Sunday, October 3, 2010

KISAH SAYA & MOTIVASI DIRI

by Zaharuddin.net on Tuesday, April 27, 2010 at 9:37pm

"Zaharuddin, kamu tahu tak bagaimana sukarnya pembelajaran Syariah di Universiti Dimasqh ?" kata rakan sekelas Sarjana Fiqh & Usul Fiqh bernama Toriq.

Pemuda bernama Toriq ini berasal dari Jordan dan merupakan seorang pelajar yang sering mendapat markah tinggi dalam setiap subjek yang diambil. Pada semester itu, saya ambil satu subjek dengannya dan kebetulan guru yang mengajar adalah antara ulama terhebat dalam bidang Usul Fiqh di Timur Tengah. Beliau adalah Syeikh Prof. Dr Muhammad Fathi Ad-Durayni yang ketika itu berumur 80 tahun, tetapi mempunyai ingatan dan ilmu Usul Fiqh yang canggih. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Universiti Dimasqh sebagai Dekan Syariah.



Sebenarnya, saya memang sudah mengetahui kesukaran tinggi dalam pengajian Syariah di Universiti Dimasqh di Syria sejak zaman silam sehingga akhir tahun 90 an. (Diberitakan mulai tahun 2004 mereka mengubah cara untuk meringankan imej sukar itu). Demikian yang disebutkan oleh guru kami Syeikh Prof Dr Mohammad ‘Uqlah el-Ibrahim ketika memberi kuliah di dalam kelas Sarjana di Universiti Al-Yarmouk.

Ia disebabkan ulama-ulama hebat yang mengemudi Fakulti Syariah di sana. Seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa dan Syeikh Dr Mustafa As-Siba'ie dan ramai lagi.

Sehingga diberitahu sesiapa yang mampu lulus Sarjana Muda (B.A) Syariah dengan markah sekadar 60 % pun ia sudah seperti mustahil dan amat luar biasa.

"Bagaimana?" Tanya saya kepada Toriq.

"Sehingga, jika aku masuk ke sana pun, aku mungkin lulus tetapi hanya cukup makan sahaja, tetapi jika orang macam kamu masuk, memang tiada harapan" katanya selamba.

Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata itu.

Memang biasa pelajar-pelajar Arab ini meninggi diri dan memperlekeh orang bukan ‘Arab. Apatah lagi orang asia seperti saya.



TERCABAR & MENCABAR

Tidak mengapa, entah mengapa perangai saya agak berbeza dalam semua perkara yang saya minat dan sukai.

Setiap kali saya dicabar atau tercabar dalam perkara yang saya minati, saya akan menganggapnya sebagai positif dan sekaligus menambah semangat saya.

Saya memang minat mengaji ilmu Usul Fiqh Tinggi (advance) ini kerana menyedari keperluannya amat tinggi jika saya ingin mendapat pahala besar dan berterusan sehingga selepas kematian. Ini kerana ilmu ini membantu saya memahami bagaimana cara dan keadah mengeluarkan hukum Fiqh dari dalil yang pelbagai. Selain mengajar saya menghargai dan meraikan kepelbagaian fatwa.

"Zaharuddin...!! Apa yang engkau lakukan??!" kata Toriq selepas sama-sama melihat markah kami terpampang di dinding fakulti Syariah.

Dengan izin Allah, saya muncul pelajar yang memperolehi markah tertinggi menewaskan seluruh pelajar Arab dari Jordan, Bahrain, Saudi, Iraq dan Mesir. Kelas peringkat sarjana (MA) untuk subjek ini tersebut mempunyai sekitar 40 orang pelajar.

Terdapat beberapa pelajar gagal termasuk pelajar Malaysia.

"Nama kamu boleh dicatat dalam akhbar universiti ni, tidak pernah ada pelajar bukan arab meraih markah tertinggi dalam apa jua subjek Sarjana Fiqh sebelum ini" Kata seorang lagi pelajar Jordan yang bertubuh kerdil. Maaf saya lupa namanya.



SEMESTER DEPAN

Semester selepas itu, lebih getir. Jika mengikut jadual, saya tiada pilihan kecuali terpaksa mengambil subjek ‘Isu-isu Fiqh Kontemporari' (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh) melainkan terpaksa mengambilnya dengan seorang lagi guru yang dibenci pelajar arab dan bukan arab, beliau adalah Prof. Dr Abd Naseer Abul Basal kerana sikapnya yang terlalu ‘strict' dalam semakan jawapan dan kerap memberi markah rendah tidak kira kepada pelajar Malaysia dan arab. Malah ramai yang kerap digagalkannya.

Tanya sahaja mana-mana pelajar Malaysia lepasan Jordan yang pernah mengambil subjek dengan Dr Abd Naseer ini. Hampir pasti ramai yang tidak puas hati dengannya. Tetapi saya menyukainya dan beliau juga selesa dengan saya.

Selagi lagi Toriq memberi amaran kepada saya apabila tahu saya sedang berfikir untuk mengambil subjek ini.

"Aku betul-betul ikhlas nasihatkan kamu, jangan ambil subjek dengan Dr Abd Naseer, dia tidak akan beri engkau ilmu mahupun markah" Katanya serius dalam bahasa arab fushah.

Saya merasa tercabar dengan kanyataan Toriq lagi, dan tercabar juga dengan ramai rakan arab lain yang sering menakutkan-nakutkan saya dengan kegagalan.

Saya mengangguk-angguk sahaja. Saya juga tahu hal kesukaran ini, tetapi saya tiada pilihan kerana jika tidak mengambilnya pada semester itu, saya akan lewat menamatkan pengajian.

"MasyaAllah, tahniah-tahniah" kata rakan-rakan arab kepada saya ketika markah ditampal.

Saya katakan kepada Toriq selepas itu :

"Aku suka Dr Abd Naseer, dia adil dalam memberi markah kepada yang layak. aku perolehi ilmu dan markah darinya"

Toriq hanya tersenyum pahit dan terus berlalu.

Alhamdulillah sekali lagi saya mendapat markah tertinggi, tetapi kali ini saya berkongsi dengan seorang lagi pelajar Arab. Kami berdua memperolehi markah luar biasa untuk diperolehi dari Dr Abd Naseer. Ramai yang gagal mencapai markah lulus 70 %. Semua dibawah 70 % adalah gagal dan perlu mengulang subjek.

APA RAHSIANYA?

Saya juga tidak tahu rahsianya, cuma saya sememangnya meminati subjek Fiqh kontemporari dan semua isu-isunya walaupun sukar dan silibusnya sekitar 2000 muka surat disamping ‘assignment' keseluruhan sekitar 200 muka surat perlu disiapkan dengan rujukan yang mesti banyak.

Setelah fikir-fikir kembali, mungkin ini rahsianya.

Oleh kerana Fiqh kontemporari ini sukar, merangkumi perbincangan detail berkenaan hukum klon, insuran, genetic engineering, derma organ, penguguran janin dalam pelbagai bentuk, brain death dan banyak lagi isu kontemporari. Ia menjadi lebih sukar kerana semua bahan di dalam bahasa arab tinggi dan banyak istilah perbuatan dan sains di dalam bahasa arab. Namun demikian, saya kerap menjadikannya sebagai bahan untuk terbitan artikel saya.

Ertinya, saya menulis dan menterjemahkan bahan-bahan bacaan saya kepada bentuk artikel dan disebarkan melalui dua cara, pertama melalui internet (pada waktu tersebut saya belum mempuyai blog sendiri, justeru disebarkan melalui email dan forum-forum islamik), kedua ia disebarkan melalui kelas. Saya menawarkan kelas fiqh kontemporari kepada para pelajar Malaysa yang berada di Irbid pada ketika itu, lalu mereka yang berminat dengan ilmu datang berbondong-bondong ke rumah saya untuk mendengar kuliah saya berkenaan topik fiqh kontemporari (terutamanya para pelajar perubatan). Melalui cara ini saya terpaksa membuat kajian dan perlu memahami sebaik mungkin agar ia dapat disampaikan dan difahami oleh pendengar. Malah perlu juga merujuk kitab-kitab yang tidak termasuk di dalam silibus pengajian. Ternyata kaedah ini berjaya menguatkan ingatan dan kefahaman saya dalam setiap subjek hingga akhirnya memudahkan saya menjawab apa juga bentuk soalan exam yang diberikan. Cubalah..

Tambahan dari itu saya meminati subjek ini kerana ia amat releven dengan masyarakat semasa. Justeru bagi saya, ia adalah satu peluang untuk saya mendapat pahala besar bila pulang ke Malaysia nanti. Saya mesti faham dan memahirkan diri dengan semua tajuk-tajuk tadi bagi menyebarluaskannya di Malaysia. Ia adalah amal jariah buat hari kematian saya. Ia menjadikan saya amat bermotivasi mempelajarinya.



