Aku meraikan ujian dengan membiarkan
air jernih yang bertakung di kolam hening mengalir. Ia mengalir diiringi muzik
sepi dan sendu. Lumrah wanita, air mata ialah teman yang tak pernah berpisah. Namun,
bukan bererti itu lemah. Sekadar melepaskan rasa sebelum ia menggelegak dan bisa
membakar apa saja yang berdekatan.
Bicara makin sepi, hidup jadi
percaturan yang membina mimpi yang kadang semacam tak pasti. Aku mencongak
dalam hati, betapa waktu yang berlalu dibiar berlalu tanpa erti. Jiwa kadang
rapuh tatkala ujian berderet menguji diri.
DIA MENGUJI
DAN
AKU YANG TERUJI
Rahsia aku,
syhh..jangan kau khabarkan kepada sesiapa.
Kelemahan terbesar aku ialah buku. Usai
saja ujian akhir, keputusan kenaikan ke tahun akhir terpapar. Aku tidak punya
niat untuk membicarakannya. Pulang ke rumah sekejap sekadar mengumpul ‘semangat
yang tewas’ kembali berdaya.
Seperti biasa, sementara menunggu
seorang teman di hentian bas, aku ke kedai buku, hajat di hati ingin
melihat-lihat. Ah, jangan percaya. Akhirnya aku keluar dengan dua buku bertukar
not hijau. Principle of success & Tuhan
sedang menguji kita oleh us kazim bertukar tangan. Aku selalu tewas
dengan buku..haha
CERITERA Satu
Aku dididik menghafal hadith seawal usia
5 tahun, terkapai-kapai mengikuti kakak dan abang menekuni kitab matan ajrumiah
& matan alfiah sebelum menjejak kaki ke sekolah rendah. Aku dilarang
mengikuti fardu ain di sekolah, kerana kami punya kelas jawi, feqah,al-Quran,
tajwid hatta nahu saraf sekalipun dengan papan hijau di rumah. Aku menahan rasa
melihat kawan yang memperoleh hadiah Tupperware & botol air kerana mendapat
angka 1 dalam kelas fardu ain.
Kelas farhu ain di rumahku tak punya
jadual. Sempadannya ialah waktu solat. Punya tazkirah selepas subuh yang
membuatkan aku setiap hari hampir saja lewat ke sekolah. Pulang usai zohor,
kelas di papan hijau seperti menulis jawi @ menghafal hadith bersambung. Usai asar
ke maghrib ialah kelas mengaji al-Quran. Air mata tak pernah henti menitik saat
dimarah berapi dengan rotan sehalus kelingking. Itu kenangan. Kenangan yang aku
amat menghargai. Bukankah antara 3 amalan yang berterusan pahala selepas
meninggal ialah punya anak soleh yang mendoakan dan juga ilmu yang bermanfaat?
Dan aku boleh berbangga kerana ilmu
nahu sorafku amat mantap. Aku bahkan mampu mengajar teman-teman semasa SPM dan
SMU.
Straight to the point?
Point aku ialah sedari kecil aku
dibekalkan ilmu agama. Orang tuaku menunaikan amanah Allah dengan penuh
tanggungjawab. Andai aku yang terjerumus, akulah yang menanggung akibat
perilaku itu di hadapan Tuhan kelak.
Dengan demikian, aku memilih untuk
meneruskan hidupku dalam mengaji pengajian agama. Bukankah ada sabda baginda
yang mafhumnya : Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, di faqihkan
pada perkara agama?
Lantas, sewaktu aku mendapat UPSR 5A,
aku menolak tawaran sekolah berasrama penuh. Guruku mempertikai keputusan itu,
aku memilih untuk bersekolah biasa-sekolah agama rakyat yang padanya aku
belajar agama dan bahasa ahli syurga (siapa tak ingin masuk syurga kan)-inilah
persiapan aku untuk ke syurga-belajar bahasanya supaya komunikasi di syurga nanti
jadi lebih mudah bukan?
Indah nya di sekolah, aku bersemangat
amat. 35minit guru mengajar dirasakan 30saat sahaja. Itu berkat bukan? Kami menumpukan
PMRU sewaktu di safful thalis (tingkatan2) dan hanya mengejar PMR sewaktu di
tingkatan 3. Dalam waktu yang terbatas, PMR ku tetap cemerlang.
