Dia tinggalkan
saya sendiri. Terpinga-pinga. Telefon masuk pesanan peti suara. Mesej saya
berturut terhantar tanpa balasan. Kepala jadi pusing mengapa dia sunyi tanpa
bicara. Intai muka buku, saya rupanya bukan lagi kawannya, patut lah tiada
cerita tentang dia menjelang hari bahagianya muncul di halaman saya, tau-tau
pun seorang teman memaklumkan berita itu.
Owh, barangkali
saya bukan orang yang sesuai untuk dia berkongsi berita gembiranya. Kalau ikatan
itu mahu disembunyikan, mengapa dia mewar-warkan di muka buku (saya tidak tahu
kerana saya tiba-tiba kaget melihat nama saya tiada dalam senarai temannya di
muka buku dan permintaan saya untuk menjadi temannya tak berbalas).
Saya tidak
kecewa, namun sedikit terkilan. Saya terfikir, saya ini seorang teman yang dia
boleh berkongsi dalam ruang suka dan duka, rupa-rupanya saya hanya teman dalam
duka.
Selamat berbahagia
teman, maaf aku tak mampu bersua muka bertentang mata mengurai segala misteri
yang melingkar di ruang fikir, aku takut empangan air mata akan melimpah tanpa
henti dan bicara aku jadi terhenti. Aku sudah puas menangis saat kau tak dapat
kuhubungi sedangkan kau tahu beberapa cara untuk menghubungi aku.
Mungkin kau ada
alasan sendiri untuk bertindak sedemikian, tapi aku sungguh seorang teman yang
mengharapkan yang bukan-bukan. Andainya coretan ini singgah ke hatimu,
ketahuilah apapun alasan, aku sentiasa mendoakan agar si dia yang kau pilih bisa
menggantikan peranan aku saat dulu-dulu. Selamat berbahagia teman. Kalau ingin
kau tahu, bait-bait ini kulakar dengan lacrimal gland menjadi peneman setia.
Terima kasih
untuk segalanya dan kuharap bahagia itu milikmu.
1 comment:
ayuh berjiwa seluas langit teman!
Post a Comment