CERITA BERBELAS TAHUN DAHULU

Entah mengapa rupanya sejak dari dulu saya memang demikian. Jika minat terhadap sesuatu perkara dapat dikembangkan dalam diri ditambah pula perkara itu amat bermanfaat, kemudian dicabar samada secara sengaja atau tidak oleh mana-mana pihak, saya akan mengambilnya sebagai motivasi.

Saya masih ingat 14 tahun dulu, ketika dulu saya meminati nasyid terutamanya bermain kompang. Ketika saya sedang asyik cuba memukul kompang itu, tiba-tiba seorang penasyid universiti dan pakar kompang (penasyid tersebut adalah ahli kumpulan brothers ketika ini) mengatakan cara pukulan saya kelihatan kurang bakat.

Hasilnya, saya belatih dan berlatih sehingga saya dipilih untuk bermain kompang bagi persembahan universiti. Penasyid solonya adalah individu yang menafikan bakat saya tadi.

Kerana saya minat, cuma tatkala itu masih muda, minat pun menurut peredaran zaman, ketika ini saya tidak lagi minat untuk bernasyid, cuma masih mendengar nasyid sahaja.

TULISAN KHAT

Saya juga minat menulis khat samada khat diwani, nasakh, thuluth dan lain-lain. Sehingga saya berjumpa seorang senior yang cantik dan indah tulisan khatnya. Beliau merupakan individu yang sering terpilih untuk menulis khat (kain rentang dipentas) bagi majlis besar di dewan universiti dan juga di majalah universiti.

Bila saya tunjukkan bakat saya di depannya, beliau berkata :-

"Jika tengok jari-jari anta ni, rasanya jari anta ni bukan jari orang menulis khat, keras" kata Imran kepada saya.

Saya tercabar, saya berlatih setiap kali ada waktu kosong. Hasilnya, saya perolehi kontrak menulis ratusan tajuk buku fotostat (atas kulit keras) di perpustakaan universiti. Mendapat bayaran juga. Sehingga hari ini tulisan saya boleh dilihat di perpustakaan UM Nilam Puri. Tulisan saya hari ini lebih baik dari apa yang ada di buku tersebut.

Saya juga menulis khat untuk majalah universiti dan majlis besar di dewan universiti, menggantikan senior yang sudah keluar. Saya berjaya buktikan ‘jari keras' saya mampu mencarik adat yang disebutkan senior tadi. Semuanya kerana minat dan motivasi.

Nak lihat tulisan khat saya?..maaf, tiada yang boleh saya scan buat masa ini.

Minat amat penting, anda ingin berjaya?..pastikan ia menjadi minat. Minat boleh datang jika anda punyai ilmu tentang kepentingan perkara itu untuk anda dan masyarakat. Tanpanya minat tidak berguna. Minat sesuatu yang tiada manfaat akhirat adalah sia-sia.



CABARAN BAHASA ARAB

Saya lulusan Usuluddin pengkhususan tafsir dan pentadbiran Awam dari Universiti Malaya, Majoriti pelajaran kami di UM adalah di dalam Bahasa Malaysia. Jika ada subjek yang menggunakan bahasa Arab pun, jawapan peperiksaan adakalanya masih boleh ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebelum menyambung Sarjana (MA) pula, saya bekerja selama 3 tahun sebagai pendakwah dan penceramah di seluruh Malaysia, tetapi tidak masuk media dan kerana itu anda tidak mengenali saya. Saya juga tidak mengulang dan tiada masa untuk praktis menyebabkan bahasa arab saya semakin hilang dengan dahysatnya.

Semasa berceramah pula, saya sentiasa mencari bahagian ilmu Islam yang manakah yang kurang dalam masyarakat serta ilmu apakah pula yang patut seorang ustaz dalami untuk membantu masyarakat.



Hasilnya, saya dapati ilmu Fiqh kontemporari dan Fiqh Muamalat adalah bahagian ilmu Islam yang masih agak kurang tumpuan di kalangan ilmuan Islam di Malaysia. Justeru, saya merancang menumpu di bidang tersebut. Demi mencapainya, saya terpaksa bertukar ke bahagian Fiqh dan Usul Fiqh bagi ijazah Sarjana di Jordan.

Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil beberapa matapelajaran tambahan. Bahasa Arab saya tercabar. Ramai yang bertanya,

"tak susah ke?,biasanya orang BA di Timur Tengah, MA di Malaysia, tapi enta ni terbalik, pastu nak tukar bidang pula". Kata beberapa rakan saya.

Memang sukar, saya tercabar kerana tiada kursus Bahasa arab tambahan untuk saya, semuanya perlukan usaha sendiri. Lebih sukar kerana saya perlu berada di tahap bahasa Arab peringkat Sarjana dan berbahas semua isu Fiqh dan Usul Fiqh pada tahap Sarjana, bukannya peringkat asas lagi. Ini tidak mudah kerana saya hanyalah lulusan BA Usuluddin dan amat kurang penumpuan di bahagian Fiqh dan Usul Fiqh sebelum ini.

Akan tetapi saya amat berminat dengan subjek Usul Fiqh dan saya amat menyedari kepentingannya untuk dunia dan akhirat saya. Tanpa banyak soal, saya perlu mengerah otak dan minda untuk mencapai target ini.

Akhirnya saya berjaya menamatkan MA saya dalam tempoh 2 tahun 10 bulan, terlewat sedikit disebabkan diwajibkan mengambil matapelajaran tambahan selama satu semester. Bagi perolehi MA dari Jordan atau Timur Tengah, tempoh paling cepat adalah 2 tahun dan paling lewat adalah 7 tahun. Ini disebabkan sistem pembelajaran mereka yang perlukan pengajian kelas dan tesis sekaligus (berbeza MA di UK yang perlukan hanya setahun). Beberapa pelajar Iraq dan Jordan sudah mencecah 4 tahun namun masih lagi gagal menamatkan pengajian mereka.

Bahasa Arab saya tercabar, tetapi akhirnya ketika tesis MA saya di perdebatkan oleh para ilmuan. Bahasa Arab yang saya gunakan dipuji oleh Syeikh Prof Dr Abd Malik As-Sa'di al-‘Iraqi sehingga beliau menyangkakan Profesor penyelia saya yang membantu mencipta ayat. Benar, tetapi 80 % tesis itu adalah bahasa yang saya usahakan sendiri dan bukan dari ‘supervisor' saya. Alhamdulillah, tesis itu telah dicetak oleh UIAM press.

MENCABAR DEMI ILMU



Yang istimewa di Universiti Al- Yarmouk, saya dibenarkan mencari sendiri supervisor dan ‘munaqish' (iaitu prof penyemak tesis)

Saya dicadangkan oleh rakan-rakan ‘Arab untuk mengambil pensyarah-pensyarah yang mudah lulus untuk penyeliaan tesis. Saya menolak dan sengaja memilih ulama yang paling unggul dengan ilmu dan akhlak di Universiti al-Yarmouk, iaitu guru mursyid saya Syeikh Prof Dr. Md ‘Uqlah el-Ibrahim sebagai penyelia dan Prof. Madya Dr xxx sebagai penyelia kedua (saya rahsiakan namanya agar tidak jatuh mengumpat)

Penyelia kedua ini amat terkenal sangat ‘bias' atau berat sebelah dan menindas semua pelajar bukan Arab. Tanyalah keluaran Fiqh dari Univeristi Yarmouk, Jordan, pasti mereka akan bersetuju.

Rakan-rakan arab pelik dengan sikap saya. Saya akan pastikan kualiti tesis saya tidak akan dapat dinafikan oleh Prof. Madya Dr xxx. Akhirnya, beliau hanya memberikan sedikit komentar dan soalan mudah ketika ‘viva' berlangsung. Lebih menarik, beliau mengakui banyak manfaat baru dari tesis saya. Pujian bagi Allah.

Universiti memberikan kebebasan saya untuk mencadangkan professor penyemak dan pendiskusi tesis. Saya sekali lagi mencabar ilmu dan memotivasikan diri saya dengan memilih ulama yang sukar-sukar, biar saya tercabar.

Saya pinta Prof Dr Abd Naseer Abul Basal sebagai penyemak pertama dan Prof Syeikh Dr Abd Malik As-Sa'di dari Universiti Mu'tah sebagai penyemak kedua. Alhamdulillah Allah izinkan saya berjaya.

Saya juga sempat membuat semakan ringkas dengan Syeikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qaradawi untuk memastikan kandungan tesis saya boleh diterima oleh ulama seperti beliau. Alhamdulillah beliau gembira dengan kandungan tesis saya serta memberikan beberapa ‘mulahazat' atau komentar ringkas dan beberapa penghargaan.

CABARAN & MOTIVASI BAHASA INGGERIS

Ketika saya pulang dari Jordan, semua minda saya berbahasa Arab. Bahasa Inggeris sudah hampir pupus dari minda. Menganggur hanya seminggu selepas pulang dan terus bekerja sebagai Eksekutif & Kaunselor Syariah di Ingress Corporation. Kerjaya ini tidak banyak membantu bahasa Inggeris saya, semuanya di dalam bahasa Malaysia.

Beberapa bulan selepas itu, seorang rakan saya berkata bahawa RHB Islamic Bank baru ditubuhkan dan memerlukan Pengurus Syariah. Tetapi beliau tidak yakin saya mampu kerana mereka perlukan ‘English'. Interview juga di dalam ‘English' katanya. Saya terasa tercabar dan dalam masa yang sama saya memang amat ingin mendalami operasi perbankan Islam semasa tetapi saya juga risaukan adalah ‘English' yang betul-betul sudah dilupakan.

Saya faham bahasa Inggeris amat penting bagi seorang pendakwah. Dunia Islam terlalu kurang pendakwah dan ilmuan Syariah yang mampu menulis dan bertutur di dalam bahasa Inggeris. Sehebat dan sebijak al-Qaradawi masih tiada kemampuan bertutur dan merujuk mendalam buku berbahasa Inggeris.

Saya tercabar dan memotivasikan diri. Perancangan dibuat bagi mencapai misi saya. Rakan dan sahabat saya menasihatkan jangan terlibat dengan bank kerana ia adalah satu industri yang tidak ‘mercy' katanya. Tiada belas kasihan kerana kesibukannya akan menghalang saya dari berdakwah.

Saya berjaya akhirnya berkhidmat di RHB ISLAMIC Bank Berhad. Dokumen perbankan semuanya di dalam ‘English'. Saya diperlukan untuk menyemak setiap baris bagi memastikan ketepatannya dengan hukum Syariah. Tahap ‘English' yang digunakan oleh para peguam dan pegawai bank untuk semua dokumen perbankan bukanlah sesuatu yang mudah. Khususnya ia mempunyai banyak istilah-istilah khas yang perlukan huraian lebih lanjut.S

Cuma sedikit kekurangannya, di RHB Islamic Bank saya sering berbincang dan melaporkan tugasan kepada boss saya yang berbangsa Maleyu, ini menjadikan saya lebih selesa berbahasa Melayu.Namun apabila saya berpindah kerjaya di Asian Finance Bank Ltd (Qatar Islamic), saya perlu melapor kerjaa terus kepada CEO yang merupakan warga Bahrain. Semua meeting dibuat di dalam English, manakala meeting Shariah dilakukan di dalam Arab sepenuhnya. Satu kerjaya yang sukar tetapi memberikan banyak kelebihankepada saya kerana dapat mengasah kedua-dua bahasa sekaligus.

English saya di tahap biasa, ujian IELTS mencatatkan kemampuan bertutur saya hanya pada tahap Band 7. Usaha masih berterusan bagi meluaskan dakwah di seluruh dunia selepas ini. Untuk perolehi pahala yang meluas di seluruh dunia, Bahasa Inggeris dan Arab diperlukan. Saya akan ke sana insyaAllah..Mari bersama saya mengorak langkah. Oraklah langkah dengan perancangan dan bukan secara spontan TANPA HALA TUJU JELAS.

Demikian beberapa coretan peribadi berkaitan motivasi diri saya. Terlalu banyak sebenarnya, tetapi saya tidak pandai mengolah, kurang minat menulis hal peribadi dan kekurangan masa. Cuma atas permintaan dan pertanyaan pengunjung web ini, saya cuba kongsikan apa yang sempat dan mampu.

Semua manusia perlukan motivasi. Nabi Muhammad s.a.w diberikan motivasi melalui Isra Mikraj.

Nabi Ibrahim juga memohon motivasi dari Allah. Lihat bagaimana permohonan Nabi Ibrahim :-

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي

Ertinya : "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: ""Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati"". Allah berfirman: ""Belum yakinkah kamu?"". Ibrahim menjawab: ""Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)"". " ( Al-Baqarah : 260 )

Kita semua perlukan motivasi, motivasi yang unggul adalah motivasi untuk mendapatkan redha dan syurga Allah.

Sebagaimana nabi dan sahabat baginda. Allah s.w.t mencatatkan betapa bermotivasinya mereka mengejar keredhaan dan syurga Allah dengan firmannya :-

خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

Ertinya : "tempat penamat yang harum semerbak kesturi (syurga); dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba" ( Al-Mutaffifin :26 )

Lihat Allah s.w.t ingin kita sentiasa bermotivasi untuk mencapai kebaikan syurga. Berlumba-lumba. Manusia sering berlumba bagi perolehi nikmat sementara dunia, harta, nama dan pangkat.

Ingatlah sekaya-kaya Lim Goh Tong yang memiliki billion ringgit wang juga tidak dapat menangguhkannya dari kematian. Tidak juga boleh merasuah Allah s.w.t untuk memberikan kontrak hidup untuk 3 tahun lagi.

Jadilah dan kejarlah redha dan pahala untuk kehidupan selepas kematian. Rancanglah dan fikirlah.

Jangan jadikan pujian manusia sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu dikemudian hari.

Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis.

Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi unggul, kerana ia juga akan tamat dan dihasadi.

Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul, kerana ia akan mati jua.

JADIKAN ALLAH, RASULNYA DAN SYURGA YANG DIJANJIKANNYA SEBAGAI MOTIVASI, NESCAYA ALLAH TIDAK AKAN MATI DAN JANJINYA TIDAK AKAN MENGECEWAKAN.

Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi.

WEB & MOTIVASI

Saya bermotivasi untuk membuat pengisan di web ini hanya kerana merasakan ia mampu membantu akhirat saya. Saya dan keluarga ingin selamat di akhirat, saya ingin selamat di barzakh, saya tahu saya perlu letih untuk itu.

Saya syukur kerana web yang baru berumur setahun jagung ini sudah punyai pelawat yang boleh tahan ramainya. Saya amat gembira kerana melaluinya saya mampu menyampaikan ilmu walaupun saya sedang tidur, ketika saya sedang bertugas. Setiap detik pelawat memanfaatkan ilmu di web ini.

"Larat enta update web ye," kata Ust Khairuddin Aman Razali kepada saya ketika bertandang ke Darul Fuqaha untuk berforum.

Saya menjawab seperti di atas. Gembira melihat ramai yang sudi membaca dan memanfaatkan tulisan kita, beribu-ribu. Sukar sekali ceramah boleh dihadiri oleh seribu pendengar. Melalui web saya berjaya. Ia adalah ilmu yang boleh memanfaatkan saya di barzakh dan akhirat, insyaAllah. Sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w.

Masih segar di ingatan saya, ketika saya sedang sibuk bekerja di bank, saya menyuarakan hasrat untuk punyai web sendiri kepada seorang sahabat yang amat popular di dunia penulisan internet. Sehingga hari ini blog beliau punyai pelawat yang amat ramai. Tatkala itu saya ‘buta' ilmu berkenaan blog dan ‘web site' tapi hasrat itu ada. Kerja di bank sudah berat, ditambah kursus dan ceramah luaran lagi mungkin menyebabkan sahabat ini berkata

"orang macam anta ni, kurang sesuai ada web site"

Begitulah isi kandungan kata-kata beliau, maaf jika lafaznya kurang tepat. Beliau menasihati saya agar tidak melibatkan diri dalam dunia web kerana katanya:

"web yang tidak kerap diupdate seperti sesuatu yang telah mati"

begitulah lebih kurang maksudnya yang meragui kemampuan saya untuk membuat pengisian web disebabkan aktiviti saya.

Telah saya katakan, jika saya minat dan mendapati sesuatu itu memberi manfaat kepada akhirat saya. Pasti akan saya lihat ayat-ayat negatif seseorang itu sebagai positif dan motivasi.

Demikian jugalah yang berlaku kepada nasihat ikhlas sahabat tersebut. Saya anggap sebagai motivasi diri.

Akhirnya saya punyai blog atau ‘website' sendiri (maaf jika anda ingin berdebat berkenaan kalimah web dan blog, saya memang tidak ambil kisah akan perbezaannya).

Selain itu, saya luaskan jangkauan web dengan menubuhkan zaharuddin yahoogroup yang kini dinggotai oleh 2800 orang sehingga amat sukar untuk saya memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang kebanyakkannya memerlukan huraian. Sistem sms 33221 ( sistem ini TELAH SAYA TUTUP SETAKAT INI - 20 april 09) - juga tidak pernah kering dari soalan pelbagai jenis, email saya juga diserang hebat sehingga menyebabkan forum percuma saya terbengkalai. Biarlah, sudah ‘over limit' kemampuan manusia biasa. Biar ia sampai di limit, barulah saya berhenti.

TUGAS UIAM DAN MASA

Bertugas di UIAM, dari satu sudut kelihatan kurang tugasan berbanding bertugas di industri korporat sebelum ini..tetapi rupanya tugas saya semakin bertambah. Hari ini Pengerusi, CEO dan orang kuat sebuah syarikat MLM Bumiputra datang ke UIAM bertemu saya dan rakan baik saya Dr A.W. Meminta kami membuat sejarah dunia kewangan Islam runcit iaitu dengan memperkenalkan model Skim MLM Islamik. Mereka kelihatan bersungguh tetapi ‘blank' tentang model alternative MLM, bantuan kami ditagih untuk menggubal konsep baru MLM.

Saya sudah semakin risau dengan masa saya, sebuah Bank Islam sudah melantik saya sebagai ‘External Syariah Advisor', tugasnya banyak sudah tentu. JAKIM melantik saya sebagai panel bengkel menggubal sukatan Fiqh Muamalat untuk guru takmir seluruh Malaysia, demikian juga Jabatan Mufti Kedah untuk seluruh tawliah negeri Kedah. Beberapa syarikat luar Negara sudah mula meminta tarikh untuk memberikan bantuan dan latihan ilmu Kewangan Islam di sana.

Orang sana minta Kursus Solat, orang sini minta buat kursus Kewangan & Perbankan Islam, dan orang situ pula minta buat kursus etika dan budaya kerja Islam. Orang di atas pula minta bentang kertas kerja di majlis ilmuan Syariah, orang di kanan pula minta semak silibus, orang di hujung pula minta jadi kolumnis sebuah newsletter berbahasa Inggeris, orang di tepi pula minta jadi editor luaran majalah. Semuanya hakiki dan realiti, pengunjung web pula minta "cepat ‘update' ustaz". Penyoal soalan hukum minta cepat jawab, peminta nasihat kaunseling keluarga, minta "ustaz cepatlah tolong selesaikan masalah saya, apa saya nak buat?", dan banyakkkkk lagi.

Ya Allah aku hanya seorang manusia, permudahkan urusanku demi perolehi redhamu. Berikanku kekuatan membantu mereka yang memerlukan.

Doakan kami mampu melakukannya untuk ummat. Jika anda merasakan saya sangat sibuk, NO!, saya belum sibuk berbanding ramai lagi pejuang Islam di Malaysia dan dunia dalam pelbagai bidang. Saya hanya baru 35 % sibuk berbanding mereka.

Jangan bimbang untuk menjemput dan bertanya kepada saya. No problem, InshaAllah saya masih mampu mengurus. Itu salah satu kelebihan yang saya perolehi dari Universiti Malaya dahulu. Belajar melakukan 10 kerja dalam satu masa, dengan siap dan berjaya. Ingin juga saya kongsikan berkenaan pengalaman tersebut, namun di lain masa. Ia juga adalah dituntut Islam, sebagaimana Nabi laksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Anda juga mesti berkemampuan untuk itu. Anda tentu boleh..

Saya masih ingat, terdapat seorang pelajar bertanya saya:

"ustaz saya tengok dalam profile ustaz, banyak betul kerjaya ustaz, mcam mana ustaz manage semuanya? Khususnya nak pastikan kualiti semua kerja terjamin"

Saya terdiam, tidak tahu dari mana untuk saya mulakan penerangan. Esoknya saya membuka semula profile saya, memang nyata agak banyak juga kerja dan tanggungjawab yang dipikul. Tugas itu sebenarnya belum lengkap dan mash ada yang belum atau tidak saya masukkan.

Namun, belum sampai masa untuk saya huraikan jawapan kepada soalan pelajar tadi. Sebahagian ulasannya telah pernah saya kongsikan dengan pelajar-pelara di Morocco semasa berceramah pada awal April 2009 yang lalu. Semua tugasan itu, boleh diurus jika kita berperancangan dan bermotivasi. Apa yang penting, rasakan itu sedikit dan masih ramai di luar sana yang jauh lebih berat dan panjang senarai kerjanya, dan cemerlang. Dengan melihat seseorang yang lebih berjaya, kita akan terhindar dari sebarang perasaan ujub dan tertipu oleh Syaitan. Allahumma amen.

BERAPA RAMAI DOA?

Akhirnya, jika anda meninggal dunia kelak berapa ramai yang anda inginkan orang yang menyembahyangkan jenazah anda?. Sudah tentu kita inginkan lebih ramai bagi perolehi doa mereka.

Motivasikan diri anda bahawa kita tidak perlu terlalu bergantung kepada doa manusia yang hidup sahaja, malah kita juga boleh mendapat doa dari yang lain dari manusia berganda-ganda lebih ramai dan banyak.

Nabi s.a.w menyebut :-

إن اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السماوات وَالْأَرَضِينَ حتى النَّمْلَةَ في جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناس الْخَيْرَ

Ertinya : Sesungguhnya Allah, Malaikatnya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (Agama)" ( Riwayat At-Tirimizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sohih).

Al-Mubarakpufi berkata : maksud 'ilmu kebaikan' dalam hadis ini adalah ilmu agama yang dengannya manusia mendapat keselamatan di akhirat. ( Tuhaftul Ahwazi, 7/380).

Cukuplah hadis ini menjadi motivasi buat kita semua untuk berlumba-lumba mengajar kebaikan islam kepada orang lain. Pastikan anda telah pelajari dan fahami Islam dengan baik sebelum berbuat demikian.

Demikian coretan ringan saya yang tidak tersusun. Abaikanlah kelemahan bahasa buat sementara dan fokuskanlah kepada isi kandungannya, moga bermanfaat untuk dunia dan akhirat anda.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

HANYA CINTA SELAMATKAN BAHASA

PADA Rabu lalu ketika mengunjungi pejabat penerbit buku, Gramedia di Jakarta, penulis terserempak dengan Ajip Rosidi, sasterawan dan ahli bahasa yang tulisannya dikenali sejak tahun 70-an lagi. Penulis sendiri pernah membaca tulisan-tulisannya ketika di bangku sekolah dahulu.

Sementara menunggu di ruang tamu Gramedia itu, kami sempatlah berbual. Beliau sememangnya terkenal juga sebagai pejuang bahasa Sunda, iaitu bahasa tempatan di sebahagian daripada Pulau Jawa.

Atas usaha dan pengaruhnya maka kini sudah ada buku termasuk novel dalam bahasa Sunda. Menurutnya jikalau dahulu tidak ada bahan bacaan dalam bahasa Sunda, tetapi kini setelah diterbitkan buku-buku itu, maka dapatlah mereka yang mahu terus mempertahankan bahasa Sunda memperoleh bahan bacaan. Dengan adanya buku, maka hiduplah bahasa itu.

Katanya, satu masa dahulu, generasi lama mengeluh kerana anak-anak muda tidak tahu lagi bahasa Sunda. Tetapi anak-anak muda pula menyatakan bahawa bagaimana mereka hendak mempertahankan bahasa itu kalau tidak ada bahan bacaan untuk ditatap.

Maka ada pencinta bahasa Sunda yang berusaha menerbitkan buku dalam bahasa itu supaya ia terus kekal. Buku itu tentunya tidaklah mendatangkan keuntungan. Ia diterbitkan atas kecintaan terhadap bahasa. Begitu juga dengan pembeli atau pembaca buku itu. Mereka membaca bahasa Sunda itu atas kecintaan terhadapnya, bukan kerana wang atau kekayaan.

Menurut beliau lagi, bila dikira-kira setiap satu hari tiga bahasa di dunia ini pupus. Sememangnya banyak bahasa suku kaum yang pupus kerana penuturnya meninggal dunia dan anak-anaknya pula tidak lagi menggunakan bahasa itu.

Tetapi apa yang hendak dihairankan. Bahasa-bahasa besar seperti Latin dan Sanskrit juga pupus. Namun begitu, ada juga bahasa yang hampir pupus tetapi dapat disegarkan kembali. Antaranya ialah bahasa Ibrani atau bahasa Yahudi. Atas kecintaan mereka terhadap bahasanya, maka bahasa itu terus hidup walaupun lebih banyak orang Yahudi yang menutur bahasa Inggeris dan bahasa Eropah lain.

Sasterawan veteran itu juga menyatakan bahawa kalau dulu perjuangannya untuk bahasa daerah iaitu bahasa Sunda itu dibuat adalah dalam konteks bahawa rakyat Indonesia ketika itu yang semakin banyak menggunakan sepenuhnya bahasa Indonesia telah meninggalkan bahasa daerah masing-masing.

Tetapi kini yang patut diperjuangkan adalah bahasa nasional itu sendiri. Ini kerana bukan saja bahasa daerah yang diancam kepupusan, malah bahasa nasional sendiri telah ditekan dan dipinggirkan atas asakan bahasa Inggeris.

Mempelajari

Di dunia hari ini manusia memerlukan bahasa Inggeris untuk hidup senang dan berdaya saing. Tetapi mereka mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris bukanlah kerana mencintai bahasa itu. Bahasa Inggeris dipelajari kerana kecintaan kepada wang, ilmu, kemajuan dan kemakmuran diri, keluarga, bangsa dan negara.

Kalau dahulu bahasa nasional diperjuangkan untuk jati diri, kemerdekaan dan pembinaan negara, kini mengusai bahasa Inggeris adalah untuk pembangunan dan daya saing bangsa.

