Tuesday, November 30, 2010

AWAKEN

Menjadi seorang pelajar pada usia setahun jagung tidak mudah, tapi hakikatnya itulah kehidupan. Jalanannya tak pernah lurus. Saat kita melihat ke hadapan seringkali ‘The Road Not Taken’ melambai dengan pandangan menggamit. Aku tak mampu memecah bahagian kehidupan menjadi pecahan semat-mata untuk mencuba melalui semuanya. Hidup ialah jalan lurus yang tak punya U turn, saat kau memilih jalan A, kau takkan mampu melalui jalan B atau C. Itu hakikat yang harus ditelan.

Saat kau melangkah bergelar pelajar sebuah universiti berprestij, mata-mata akan memandang tinggi tingkahmu. Saat kau tidak pernah mendambakan harapan dan impian, mereka meletakkan pandangan yang cukup tinggi yang kadang kau tak berdaya menanggung. Mereka hanya melihat ‘tip of iceberg’ iaitu ‘result’ sedang kau berhempas pulas melakukan ‘effort’ untuk membutirkan ‘result’ yang takkan mampu memenuhi harapan tinggi yang tergalas pada diri.

Mereka takkan mampu membilang keringat membutir di dahi atau air mata yang saban waktu mengalir saat sumur pilumu melimpah. Mereka takkan mengerti betapa jalananmu kadang goyang diganggu angin tekanan atau ombak rasa kadang meresahkan. Mereka takkan mampu mengerti itu. Yang mereka tahu, kau kuat, mampu melangkah ke puncak. Kau hebat, mampu menggenggam pingat jaya. Itu sahaja ‘tip of the iceberg’ yang mampu mereka lihat sedang kau berhempas pulas mengawal diri dalam tenaga yang bersisa rasa yang bergelora saat teruji.

Saat kau membilang beberapa ‘kalau’ yang melintas, kau takkan mampu menghabiskan patah ayat itu. ‘Kalau’ itu kalimah yang harus kau lupakan dan kuburkannya seolah kau tak pernah memikirkan. Tuhan telah memilih dan kau yang terpilih, dengan itu saat Tuhan menguji dan kau yang teruji, kau harus tempuhinya kerana ini takdirmu. Ini jalanmu dan ini sesuai dengan dirimu.

Saat kau membisikkan pada diri ‘dont ever, ever give up’ saat itu dunia rebah di kakimu dan seluruh makhluk berdoa pada kekuatanmu dan kau bangkit dengan semangat dan impian padu dengan hanya satu ungkapan ‘saat keazaman menggunung, lautan api pun takkan mampu menjadi penghalang. Langkahmu teratur dengan penuh keyakinan di dada, hidup bukan impian sedang akhirat ialah tempat tujuan. Dan kau mengimpikan dunia sebagai batu loncatan untuk bahagia di dunia akhir kelak.

Lantaran itu, bahagialah kau dengan janji Dia yang tak pernah mungkir. Takkan ada walau sebesar zarah pun usaha menuju-Nya yang akan terlepas pandang. Takkan pernah ada bisikan menuju kebaikan yang terlepas dari catitan penjaga kananmu. Usahakan agar malaikat di kananmu lebih banyak bekerja berbanding yang di sebelah kiri. Usahakan agar lintasan siratmu yang 500 tahun perjalanan itu menjadi sepantas kilat saat titian yang lebih halus dari rambut yang dibelah tujuh itu kau mampu lalui dengan aman tanpa terjatuh ke dalam lautan kedahsyatan yang amat yang tak mampu tergambar oleh ‘akal.

Usahakan agar akhiratmu cemerlang dan duniamu bahagia. Usahakan kerana usaha takkan mampu terlepas membantumu di dunia fana dan dunia kekal.

DAN...

10 Zulhijjah hadir. Bersamanya ialah Eid yang didambakan. Dua waktu yang cukup membutirkan makna bagi umat Islam. Eid Fitri dan Eid Adha. Saat hadirnya bersama pengertian yang perlu dihayati, bukan sekadar bergembira dengan hanya baju baru atau cuti.

Aku melihat wajah bonda yang berseri. Kerut di dahi segera menyapa buih rasa, kesan keringat yang membutir umpama bekas usaha keras membesarkan anak-anak tanpa mahukan sebarang balasan. Ikhlas dan tulus. Sisa kejelitaan zaman remaja masih membekas pada papan wajah itu. Aku merinduinya sepenuh jiwa. Sungguh!

Anak-anak pulang, merapati kampung halaman tempat tumpah darah, membunuh sepi yang sekian menghuni rumah papan bonda di desa yang ditemani kedamaian dan udara sepoi yang menemani. Aku pulang, mengisi ruang cuti akhir semester secara kebetulan bertindan dengan cuti Eid. Tampang bonda tak lekang mengisi ruang minda saat langkah kuhayun menuju Hentian Bas, menunggu bas yang bakal membawaku pulang ke desa. Lautan manusia bertali arus depan mata takkan mampu menghalau ingatanku dari singgah di desa, menempati keindahan dan menghirup segar udaranya.