Yakinlah, saat kau mencari akhirat,
dunia akan mencarimu, namun saat kau mencari dunia, akhirat takkan mampu kau
pikul amanahnya.
Kemudian aku mendapat tawaran ke Ma’had
KB. Aku memilih aliran sains dengan niat
ingin menjadi doctor walhal aku minat gila dengan matematik. Sangat-sangat
minat hinggakan sekarang andai kemengantukan yang amat sewaktu dalam kelas, aku
akan menyelesaikan persamaan algebara yang direka sendiri (ni pilihan kedua,
kadang-kadang aku boleh buat sajak dalam kelas)
Aku boleh memilih untuk ke asrama penuh
yang lain, namun kerana sayangkan bahasa
arab dan bi’ah islam, aku pilih sekolah agama.
Di tingkatan 4, kami mengejar SMU
hingga silibus SPM sedikit tercicir. Namun keputusan kami tetap cemerlang. Peruntukkan
masamu untuk Allah dan Dia takkan pernah mengecewakan hamba-Nya yang mengharap.
Selepas SPM, aku pilih uia dengan
harapan bahasa arab & bi’ah islamnya
mampu melentur jiwa. Kadang aku pernah terfikir, andai aku memilih sekolah
lain, mungkin aku tak seperti aku hari ini (aku lebih mengetahui jiwaku yang
kasar dan suka memberontak). Namun, amalan bacaan Quran di setiap waktu mampu
melembutkan jiwaku agar tidak terikut dengan bisikan syaitan yang mengalir
dalam pembuluh darahku.
Itulah tujuan aku memilih uia. Tak kira
apa Kursus sekalipun, asal bahasa arab
& bi’ah islamnya ada. Kerana aku tahu, aku teramat lemah, imanku lebih
nipis dari kulit bawang. Aku takkan mampu andai ada anasir tidak sihat
mengajakku melencong dari kebenaran. (aku tahu hatiku bagaimana)
Dan, di kuantan ini, tidak seperti di
PJ. Pj meriah dengan program yang kadang-kala aku terpaksa membelah bahagikan
badanku kepada beberapa kerat untuk jam 8-11pm demi kerana banyaknya program.
PJ hidup dengan majlis ilmu.
Kuantan, mungkin kerana pelajarnya yang
teramat sibuk membataskan program. Sementelah system blok menyebabkan kami
sunyi sendiri saat pelajar lain sudah pulang bersama keluarga.
Sunyi itu menyebabkan hatiku hauskan
makanan rohani. Sesiapa yang mencari pasti akan terjumpa. Kuliah Us Azhar idrus
sebulan sekali amat-amat membantu umpama air hujan yang turun menyegarkan jiwa
yang layu dalam tuntutan dunia yang tak pernah punya waktu lapang.
Intinya; belajarlah
ilmu akhirat. Tinggi manapun ilmu dunia yang kamu kecapi, banyak manapun
anugerah dunia yang kamu raih, andai bekal akhiratmu tidak seberapa, hidupmu
ibaratnya sia-sia.
Aku teramat sedih kerana pengalamanku di
bidang ini ramai yang Allah kurniakan kecerdakan dunia, namun mereka gagal
menyeimbangkan dengan akhirat. Andainya ia digunakan untuk kepentingan ummah,
nescaya islam akan menggegar dunia dengan ledakan kuasanya yang tak terperi.
BERKAT.
Itulah yang aku pelajari. Andai berkat
ada, sesukar manapun hidupmu, andai bi’ah islamnya subur, tiada tekanan atau
bisikan halus yang aku membuat akalmu hilang pertimbangan. Aku mencari berkat
yang dengannya rezki sedikit mampu memberi kenyang ramai orang. Berkat yang quantitinya
tidak pernah bererti kualiti kerana berkat itu datang dari Dia
Tuhan semesta Alam.
Tuhan, aku mencari berkat yang aku
khuatir tidak sudi menyingggah ke medan ini. Aku luruskan niatku demi kerana-Mu
bukan kilauan dunia yang menyilaukan hasrat mata.
Yang sedikit, andai punya berkat, rezkimu luas, TEMAN!
No comments:
Post a Comment