Maka di Indonesia, banyak orang terutama golongan elit sudah menggunakan bahasa rojak. Papan-papan tanda juga sudah banyak dalam bahasa Inggeris. Dulu semangat nasionalisme dan patriotisme menjulang Bahasa Indonesia. Tetapi kini kekuatan Bahasa Indonesia akan akhirnya bergantung kepada kecintaan terhadap bahasa itu.

Bagi sasterawan veteran itu, pemerintah Indonesia tidak mengambil perhatian tentang pembangunan Bahasa Indonesia.

Sementara Malaysia, kerajaannya dilihat terus memperjuangkan Bahasa Malaysia. Tetapi perkara ini mula dilihat kerana kedudukan orang Melayu yang berasa terancam dengan kekuatan ekonomi kaum Cina.

Sememangnya antara syarat perjuangan kemerdekaan Malaya dahulu oleh nasionalis Melayu adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia merupakan syarat yang tidak ada tolak ansurnya. Bahasa Melayu dilihat sebagai tonggak kepada jati diri Melayu dalam Tanah Melayu atau Malaya.

Tetapi dari segi praktikal sememangnya bahasa Melayu wajar menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Ia adalah lingua franca bagi penduduk-penduduk Malaya. Seperti juga hujah ketika bahasa Melayu dijadikan Bahasa Indonesia walaupun penutur bahasa Jawa adalah paling banyak di negara itu. Bahasa Melayu dipilih kerana ia merupakan lingua franca bagi kepulauan Indonesia.

Maka sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bahasa kebangsaan dikenali sebagai bahasa Melayu. Cuma tulisan yang dipilih adalah rumi dan bukan jawi untuk bahasa kebangsaan. Ia adalah selaras dengan apa yang berlaku di Indonesia dan keinginan supaya bahasa Melayu digunakan dengan mudah oleh kaum-kaum selain Melayu.

Bahasa Melayu juga dianggap sebagai bahasa penyatuan bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaya. Di Indonesia namanya ialah Bahasa Indonesia kerana Melayu hanyalah salah satu daripada kaum di republik itu. Bahasa itu sudah dianggap sebagai bahasa Indonesia dan bukan bahasa Melayu.

Tetapi di Tanah Melayu, tidaklah namanya menjadi Bahasa Malaya. Ia kekal sebagai bahasa Melayu. Lagipun nama negara dalam bahasa Melayu adalah Tanah Melayu. Dalam bahasa Inggeris barulah disebut Malaya. Bahasanya ialah Malay.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, maka difikirkan wajar nama bahasa kebangsaan itu menjadi Bahasa Malaysia. Ia bukan bahasa bagi orang Tanah Melayu saja tetapi juga bagi Sabah dan Sarawak. Maka seperti di Indonesia, bahasa Melayu pun dinamakan Bahasa Malaysia.

Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan banyak bahasa kebangsaan di dunia terancam dengan bahasa Inggeris. Hanya kecintaan padanya akan menyelamatkan bahasa itu.

JIWA SENI JAHITAN SAIFUDDIN



SAIFUDDIN mula mahir menjahit pakaian seawal usia 10 tahun

Melihat dia mengingatkan aku akan Manikam Kalbu & Ziyad
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Foto AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

PERTAMA kali bertemu dengan remaja ini, perkataan segan tidak lekang dari bibirnya. Segan, katanya kerana tidak pernah wartawan menemuramah dirinya sebelum ini dan segan juga kerana wajahnya tidak kacak.

Sifat peribadinya yang malu-malu itu dan bercakap penuh sopan membuatkan saya tidak ragu-ragu mengatakan dia seorang remaja yang suka merendah diri.

Sebenarnya jika tidak mengenali Saifuddin Abdul Rahim yang belum menginjak usia 18 tahun ini, dia mungkin dianggap seorang remaja biasa apabila berselisih dengannya di jalanan.

Tetapi di sebalik tubuh fizikal yang kecil itu, tersimpan banyak rahsia mengenai bakat yang dimiliki dalam diri anak keempat daripada enam beradik itu.

Ini kerana jarang benar dapat berjumpa anak muda seawal usia Saifuddin yang mahir menjahit baju dan mampu menghasilkan beg sendeng serta dompet.

Mula menjahit pada usia 10 tahun, Saifuddin kini ibarat pejam mata untuk menjahit baju kurung moden, baju kurung Pahang, baju kebaya, blaus, jubah, baju kemeja lelaki, seluar lelaki, baju melayu cekak musang dan baju melayu Johor.

Lebih menarik, identiti remaja yang suka tersenyum ini apabila dia gemar memakai seluar batik panjang yang dihasilkannya sendiri.

“Memang dari kecil asyik tengok bapa menjahit dan pada masa tolong apa yang patut di kedai jahit bapa. Tetapi lama kelamaan timbul perasaan seronok apabila sudah boleh menjahit.

Cabang seni

“Menjahit adalah satu cabang seni yang unik kerana jika mood tidak timbul ketika hendak menjahit, hasil sentuhan pasti tidak mendatangkan kepuasan kepada tukang jahit itu,” katanya ketika ditemui di kedai jahit bapanya, DN Apparel di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju itu, dia tidak malu menjadikan bidang jahitan sebagai satu profesion yang kebiasaannya dikuasai golongan wanita.

Malah peminat fanatik Tan Sri P.Ramlee itu mengakui belum pernah pula dia terdengar kutukan atau sindiran yang diterima daripada rakan-rakan sebayanya.

“Sebaliknya, ramai kawan saya yang selalu
menyuruh saya mengubah suai seluar mereka dan menggalakkan saya meneruskan kemahiran ini.

“Sebenarnya bidang jahitan ini bukan untuk kaum wanita semata-mata tetapi lebih kepada jiwa seni yang terdapat pada diri individu,” katanya yang turut memiliki kemahiran bermain gitar dan keyboard.

Ditanya tentang aktiviti lapangnya, seperti remaja lain kata Saifuddin, dia gemar jamming di studio yang terletak berdekatan dengan kedai jahit bapanya.

Malah tanpa ragu-ragu, dia menyerlah jiwa seni yang berbeza apabila memberitahu gemar kepada genre muzik seperti post-punk.

“Saya minat muzik seperti kumpulan Cool Play, The Beatles dan The Velvet Underground.
“Saya juga lebih selesa memakai seluar jeans koyak apabila keluar bersantai dengan rakan-rakan,” katanya yang terus kekal dengan sifat malu yang mendalam.

Tambahnya lagi, dia sebenarnya tidak kisah cara pemakaian dirinya sebaliknya lebih mementingkan pakaian pelanggan agar mereka nampak cantik dan kemas.

Mengenai koleksi beg sendeng dan dompet yang dihasilkan sendiri, Saifuddin berkata, dia menggunakan aksesori itu sebagai kegunaan peribadi dalam rutin hariannya.

Namun remaja yang memiliki ketinggian 156 sentimeter dan berat 45 kilogram itu tidak berminat untuk menjualnya sebagai produk komersial.

“Seganlah. Saya tidak yakin orang akan beli nanti,” katanya yang bakal menyambut hari jadi ke-18 pada 31 Disember ini.

Menyimpan cita-cita ingin menjadi orang kaya yang dermawan satu hari nanti, Saifuddin ditanya siapakah idolanya dalam dalam bidang jahitan itu.

“Bapa saya, Abdul Rahim Abdul Razak yang kini berusia 56 tahun dan lebih 30 tahun menjadi tukang jahit,” katanya yang sudah memohon menyambung belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang perakaunan dan perbankan.


MUDA, KAYA DAN BERPENGARUH

PENGASAS facebook, Mark Zuckerberg juga merupakan orang muda paling kaya di dunia.
Oleh HAFIZAHRIL HAMID

ENJADI kaya pada usia muda adalah sesuatu yang menjadi impian hampir semua orang walaupun mungkin episod itu telah lama berlalu. 

Sememangnya kekayaan menjadi kayu pengukur utama kebanyakan kita dalam menilai kejayaan seseorang.
Dalam erti kata lain harta, kereta yang dipandu, saiz rumah yang diduduki menjadi pengukur status dan kejayaan di mata orang lain. 

Namun waima apapun menjadi kaya dan bergelar bilionair pada usia muda adalah saat hidup paling bermakna dan boleh kita kategorikan umpama bulan jatuh ke riba. 

Sudahlah muda, kaya, menjadi tumpuan dan dikenali ramai. Bukankah itu antara impian yang pernah diangankan kebanyakan kita ketika masih muda remaja. 

Namun hakikat hidup yang sebenar meletakkan kita berada pada kehidupan sekarang dan apabila usia semakin lanjut kita sudah semakin mampu menerima kenyataan bahawa hanya beberapa orang yang terpilih sahaja yang diberikan peluang sedemikian.

Memang kalau diikutkan senarai, ramai di antara orang muda ini disenarai terkaya namun ia bukan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Dilahirkan dalam dulang emas dan dengan kekayaan yang begitu banyak mereka hanya perlu membuat pelaburan bijak untuk terus kekal kaya.

