Saya seorang suri rumah. Alunan al-Quran dari masjid
berdekatan menjadi jam loceng untuk saya jadi manusia paling gagah melipat
selimut dan mengucapkan selamat tinggal kepada mimpi yang fana.
Suami saya sudah lama memenuhi panggilan Ilahi. Dia pergi
meninggalkan saya mencari sesuap rezeki demi meneruskan kehidupan bersama
anak-anak saya yang masih di bangku persekolahan.
Hari saya bermula dengan tahajud, pembuka hari paling ampuh
untuk memberi kekuatan meneruskan saki baki kehidupan. Kemudian saya ke dapur,
memasak nasi dalam periuk elektrik yang dibeli oleh anak saya sesudah dua
periuk sebelum ini rosak.
Dan saya akan berjalan bertemankan lampu jalan ke masjid. Anak-anak
saya semuanya sudah besar. Masih belajar dan ada yang sudah bekerja. Usai solat
dan menghabiskan satu maqra’ surat cinta-Nya, saya pulang ke rumah. Memastikan anak
saya sudah bangun menunaikan solat
subuh.
Anak muda sekarang makin lama makin jauh dari masjid. Dunia mereka jauh
dari rahmat Tuhan. Mereka hanya mimpikan kesenangan bersimpuh di kaki. Mereka ah..sulit
sekali mengerti dunia ini hanya persinggahan menuju dunia akhir. Mereka hanya tahu rm27 lebih banyak dari rm1, namun mereka lupa pahala 27 berjemaah lebih banyak dari solah keseorangan. Hanya 1 pahala. Sedang pahala itu duit akhirat, yang dunia kekal di dalamnya nanti.
Dan saya mengisi perut, bekal untuk melawan terik mentari
dan bukit-bukit yang dia atasnya tumbuh sumber rezki saya. Saya pastikan
sebelum pergi, saya solat dhuha 2 rakaat, rutin yang tak pernah saya tinggalkan
selagi nyawa masih di kandung badan.
Sambil berjalan ‘menyembah’ pohon yang mengeluarkan susu,
saya membaca Yasin, bekal keseorangan dalam hutan yang saya tahu saya tak
keseorangan. Saya berkongsi kurniaan Tuhan ini dengan haiwan yang setiap masa
bertasbih kepada Pemilik Alam dengan bahasa yang tersendiri. Malulah saya jika
tak mampu berzikir kepada-Nya. Taraf saya akan jatuh sama atau mungkin lagi
teruk berbanding mereka.
Saya ditaklifkan khalifah. Saat semua ciptaan menolak
memegang amanah, saya mengatakan Ya! Allah itu Tuhan saya.
Saya pulang saat mentari tegak di puncak langit, peritnya
memamah kepala. Namun, demi memikirkan anak-anak memerlukan ‘kertas’ bernilai
itu, saya kuatkan semangat. Saya turuni lurah dengan hati-hati, takut berat
saya yang makin bertambah ini bakal membuatkan kaki saya tergelincir dan saya
naiki bukit, mampu sampai di puncak setelah beberapa kali berhenti di hentian
angkara lelah. Saya kuatkan hati, sabarkan semangat kerana saya tahu saya ada
penyakit darah tinggi yang akan memamah kudrat saya jika saya cepat naik darah.
Sambil-sambil berselawat, saya atur langkah sejauh hampir 2km dengan terik
suria tepat di ubun-ubun.
Saya singgah di sungai. Airnya sejuk untuk membersihkan sisa
susu putih yang masam yang beberapa hari membeku di situ. Saya jentik beberapa
ekor pacat gemuk yang tanpa segan mencuri darah saya. Gatal kesannya mampu
membuatkan saya tergaru-garu untuk beberapa hari. Air terjun ini pertengahan antara bukit yang
saya daki dan turuni. Inilah nikmat, memujuk badan setelah letih mengitari
bukit, meraih sesuap rezki.
Mampukah anak saya mengerti semua ini?
Saya tidak tahu.
Yang saya tahu, saya telah melaksanakan amanah-Nya,mendoakan
mereka agar mereka berjalan di atas hidayah dan jauh dari hanyut dari dunia
yang makin hari makin mencengkam. Saya hanya mampu berdoa agar mereka bahagia
di dunia fana dan jua di dunia akhir. Usaha saya hanya sampai di sini,
selebihnya apakah mereka mahu berubah, menyedari fatamorgana ini bakal berakhir
bila-bila waktu saja.
Izrail tak pernah lelah menjenguk 70x sehari. Dan tak
semestinya hanya tandan tua yang rebah ditarik graviti, kdang mungkin tandan
muda yang disambar petir sedang tandan dua masih gagah berpaut!
Saya hanya mampu berdoa kerana saya tahu doa akan terjawab
dengan pelbagai cara :
1. Dimakbulkan
seperti yang dipinta
2. Digantikan
dengan yang lebih baik
3. Dijawab
di akhirat dengan nikmat yang tak mampu terfikir oleh diri
Kerana saat Tuhan itu boleh diramal, maka Dia bukan lagi
Tuhan!
No comments:
Post a Comment