Hujung minggu, pulang ke rumah membawa seorang teman dari key-el. Saya naik bas jam 11pm malam Jumaat dan terus tidur mati. Tidak sedar apa-apa hingga perjalanan hampir mencecah destinasi. Juga tak sedar saat bas berhenti untuk penumpangnya mengisi perut atau membuang apa yang tak perlu. Benar-benar keletihan menghantar saya ke alam nyenyak yang lena.
Sampai di Red Land jam 515am dan abang saya baru saja 5 minit menunggu, terus memecut dan tiba tepat saat azan subuh di depan tangga rumah. Aduh..homesick ku terubat sudah! Pulang ke rumah ada rindu yang luruh dan ada cinta yang menggamit.
Saya bangga mengaku anak Kelantan namun tak pernah bangga dengan rusuhan bola sepak yang menggugat mimpi indah saya untuk menyaksikan Kelantan gah sebagai pendahulu liga.
Rusuhan itu khabarnya membuatkan polis simpanan FRU menyaksikan seorang remaja buta sebelah matanya dan sebuat trak polis diterbalikkan. Juga kereta polis dipecahkan tingkapnya dan pelbagai lagi kejadian yang mencatatkan rusuhan terhebat dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Satu fakta yang perlu diberi perhatian ialah keputusan FAM untuk mendenda KAFA sebanyak RM100k dan meng’haramkan’ Stadium Sultan Muhammad V1 dijadikan stadium rasmi Red Warrior hingga hujung tahun ini. Dan pengharaman ini menyebabkan kerugian yang menjadi punca pendapatan pasukan Kelantan hasil kutipan tiket. Dan Stadium Nasional dijadikan stadium ‘rasmi’ sementara buat pasukan Kelantan.
Keputusan ‘mendadadak’ tanpa mengambil kira penjelasan pegawai dan pemain Kelantan itu sungguh mengejutkan hingga Presidennya mengugut bakal menarik diri daripada saingan liga kerana katanya “ada pihak yang mahu melihat kejatuhan pasukan Kelantan”.
Satu fakta lagi, khabarnya penjaga gol Kelantan yang terkenal dengan sikap panas barannya : “saya menahan marah selama 90 minit’ sehingga habis saja perlawanan, dia terus meluru ke arah seseorang yang menjatuhkan maruahnya dengan sikap kurang ajar bicaranya. Katanya lagi: “saya tak akan memaafkan sikapnya terhadap saya”. Dia diprovok dan menyebabkan apabila perlawanan tamat dia terus menyerang dan membangkitkan semangat penyokong fanatic Kelantan. Kejadian ini mengingatkan saya sikap Zinedine Zidane yang mempertahankan maruahnya daripada dihina secara oral oleh Materazzi dengan menanduk pemain itu. Satu kejadian yang pasti diingati oleh semua pemain dan peminat bola sepak.
Ah, saya bukan Assabiyah apabila berkata begitu. Semangat kenegerian rakyat Kelantan amatlah kebal dan tak mampu ditandingi oleh rakyat mana-mana negeri. Tentu anda yang pernah menonton filem ‘Budak Kelate’ dapat menghidu sikap ini. Dan percayalah, walau di mana saja anda pergi di pelusuk Malaysia anda pasti menemukan rakyat Kelantan di situ.
Saya bukan prejudis terhadap rakyat negeri lain. Bicara saya di sini hanyalah maksud saya saya bangga menjadi rakyat Kelantan walau siapa pun pemegang tampuk negeri dan jangan cuba-cuba berani menghentam kami atas peristiwa ‘kerana nila setitik rosak susus sebelanga’. Mungkin anda yang cuba bersikap tidak menghormati orang lain belajar untuk lebih bersopan dan berhati-hati pabila berbicara. Saya juga punya teman baik dari serata negeri terutamanya kawasan utara. Jadi jangan hukum saya fanatik negeri.
Kerana pulut santan binasa
Kerana mulut badan binasa.
Saya amat tidak berpuas hati dnegan kenyataan di dada akhbar iaitu komen daripada peminat bola sepak:
Kelate gedebe, menang gedebe, kalah pun gedebe
Itu bukan wajah Kelantan secara seluruhnya. Mungkin anda tidak mengambil tahu apa yang berlaku di atas padang sebelum kejadian dan hanya menghukum sesudah kejadian buruk terjadi. Fikir-fikirkanlah.
1 comment:
xsangka jpe peminat sastera kat uia
penulis muda!
Post a Comment