Antara mereka adalah putera raja dari Jerman berusia 26 tahun Prince Albert von Thurn und Taxis yang memiliki kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion). 

Beliau telah dimasukkan dalam senarai orang terkaya sejak berusia lapan tahun namun hanya benar-benar mewarisi kekayaan ketika berusia 18 tahun.

Selain itu pewaris diraja Abu Dhabi turut membuat penampilan dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$4.9 bilion (RM15.6 bilion). Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahayan, 39, membuat kejutan utama apabila membeli kelab bolasepak Manchester City dua tahun lepas sebelum membeli pemain-pemain terbaik dunia pada peruntukan lebih AS$ 1 bilion.

Dalam majalah Forbes baru-baru ini ada menyenaraikan 400 orang terkaya di Amerika Syarikat (AS). Seperti biasa bekas manusia terkaya dunia Bill Gates yang juga pemilik Microsoft mendahului senarai dengan himpunan kekayaan AS$54 bilion (RM172.8 bilion).

Tempat kedua juga seperti biasa menjadi milik Warren Buffett melalui Berkshire Hathaway Inc. dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$45 bilion (RM144 bilion).

Berdasarkan senarai terbaru orang terkaya di AS, lapan dari mereka adalah orang muda yang berusia di bawah 40 tahun.

Menarik untuk diperkatakan lima dari mereka yang muda dan kaya di AS terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan Internet.

Pastinya yang paling menarik perhatian ialah pengasas bersama dan pemilik facebook, Mark Zuckerberg. Beliau juga merupakan bilionair termuda dalam senarai bersama dengan Dustin Moskovitz. 

Kedua-dua mereka baru berusia 26 tahun namun jumlah kekayaan Zuckerburg adalah AS$6.9 bilion (RM22 bilion) dan Moskowitz bernilai AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion).

Seorang lagi pengasas bersama facebook Eduardo Saverinz turut tersenarai antara bilionair termuda dengan harta berjumlah AS$1.15 bilion (RM3.6 bilion). 

Mungkin ada yang bertanya kenapa jumlah kekayaan mereka tidak sama. Ini berlaku akibat dari pegangan saham yang berbeza antara mereka bertiga iaitu Zuckerberg memegang saham dalam facebook bernilai 24 peratus, Moskowitz dengan pegangan enam peratus dan dan Saverinz pula bernilai lima peratus. 

Seorang lagi pengasas bersama facebook adalah Chris Hughes. Namun keempat-empat bekas kawan baik ini tidak lagi bersama di dalam syarikat facebook kecuali Zuckerburg. Kisah mengenai kejayaan facebook ini merupakan satu mimpi yang menjadi realiti indah kepada empat sekawan ini. 

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada empat Februari 2004. 

Pada asalnya facebook adalah untuk kegunaan sesama pelajar di universiti berkenaan. Namun kemudian beliau bersama Moskovitz mula menyebar penggunaan facebook ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale

Mengambil keputusan tidak menamatkan pengajiannya, Zuckerberg kemudian berpindah ke Palo Alto di California bersama Moskovitz dan beberapa rakan yang lain untuk menyewa sebuah rumah kecil untuk dijadikan pejabat. 

Beliau kemudiannya berjumpa dengan Peter Thiel yang membuat pelaburan yang besar dalam syarikat berkenaan.

Pada Julai lepas Zuckerberg membuat pengumuman bahawa pengguna facebook kini telah mencecah 500 juta orang satu kejayaan besar yang turut membantu beliau disenaraikan sebagai bilionair termuda di dunia.
Lumayan

Selain itu bilionair dari Silikon Valley lain yang membuat keuntungan lumayan melalui Internet adalah pengasas dan pemilik Google iaitu Sergey Brin dan Lawrence Page.

Syarikat ini yang bermula sejak tahun 2006 sebagai kajian projek oleh Brin dan Page ketika melanjutkan pengajian di peringkat Phd di Universiti Stanford.

Namun kini ia merupakan sebuah syarikat yang sangat menguntungkan dengan aset dan tunai keseluruhan mencecah AS$80 bilion (RM256 bilion) dan jumlah pekerja sebanyak 21,805 orang.

Sergey Brin dan Larry Page kini mempunyai kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM48 bilion) setiap seorang pada usia hanya 37 tahun.

Bagi kategori wanita muda paling kaya pula senarainya tidaklah seramai lelaki namun menunjukkan peningkatan kepada lapan berbanding dua pada 2008.

Namun kebanyakan mereka ini mewarisi kekayaan dari keluarga dan bukannya melalui hasil titik peluh sendiri.

Contoh terbaik adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri. Hind Hariri yang kini berusia 26 tahun mempunyai harta yang diwarisi bernilai AS$1.2 bilion (RM3.8 bilion). Pada tahun lepas beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan Anas Karout.

Selain itu tiga adik beradik bilionair media dari Turki, Aydin Dogan dan isterinya Sema Isil Dogan tersenarai antara wanita muda paling kaya di dunia.

Ketiga-tiga mereka Vuslat Dogan Sabanci, 39, Hanzade Dogan Boyner, 38, dan Begumhan Dogan Faralyali, 33, walaupun dilahirkan dalam dulang emas namun mereka berjaya membuktikan kejayaan adalah hasil dari pendidikan dan kebolehan serta dibantu dengan kekayaan keluarga.

Namun bagi wanita muda yang berjaya menjadi bilionair dengan usaha sendiri, sememangnya pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan menjadi rencah kejayaan mereka sekarang.

Salah seorang ialah Chu Lam Yiu dari Hong Kong yang mencipta kekayaan melalui perniagaan bahan-bahan pewangi dan perisa untuk bahan pencuci, minuman, produk tenusu, kosmetik dan juga rokok.

Beliau yang berusia 39 tahun masih mengetuai perniagaan yang ditubuhkan sejak 12 tahun lepas dan kini mempunyai kekayaan bernilai AS$2.1 bilion (RM6.7 bilion).

Seorang lagi contoh wanita muda yang menjadi kaya hasil dari usaha sendiri adalah Taysha Smith-Valez yang menjadi kaya hasil dari pelbagai cabang perniagaan dalam bidang kecantikan.

Valez yang baru berusia 28 tahun juga mempunyai gedung membeli belah sendiri yang dikenali sebagai H.Couture Beauty.

Selain itu beliau juga memiliki beberapa konglomerat iaitu TSV-HBGgroup Inc, TrimyTAY - Telecom Inc.(IBC), dan TAY-SHA S. Valez de Ames Ltd. 

Beliau pernah menerbitkan sebuah buku bertajuk Young Black Millionairess: How to Start a Million Dollar Business, yang diterbitkan pada 2005 selain sebuah majalah paling mahal di dunia iaitu Trillionairess Weekly yang berharga AS$129 senaskah.

Majalah berkenaan yang dikeluarkan dua minggu sekali hanya fokus kepada percutian mewah dan disasarkan kepada orang kaya dan ternama.

Namun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang Valez malah jumlah kekayaan juga tidak diketahui kerana beliau lebih senang tidak terlalu menonjol kepada umum.

BAHAYA UBAT TAHAN SAKIT

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

APA yang anda lakukan andai mengalami sakit kepala atau lenguh-lenguh badan berpanjangan? Terus-terang ramai daripada kita mengambil jalan mudah dengan mendapatkan ubat biasa yang dijual di kebanyakan farmasi atau kedai ubat tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Walaupun sedar ia bukanlah penyelesaian terbaik, namun ramai yang tidak kisah kerana menganggap keadaan tersebut tidak serius dan akan pulih dengan sendirinya.

Sakit kepala dan lenguh-lenguh biasa mungkin boleh diubati dengan ubat yang boleh didapati di farmasi dan kedai ubat. Namun jika berlarutan melebihi enam minggu, ia boleh diklasifikasikan sebagai sakit kronik yang memerlukan pengawasan doktor.

"Sakit kronik adalah keadaan yang kompleks dan pesakit seharusnya mendapatkan pandangan pakar di peringkat awal untuk perubatan yang selamat, efektif dan berkesan," kata Pengarah Klinik Pakar, Hospital Mount Elizabeth Singapura, Dr. Alex Yeo.

Sakit kronik menurutnya, didefinisi sebagai sakit yang melebihi enam minggu dan bersangkut dengan keadaan seperti artritis, sakit kepala berterusan, migrain, sakit belakang dan pergelangan yang kronik.

Kata beliau, banyak kajian melaporkan sakit kronik sebagai penyakit senyap yang sentiasa berlaku kepada masyarakat hari ini.

"Sakit sebegini walaupun ada kalanya dianggap remeh namun ia menjejaskan aktiviti harian termasuk kerja, tidur dan membuatkan seseorang tidak memberi perhatian sepenuhnya pada sesuatu tugasan atau menikmati hobi serta aktiviti yang lain," katanya.

Dr. Alex Yeo berkata demikian pada pembentangan satu kajian mengenai perubatan sendiri untuk sakit kronik di beberapa negara Asia di ibu negara baru-baru ini.