Hari Raya Korban  atau Hari Raya Aidiladha sinonim dengan korban. Bonda mencukupkan korban untuk kali ke-7 untuk bekalan di dunia seberang sana. Duit akhirat, bukankah pahala? Pulanglah kalau mahu merasa daging korban, bisik bonda terngiang di telinga. Tanpa bisikan itupun aku tetap pulang, wajah bonda sudah lama memanggil-manggil dalam fikiran.

Kami pulang. Aku, adik-adik dan jua abang serta kakak. Kami menghidupkan rumah yang sepi. Anak-anak bonda bukankah belajar jauh-jauh. Ada yang sudah bekerja di Ibu Kota, di sebelah Timur jua bertebaran dalam negara. Saat inilah hanya peluang untuk bersua muka dan bercanda tawa. Tak pernah untuk gagal membutirkan senyum di wajah bonda atau menggeletek hatinya untuk sama menyertai tawa. Aku rakam kemas dalam ingatan. Hari Raya Korban-apakah pengorbanan aku untuk bonda?

Pagi raya menjelma. Kami ke kubur, menziarahi arwah ayah yang terlebih dulu dipanggil ke dunia sana. Bonda tidak menyertai. Ah, dia takkan mampu membendung empangan air mata saat suisnya ditekan tika kami membicarakan tentang arwah ayah. Dia tewas dengan kasih yang melimpah dalam waktu yang mengalir tanpa berlengah. Kami menghadiahkan doa saat kami mengerti doa anak soleh ialah antara 3 amalan yang tidak terputus saat roh sudah terpisah dari jasad. Kami mahu menjadi anak-anak yang mampu memberikan kesenangan untuk ibu bapa bukan hanya di dunia, bahkan jua di akhirat.

Pulang ke rumah, aku perasan mendung bergayut di papan wajah bonda. Matanya merah. Kami senyap saja. Dan cucu-cucu bonda galak berlari atas rumah papan. Bunyi berkeriut mengisi ruang dan anak-anak bonda sibuk menegah. Suasana jadi hidup kembali. Bonda senyum. Bonda kembali tersenyum lebar. Lebar hingga aku melihat mentari pun tewas dengan sinar kasih bonda yang menyapa.

Aku sibuk menjadi jurugambar tak rasmi, merakamkan segenap keindahan dalam kamera digital untuk tatapan saat waktu seakan berlari. Cuti takkan selamanya, bukan?

Oh, rutin pagi raya takkan kami lupakan. Bangun jam 4am berimamkan abang untuk solat sunat tasbih 4 rakaat 2 salam. Ini rutin yang dulunya sekan terpaksa kami lakukan semasa arwah ayah masih ada. Rutin berjemaah ialah suatu kewajipan, lidi sebatang mudah dipatahkan, tapi kalau seberkas takkan terjejas kan?
Abang pulang. Abang yang seorang ini memang tak pernah gagal pulang waktu raya. 

Walaupun hakikatnya dia baru menjadi bapa dan isterinya masih belum habis dalam pantang, dia enteng saja pulang ke rumah bonda. Tenang-tenang saja rehat dan menikmati air tangan bonda sebelum berangkat menemui anak dan isteri. Malam itu abang pulang lagi, katanya: “ elektrik di rumah mentuanya terputus”. Dipesan pula untuk memasak sup perut. “ Daun kesom ada?”

Semua anak bonda pulang. Memeriahkan sambutan raya dua kali setahun jua meriangkan hati bonda yang kesunyian. Arwah ayah takkan ada pengganti sedang anak berkelana mencari rezeki jua menuntut ilmu di rantau orang diiring doa bonda yang tak pernah putus.

Kami terpisah antara jarak dan tuntutan yang mendamba. Namun doa takkan pernah mampu menjarakkan kasih dan ahrapan antara mesra dan melimpah ruang sayang. Bonda tak pernah miskin dengan nasihat saat menghantar kepulangan kami ke muka pintu dalam waktu yang memisahkan.

Dan, waktu cuti pun berakhir. Satu persatu anak bonda harus kembali meneruskan kerja dan menyambung pengajian. Aku tahu hati bonda sunyi. Aku jua tahu bonda rela melepaskan kami meski rindu menggunungnya belum terlerai.

Meski aku melihat senyum di bibirnya sewaktu menghantar anak di muka pintu dan melihat kereta mekin menjauh, namun senyum itu seakan terpaksa. Hati bonda kembali sunyi. Derap langkah yang makin menjauh takkan kubiarkan menjauhkan antara hati bonda dan kami. Nantikan kepulangan kami untuk cuti yang mendatang.

PUISI UNTUK BONDA
Teratak bonda
Antara usang binaan dan desa yang permai
Kalau kutahu kepulangan ini membutirkan rindu
Takkan kujamah lembut bayumu
Takkan kuhirup segar udaramu

Aku pulang
Anakmu pulang duhai bonda
Lantaran kasih yang amat menggamit
Lantaran biasan rindu yang memanggil

Bonda
Antara kita tiada yang memisahkan
Antara jalinan doa dan harapan
Aku pulang membenihkan sayang

Dan
Aku pergi membuahkan rindu yang tak pernah
Berpenghujung

p/s: kadang2 aku baca tulisan aku dengan perasaan segan yang teramat, tapi entah mengapa jari ini ligat menari atas keyboard dan aku semacam tersihir dengan aksara yang terbina..lol

No comments: