Dan kami berbual-bual seketika dan aku seakan terasa telah menjumpai kembali Iskandar yang kukenal dulu.
“Is, aku pergi dulu. Aku harus membuat sedikit laporan.”
Dan aku melihat angguk yang seakan dipaksakan.

Aku hanya mendengar butir kata tanpa respons.
Gigi manusia dewasa ialah 32 batang yang mempunyai fungsi yang berlainan. Gigi kacip untuk menggigit makanan dan gigi kanin atau gigi taring ialah untuk mengigit makanan dengan daya yang lebih kuat daripada gigi kacip. Gigi ini mempunyai akar yang paling panjang sehingga hampir memcecah mata. Lantaran itu nama lain bagi gigi taring ialah ‘eye-teeth’.
Gigi taring penting untuk membentuk bentuk muka kerana ia ialah gigi yang terletak antara gigi depan yang lurus dan gigi belakang yang sedikit membelok. Biasanya gigi ini ialah gigi yang paling akhir untuk dicabut kerana ketahanannya menghadapi serangan bacteria yang hidup di dalam kaviti mulut.
Dan, aku membayangkan Iskandar tanpa gigi kanin sebelah kanan. Tapi, jangan kau risau Is, aku sendiri yang akan membuat implant pada gigimu kerana aku tak sanggup melihat senyummu yang tidak menawan tanpa gigi itu.
Ah, Iskandar!
PERCA 10
Aku hanya memberi kata-kata semangat sebelum sekujur tubuh itu dibawa ke bilik pembedahan. Mata itu kuyu mengharap dan aku melihat ibu bapanya hadir. “Mana bakal isterimu Is?” soalan itu keluar spontan tanpa sempat kutahan.
Dia menyambut pertanyaan dengan senyum sinis.
“Masakan masih sudi dia melihat aku berkeadaan begini.”
Aku memandangnya tepat-tepat.
Aku masih sudi, Is. Namun, bicara itu hanya bergema di dalam hati.
Dia hanya memakai wajah selamba saat doktor-doktor lain memandang kami berdua dengan pandangan yang semacam pelik.
Dan aku dapat merasakan bunga-bunga rasa yang kembali berkembang.
PERCA 12
“Isya wanita yang percaya pada jodoh, juga yakin pada takdir. Kerana itu Isya di sini, Is. Isya boleh memilih untuk tidak terlibat, tapi kenapa Isya sudi?”
Dia diam. Ujaran ini tak perlu ditokot tambah kerana dia sedar bagaimana hatiku saat ini. Aku membuang pandang ke luar, melompat menerusi tingkap lutsinar dan senyum kami berpadu di dada langit lazuardi yang membenihkan awan menari riang.
“Kita mulakan sekali lagi, Isya.”
“Sanggup bermadu dengan kerjaya Isya?” Aku cuba menduganya.
“Is akan belajar bagaimana untuk berterima kasih.”
Dan kami tahu ke mana hala tuju perbualan ini.
DIA BUKAN MELAYUKAH?
Alasan mereka inggeris ‘ya bahasa mereka yang pernah menjajah negara dan mengangkut segala rempah ratus kehidupan dan sekarang mewariskan perundangan sivil mereka hingga kita jadi lupa syariah itu undang-undang yang tak pernah salah’ ialah bahasa ilmu, bahasa penting yang wajib dipelajari dan bahasa segala perhubungan.
Alasan lagi-kita bijak benar mereka pelbagai alasan hingga lupa untuk mencari walau satu jalan-kita tak mampu menterjemah buku-buku rujukan (ini alasan mahasiswa yang melupakan asal-usul sendiri) bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu. Ah, pemalas kamu!
Tapi, mengapa sains dan matematik dijadikan mangsa kerana masalah bahasa kamu yang lemah? Penyelesaian yang betul ialah bukan memperjudi nasib anak bangsa terutama mereka yang di pedalaman tetapi memperkasa bahasa itu sendiri. Ah, saya malas benar mengulas benda yang semua orang sudah maklum.
Dan hari ini Allah izinkan saya melihat lagi satu krisis. Betapa krisis identity bukan saja berlaku di kalangan remaja belasan tahun, ia boleh juga menjangkau hingga orang dewasa.
Saat berada dalam zon selesa, kita sering lengah. Membiarkan saja bangsa lain (saya bukan rasis) mengunyah segala khazanah sedang kita dengan hak-hak istimewa orang melayu atau kaum bumiputera hanya goyang kaki menganyam mimpi yang entah bila akan menjadi pasti. Bermimpi tidak salah kerana dari mimpi segalanya membentuk impi, tapi mimpi yang tak pernah jaga tidak akan pernah diterima tentunya.
Tapi, menyalahkan bangsa sendiri menyebabkan tiada kemajuan bukan satu tindakan yang bijak saya kira. Seorang itu meletakkan tanda salah pada satu keadaan. Dia tercampak ke dalam golongan yang berdaya saing dan sentiasa ingin maju kerana menyedari dirinya hanyalah menumpang di tanah terhalang.
Umpamanya seorang buruh Indonesia hadir ke Malaysia, tentunya dia akan bekerja bersungguh-sungguh kerana menyedari persaingan yang menggugat kedudukannya jika tidak berusaha. Namun, saat dia menyedari hidupnya sudah dalam ‘zon selesa’ dia akan menurunkan tahap kesungguhannya kerana percaya kehidupannya sudah terjamin.
Jadi, perubahannya kerana desakan hidup atau tekanan situasi. Tekanan itu positif tentunya hingga mampu memotivasi diri. Namun saat tekanan hilang, motivasi terus hilang kerana motivasi itu hadir selepas tekanan.
Jangan jadi semacam itu teman. Kita khalifah yang punya ‘akal untuk pertimbangan. Bertandinglah dengan diri sendiri untuk memajukan diri. Lupakah kamu dengan pesan baginda Rasul saw..tafsirannya..jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Bekerja untuk dunia seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan bekerja untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok.