Menurut beliau, kajian tersebut mendapati kira-kira 60 peratus individu yang menderita sakit kronik tidak mendapatkan rawatan sewajarnya malah mengambil langkah mudah dengan berubat cara sendiri.

Kajian melibatkan 1,220 pesakit kronik di China, Taiwan dan Thailand yang ditaja oleh Pfizer itu menunjukkan daripada pesakit yang tidak merujuk pakar, lebih 30 peratus tidak berbuat begitu kerana percaya mereka mampu menanganinya. Hanya lima peratus pesakit mengambil ubat tahan sakit.

Kata Dr. Alex, ubat tahan sakit biasa yang digunakan di seluruh dunia adalah ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs). Contoh-contoh ubat tersebut termasuk ibuprofein, diclofenac dan naproxen.

Sesetengah NSAIDs boleh diperolehi tanpa preskrip doktor dan mudah didapati di kaunter-kaunter.

Walaupun terdapat label pada ubat yang mengatakan ia untuk penggunaan jangka masa pendek, kebanyakan pesakit tidak menghiraukannya serta tidak sedar dengan risiko yang akan datang.

Beliau berkata, biar pun dos lebih rendah berbanding ubat preskripsi doktor, penggunaan ubat tersebut secara berpanjangan boleh menyebabkan kesan sampingan terutama berkaitan gastrousus dan juga masalah buah pinggang. Penyakit akibat penggunaan NSAIDs jangka panjang juga dikatakan agak serius dan boleh mengundang maut.

Berdasarkan kajian yang dijalankan kata Dr. Alex, lebih separuh daripada responden dari China dan Thailand serta suku responden di Taiwan mengaku mereka menggabungkan dua jenis perubatan iaitu alternatif dengan ubat preskripsi doktor atau ubat yang dibeli di kaunter.

"Juga lebih 70 responden menyatakan mereka biasanya lebih mempercayai perubatan alternatif berbanding perubatan moden dalam merawat sakit kronik.

"Ini berikutan kepercayaan perubatan alternatif kurang memberi kesan sampingan," katanya.

Dr. Alex berkata, hampir 30 peratus pesakit mengaku mereka mengalami kesan sampingan akibat pengambilan NSAIDs seperti gastrik dan sakit dalam perut.

Menurut beliau lagi, masalah kesan sampingan akibat penggunaan ubat tahan sakit berpanjangan bukan sahaja dialami penduduk Asia, malah ia berlaku di seluruh dunia.

Rawatan lebih selamat

Pembentangan tersebut turut mengupas mengenai penggunaan ubat preskripsi celecoxib dalam meredakan kesakitan artritis yang terbukti kurang berisiko terhadap usus berbanding lain-lain NSAIDs.

Keputusan itu berdasarkan kajian yang dijalankan di 32 buah negara melibatkan lebih 4,000 pesakit.

Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Chinese University of Hong Kong, Dr. Francis Ka-Leung Chan, kajian menunjukkan celecoxib mempunyai kadar empat kali kurang kesan terhadap usus berbanding NSAIDs lain.

"Keputusan kajian membantu pakar perubatan memilih rawatan yang bersesuaian untuk artritis berdasarkan ia selamat pada usus," kata beliau yang juga merupakan ketua kajian

MEREALISASI IRON MAN

 2010/10/02


SERBA BOLEH... dengan memakai XOS 2, semuanya menjadi ringan


KEKUATAN... tambahan membolehkan manusia dengan mudah mengangkat barangan berat.


RINGAN... pemakai tidak menghadapi masalah untuk bergerak dengan memakai eksorangka.



BEBAS... mempamerkan kemampuan menyepak bola



MUDAH... seorang jurutera menunjukkan kemampuannya memecahkan kepingan kayu dengan menggunakan tenaga daripada XOS 2.
IA boleh dianggap pakaian robotik yang akan membuatkan Robert Downey Jr, wira dalam filem Iron Man terkejut.

Menurut syarikat yang menciptanya, daya kekuatan si pemakai, baik untuk mengangkat mahupun menolak akan meningkat 17 kali ganda.

Dengan berat kira-kira 90 kilogram, Eksorangka XOS 2 dicipta oleh syarikat sistem pertahanan Raytheon yang yakin ia boleh digunakan dalam operasi pasukan tentera dalam tempoh lima tahun lagi.

Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, seorang jurutera kajian tidak berdepan masalah untuk memakai kelengkapan seberat 90 kilogram itu dan memecahkan serentak empat keping kayu setebal 2.54 sentimeter setiap satu.

XOS 2 berfungsi dengan mengepam cecair hydraulik panas menerusi rangka besi yang ‘mengambil alih’ berat daripada tubuh manusia.

Hasil kajian yang dilakukan terhadap kelengkapan itu, pakaian berkenaan mungkin boleh mula diguna pihak tentera dalam operasi mereka lima tahun lagi.

Naib Presiden Bahagian Operasi Raytheon-Sarcos, Fraser Smith berkata: “Daripada menggunakan mesin untuk melakukan kerja mengangkat, memunggah dan meletakkan barangan berat, penggunaan elemen kemanusiaan boleh menghasilkan kerja yang lebih tepat dan mengelak pembaziran di segi masa untuk membawa kren dan jentera lain.


“Pakaian berkomputer itu juga boleh dipakai seperti anggota tentera yang bertanggungjawab mengangkat dan memasang bom di bawah pesawat atau meletakkan senjata ke dalam setor atau trak untuk tujuan penghantaran.

“Dengan memakai kelengkan eksorangka itu sepenuhnya, ia akan memberikan seorang petugas kekuatan untuk mengangkat 22 kilogram bom sepanjang hari tanpa terasa penat atau lenguh.

“Apa saja yang manusia ingin lakukan, XOS akan menjadikannya lebih kuat.”
Keseluruhan sistem itu mendapat kuasa daripada enjin pembakaran dalaman kerana Raytheon memutuskan untuk tidak menggunakan bateri Litihim-ion terlalu hampir pada tubuh pemakai demi keselamatannya.

Kelengkapan itu juga boleh disambung pada sumber kuasa menggunakan kabel.

Smith berkata: “Sebahagian tugas memerlukan si pemakai disambung dengan kabel. Sebagai contoh, apabila si pemakai dikehendaki menyimpan atau memunggah peluru di kawasan sempit. Mereka boleh disambungkan dengan kabel pada sumber kuasa.”

“Apabila dipakai, eksorangka akan menyokong dirinya sendiri, menjadikan ia begitu ringan dan si pemakai akan merasakan beratnya sama seperti kot yang mereka pakai pada musim sejuk.

Model eksorangka, Rex Jameson berkata: “Saya hanya merasa memikul beban seberat lima kilogram apabila memakai pakaian seberat 90 kilogram itu. Apa yang lebih menyeronokkan saya ialah apabila memakainya saya langsung tidak merasa memikul sesuatu yang berat di belakang saya,”

Kerajaan Amerika Syarikat menerusi Agensi Projek Kajian Lanjutan Pertahanan membiayai kajian terhadap XOS-1 dengan perbelanjaan antara RM12.4 juta hingga RM24.8 setahun sepanjang lapan tahun.

Walaupun terdapat minat yang mendalam terhadap projek berkenaan, khususnya daripada tentera, pembiayaan kerajaan terhadap XOS-2 masih belum diluluskan.

Namun, Smith berkata: “Melengkapkan anggota tentera dengan eksorangka tidak boleh dielakkan lagi. Ia kini amat diperlukan dan saya percaya pihak tentera kini mengkajinya sebagai satu pilihan terbaik dalam usaha menangani beberapa masalah yang mereka hadapi ketika ini.

“Dengan komitmen berterusan, eksorangka ini boleh digunakan dalam masa lima tahun.”


KEPUTUSAN AMAT TEPAT

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
2010/10/02




SEMUA orang ternanti-nanti keputusan ujian DNA kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang akan merungkai seribu satu persoalan mengenai misteri cebisan tulang yang ditemui di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

TEPAT... profil DNA yang siap diproses.

RUMIT... sampel DNA sedang diasingkan dalam makmal kimia.

Itu kes membabitkan jenayah. Mungkin ada pembaca yang masih ingat pertelingkahan antara dua petani di Pasir Puteh, Kelantan pada 2007 antara Zulkifli Setafa dan Isa Mohamad yang berebutkan anak kerbau jantan berusia tiga tahun. Kedua-dua petani sanggup membayar RM1,500 seorang untuk ujian DNA bagi menentukan pemilik sebenar anak kerbau berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1,500!

Ia adalah kes pertama ujian DNA ke atas haiwan ternakan untuk membuktikan pemilik dilaporkan di negara kita kerana tiada orang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk seekor anak kerbau kerana kos bagi ujian berkenaan boleh membeli dua ekor anak kerbau pada usia yang sama.

Istilah ujian DNA meniti di bibir masyarakat kita - hasil sumbangan peningkatan kes jenayah dan lambakan siri drama penyiasatan yang ditayangkan di televisyen. Namun tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan DNA dan ujian DNA itu? DNA ialah singkatan kepada asid deoksiribonukleik, satu molekul penting bagi semua sel hidup.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Pasca Siswazah), Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Dr Zafarina Zainuddin, DNA ialah sejenis molekul yang terdapat dalam semua sel, kecuali sel darah merah. Ia adalah molekul yang menyimpan kod genetik yang menentukan semua ciri-ciri manusia seperti warna kulit, mata, jenis rambut dan sebagainya.

DNA dalam semua jenis sel dalam satu individu adalah sama. Ini bermakna, DNA dari air liur, rambut, darah atau air mani adalah sama bagi setiap orang. Bukan manusia saja yang mempunyai DNA malah semua organisma hidup termasuk tumbuhan, haiwan dan bakteria juga mempunyai DNA. Ia adalah molekul asas yang sangat penting dalam semua organisma hidup.
Menariknya, DNA bagi setiap individu di atas muka bumi ini adalah unik iaitu berbeza antara satu sama lain kecuali bagi kembar seiras. Inilah sebabnya ujian DNA digunakan dalam penyelesaian banyak kes jenayah atau bagi penentuan keturunan khususnya untuk kes perebutan anak (yang tidak diketahui bapanya) seperti kerap terjadi di negara Barat.

Teknik ujian DNA mula dilaporkan oleh Sir Dr Alec Jeffreys dari Universiti Leicester, England pada 1984 dan kini menjadi asas kepada data DNA kebangsaan sesebuah negara. Kaedah yang dipelopori Dr Jeffreys ini kemudiannya dikomersilkan (sesiapa boleh mendapatkan ujian ini) pada 1987 apabila syarikat kimia, ICI, membuka pusat ujian darah di England.

Apa yang dimaksudkan dengan profil DNA? “Profil DNA adalah hasil yang diperoleh daripada analisis ke atas DNA seseorang. Ia seperti kod bar (bar code) pada setiap barang di pasar raya di mana setiap kod akan mengenalpasti barang yang berbeza.

“Profil DNA yang terhasil adalah dalam bentuk nombor dan setiap individu akan mempunyai kombinasi nombor yang berbeza. Nombor-nombor ini mewakili alel (gen) tertentu bagi setiap individu,” kata Dr Zafarina.

Jenis ujian DNA

Dr Zafarina berkata sel yang mempunyai nukleus dari semua bahagian daripada badan kita boleh dijadikan sampel dalam ujian DNA. Ujian DNA ada beberapa jenis. Bagi kegunaan forensik, ujian DNA yang dilakukan ialah:

1. Ujian autosomal STR (ulangan tandem atau aturan pendek): Ujian ini sangat khusus bagi pengenalpastian individu. Setiap profil yang diperoleh melalui kaedah ini adalah unik di mana tidak ada dua individu berbeza akan mempunyai profil yang sama, kecuali kembar seiras.

2. Y-STR: Ujian ini bagi mendapatkan profil lelaki terutamanya dalam sampel yang bercampur. Kaedah ini akan dapat mengenalpasti profil lelaki, contohnya dalam kes rogol di mana lelaki berkenaan meninggalkan sisa-sisa air mani di dalam vagina (faraj) mangsa.

Walaupun persekitaran vagina mengandungi lebih banyak sel-sel mangsa (wanita) tetapi kaedah ini masih dapat mengenalpasti profil lelaki atau perogol berkenaan kerana ia khusus kepada kromosom Y; iaitu kromosom yang hanya terdapat pada lelaki. Kromosom ialah satu struktur seakan benang yang mengandungi maklumat genetik.

Kaedah ini juga dapat membantu mengenalpasti individu yang hilang melalui perbandingan dengan profil ayah, saudara lelaki atau sepupu lelaki dari sebelah ayah (anak bapa saudara dari datuk yang sama). Ia juga dikenali sebagai ujian bagi mengenalpasti individu melalui keturunan sebelah bapa.

3. Mitokondria DNA: Kaedah ini biasanya digunakan apabila kaedah autosomal STR gagal memberikan profil. Ia biasanya berlaku apabila sampel biologi yang diuji terlalu sedikit, sudah terlalu lama terdedah ke persekitaran yang ekstrem (keterlaluan); terbakar teruk atau sampel yang sudah lama.

Jumlah DNA mitokondria yang banyak dalam sel dan jenis DNA ini yang lebih tahan lasak berbanding autosomal DNA, membolehkan ia menjadi harapan terakhir dalam mengenalpasti individu melalui ujian DNA.

Berbeza dengan Y-STR, mitokondria DNA adalah ujian pengenalpastian menggunakan keturunan sebelah ibu. Setiap individu dari keturunan ibu yang sama, akan mempunyai profil DNA mitokondria yang sama.

Contohnya saudara (adik beradik) dari ibu yang sama, sepupu (anak ibu saudara) dari nenek yang sama. Ujian ini sesuai digunakan untuk mengenalpasti individu yang hilang, terutamanya apabila kualiti dan kuantiti sampel yang ditemui tidak mengizinkan untuk ujian DNA lain.

Bagaimana pula dengan kes perebutan anak kerbau jantan yang disebut di atas? Adakah ia juga menggunakan kaedah yang sama?

Ujian yang dilakukan sama saja dengan ujian DNA dalam forensik. Kedua-duanya menggunakan kaedah autosomal STR. Cuma kit yang digunakan adalah khusus kepada lembu; sedangkan untuk manusia, kit yang digunakan adalah khusus untuk manusia.

Maknanya, sekiranya sampel darah yang ditemui adalah milik haiwan seperti monyet atau orang utan, profil DNA tidak akan diperoleh apabila menggunakan kit yang khusus untuk manusia dan sebaliknya.

Siapa yang boleh melakukan ujian DNA? Bagaimana ia dilakukan?

Menurut Dr Zafarina yang juga merupakan pakar rujuk DNA forensik bagi Polis Di Raja Malaysia (PDRM), ujian DNA boleh dilakukan di mana-mana makmal yang menawarkan perkhidmatan ini. Ujian ini dimulakan dengan kaedah pengesktrakan DNA daripada sampel menggunakan kaedah Reaksi Rantaian Polimerase (Polymerase Chain Reaction).

Kaedah ini sama seperti mesin fotostat bagi mendapatkan jumlah DNA yang lebih banyak supaya boleh dianalisis). Dari sini, DNA kemudiannya akan melalui kaedah elektroforesis iaitu pemisahan DNA di dalam media polimer dengan menggunakan voltan elektrik yang tinggi dan seterusnya analisis keputusan menggunakan perisian khusus.

“Memang kaedahnya agak rumit dan namun hasil ujian DNA sangat tepat. Profil DNA yang didapati melalui kaedah autosomal STR memberikan keputusan 99.9 peratus tepat dalam pengenalpastian seseorang individu.

“Bagaimanapun kualiti profil juga dipengaruhi oleh kualiti sampel. Justeru itu kualiti sampel sangat penting dalam ujian DNA. Sampel yang bercampur-campur akan memberikan profil yang bercampur juga dan dalam keadaan begini, kita memerlukan bantuan perisian yang lebih canggih untuk menentukan profil setiap individu yang terbabit.

“Sampel yang sudah terlalu lama, rosak, terbakar dan sebagainya memerlukan masa yang lebih panjang untuk memperoleh profil DNA kerana beberapa langkah untuk mendapatkan DNA dalam keadaan yang paling optimum (sesuai atau baik) perlu dibuat.

“Berapa cepat keputusan ujian DNA boleh dikeluarkan juga bergantung kepada kualiti dan kuantiti sampel. Jika sampel segar contohnya darah segar, hasil ujian boleh diperoleh dalam tempoh kurang 48 jam. Seperti yang diterangkan, jika sampel sudah lama, kualiti terjejas, rosak atau terbakar maka lebih lamalah masa yang diperlukan,” katanya.

Di Malaysia, siapa yang boleh menjalankan ujian DNA? Setakat ini hanya ada dua makmal saja yang menawarkan ujian DNA. Ujian DNA untuk kes jenayah hanya boleh dilakukan di makmal di Jabatan Kimia Malaysia.

Unit HID/DNA di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) juga menawarkan ujian DNA tetapi bagi kes yang membabitkan pengenalpastian identiti seperti yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran sebelum mendapat kad pengenalan atau taraf kerakyatan, atau kes-kes peribadi yang tidak membabitkan undang-undang.

“Bidang kajian genom termasuklah ujian DNA adalah bidang yang sangat menarik dan mempunyai banyak ruang untuk diterokai. Kita masih kekurangan pakar dalam bidang ini.

“Antara kelayakan yang diperlukan untuk menjadi salah seorang da
ripada kumpulan penyelidik atau penganalisa ialah Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains hayat sama ada sains forensik, genetik, biokimia dan sebagainya. Selain itu mereka juga perlu mendapat latihan khas dalam bidang DNA forensik sebelum boleh diiktiraf sebagai penganalisa,” katanya.