Friday, April 8, 2011

SELAMAT TIBA ...


... DI HUJUNG DUNIA.

Dia tersenyum mengalukan kehadiran seorang aku. Ikhlas tak menagih balasan, tapi aku semacam terpanggil untuk senyum kembali. Senyum itu kan sedekah yang paling mudah. Paling murah tanpa modal.


“Hidupkah, matikah. Itu bukan persoalan. Cukupkah bekalan, itu wajar dipersoal.” Dia berbicara, aku mendengar.

Berusaha untuk kehidupan dunia seakan hidup untuk selamanya. Hatta, andai kiamat bakal berlaku dalam tiga detik mendatang sedang di tangan punya biji benih pun harus ditanam.

Berusaha untuk kehidupan akhirat seakan bakal dijemput menghadap-Nya keesokan hari. Seperti yang diceritakan Ummul Mukminun Aisyah r.a, bahawa Baginda Rasul saw saat azan dilaungkan, “Maka baginda berpaling menghayati panggilan kemenangan seolah-olah tidak pernah mengenali aku.”

“Dunia ialah jambatan ke dunia akhir. Tapi, dunia bukan matlamat, hanya sekadar batu loncatan. Perhentian selepas alam roh sebelum ke alam barzakh.”
Aku mendengar. Sungguh-sungguh mendengar.

Bukannya sekadar memuji mereka yang berselisih dengan mentari saat jam 7am sudah di pejabat dan pulang saat sang suria sudah menyerahkan takhta siang kepada rembulan jam 7pm.


Haruslah jua mencari keberkatan bersunyian mengadu kepada Tuhan sepertiga malam. Seumpama ulama yang membahagi detik malam untuk merintih dan mengadu kepada Tuhan selayaknya sebagai hamba, bukan tuan di bumi.

Bayu membelai dan kata-katanya lembut membelai nuraniku seakan pengembara di Sahara yang bertemu oasis setelah sekian lama kehausan.

Aku mencarinya sekadar memenuhi naluri mendesak seorang insan. Aku perlukan seseorang untuk menenangkan resah yang menghuni kamar hati.


Jalanan tak pernah sunyi dari kerikil yang menikam dan aku acapkali rebah saat teruji. Dia tak pernah gagal mengembalikan kekuatan diriku yang goyah. Dan aku perlu melepaskan diri dari kepungan penjara yang merampas ketenangan ini.

Apa lagi yang berbaki. Aku hilang kepercayaan terhadap diri saat lamaranku terhadap seorang wanita yang kukira mampu menjadi sayap kiri perjuangan metah ditolak.

Kegagalan bukan bererti Tuhan sudah meninggalkan dirimu. Dia mempunyai rencana yang lebih baik. Kerana saat Tuhan boleh diramal, maka Dia bukan lagi Tuhan.

Itu jawabnya saat aku mempersoal kenapa solat istikharahku tak terjawab. Tuhan takkan pernah meninggalkan hamba-Nya sendiri. Mungkin ada sisi lain yang perlu diperbaiki. Mungkin terlepas pandang.


Hidup ini bukan domino. Jatuh sesudah tewas itu biasa. Namun berterusan rebah itu bukan lagi kebiasaan. Seumpama di puncak tak pernah tergelincir itu bukanlah kebiasaan. Mungkin ada saat-saat kejatuhan yang tak pernah berselisih di depan matamu. Dan pemimpin tirani tak pernah akan tenang. 

Kau lihat bagaimana Mubarak dipaksa jatuh sesudah Tunisia. Sekarang Bahrain pula bergolak. Mengekorinya Yemen dan negara-negara arab yang ditadbir pemimpin kuku besi, mengaut untung negara ke kantung sendiri.

Begin with the end of mind. Kata Stephan Covey.

Ranjau mengisi pesisir kehidupan aku meniti kedewasaan usia. Aku semacam terperangkap dalam rumah tanpa jendela sedang pintu terkunci dari luar.


Dan.

Malam pun menamatkan khidmatnya. Fajar menyingsing di kaki langit. Membenarkan titah Tuhan tanpa mungkir. Hari mengalir tenang. 

Aku hanya mampu berdoa.

Doa akan dijawab dengan pelbagai cara. Mungkin diberikan apa yang dipinta, diberikan yang lebih baik atau mungkin ditangguhkan ke Hari Akhir. Kerja Tuhan, siapakan dapat menduga?

No comments: